Peranan komunikasi penting dalam meningkat kesedaran penjagaan gigi

Kajian menunjukkan bahawa bahasa yang digunakan dalam menyampaikan mesej kesihatan gigi mempunyai pengaruh besar terhadap pemahaman dan tindakan individu.

Feature Image (1)

DALAM usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan mulut, penggunaan bahasa yang mudah difahami dan mesra pengguna kini menjadi fokus utama pelbagai kempen kesihatan awam.

Kesihatan oral bukan sekadar isu kebersihan diri tetapi turut mencerminkan tahap literasi kesihatan dan kepekaan terhadap komunikasi yang berkesan antara pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan masyarakat umum.

Kajian menunjukkan bahawa bahasa yang digunakan dalam menyampaikan mesej kesihatan gigi mempunyai pengaruh besar terhadap pemahaman dan tindakan individu.

Bahasa yang jelas, mudah dan bersifat positif mampu menarik perhatian khalayak serta mendorong perubahan tingkah laku ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

Keberkesanan sesuatu kempen penjagaan gigi tidak bergantung semata-mata pada kandungan maklumat tetapi juga pada bagaimana maklumat itu disampaikan. Masyarakat lebih mudah bertindak apabila mesej disampaikan dalam bahasa yang mereka fahami dengan menggunakan istilah yang dekat dengan kehidupan seharian.

Sebagai contoh, slogan seperti ‘Gigi Sihat, Senyuman Menawan’ atau ‘Senyum Itu Sihat’ lebih mudah diingati berbanding mesej saintifik yang menggunakan istilah teknikal seperti ‘pencegahan plak bakteria melalui fluorida’.

Penggunaan bahasa simbolik dan emotif menjadikan mesej lebih mesra dan membina hubungan emosi antara penyampai dan penerima maklumat.

Bahasa juga memainkan peranan dalam meningkatkan literasi kesihatan melalui keupayaan individu memahami, menilai dan menggunakan maklumat kesihatan untuk membuat keputusan.

Jika mesej kempen menggunakan istilah yang terlalu kompleks, masyarakat berisiko salah faham, sekali gus menjejaskan keberkesanan penyampaian maklumat.

Komunikasi visual dan verbal dalam kempen kesihatan

Dalam dekad kebelakangan ini, pelbagai inisiatif oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan institusi pergigian memperlihatkan bagaimana gabungan komunikasi visual dan verbal memberi impak besar dalam menarik perhatian masyarakat terhadap penjagaan gigi.

Poster, video pendek dan kempen media sosial sering menggunakan gabungan gambar senyuman ceria bersama slogan ringkas yang mudah difahami semua lapisan masyarakat.

Kempen ‘Senyum Malaysia’ yang pernah dilancarkan pada satu masa dahulu perlu diteruskan agar kesedaran tentang penjagaan gigi kekal tinggi dan konsisten.

Rahsia kejayaan kempen ini terletak pada gaya komunikasinya kerana penggunaan bahasa tempatan yang ringan, mesej yang bersifat motivasi dan visual yang menggambarkan kepelbagaian etnik di Malaysia.

Selain itu, media sosial kini menjadi platform penting dalam menyampaikan mesej penjagaan gigi. Pempengaruh kesihatan dan doktor gigi muda menggunakan pendekatan bahasa santai dan berunsur humor untuk mendekati golongan muda.

Video pendek di TikTok atau Instagram yang menggunakan ayat seperti ‘Jangan jadi geng gigi kuning!’ atau ‘Gosok gigi dua kali sehari’ terbukti lebih mudah tular dan memberi kesan mendalam.

Kesantunan dan strategi komunikasi interpersonal

Selain kempen awam, komunikasi interpersonal antara doktor gigi dan pesakit juga memainkan peranan penting dalam membentuk kesedaran penjagaan gigi.

Kesantunan berbahasa merupakan kunci kepada keberkesanan nasihat kesihatan. Apabila doktor gigi menggunakan bahasa yang lembut dan tidak menghakimi, pesakit lebih terbuka untuk menerima teguran serta bersedia mengubah tabiat kebersihan mulut mereka.

Sebagai contoh, menggantikan ayat seperti ‘Gigi awak kotor sebab tak jaga kebersihan’ kepada ‘Kalau kita gosok gigi lebih kerap, gusi awak akan jadi lebih sihat dan cantik’ menunjukkan bagaimana perbezaan nada dan gaya bahasa boleh mempengaruhi reaksi pesakit.

Bahasa yang positif mencipta rasa dihargai, manakala komunikasi yang terlalu teknikal atau bersifat menyalahkan boleh menjarakkan hubungan antara profesional dan pesakit.

Selain itu, komunikasi dua hala yang membenarkan pesakit bertanya soalan dan memberi maklum balas turut meningkatkan kefahaman.

Strategi seperti ‘teach-back method’ boleh diamalkan oleh doktor dengan meminta pesakit mengulangi semula arahan penjagaan gigi dengan kata-kata mereka sendiri, terbukti membantu memastikan maklumat difahami dengan tepat.

Dalam masyarakat berbilang bahasa seperti Malaysia, pendekatan komunikasi yang peka terhadap budaya dan bahasa amat penting.

Mesej kesihatan yang diterjemahkan secara langsung dari bahasa Inggeris tanpa mengambil kira konteks budaya tempatan kadangkala kehilangan maknanya.

Sebagai contoh, istilah ‘oral hygiene’ yang diterjemahkan sebagai ‘kebersihan mulut’ mempunyai pemahaman yang berbeza oleh masyarakat luar bandar berbanding golongan profesional di bandar.

Oleh itu, penyesuaian mesej mengikut dialek tempatan atau menggunakan bahasa ibunda seperti Melayu, Cina dan Tamil dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat.

Tambahan pula, unsur budaya seperti pepatah Melayu ‘Dari mata turun ke hati, dari senyuman lahir kepercayaan’ boleh dijadikan bahan komunikasi yang kreatif untuk mengaitkan penjagaan gigi dengan nilai sosial dan estetika.

Pendekatan ini bukan sahaja mendidik tetapi juga memperkukuh nilai budaya tempatan dalam konteks kesihatan moden.

Ke arah komunikasi kesihatan yang holistik

Kempen kesihatan yang berkesan tidak hanya bergantung pada fakta saintifik tetapi juga pada seni berkomunikasi dengan cara memilih kata, nada dan medium penyampaian.

Dalam era digital, pendekatan yang terlalu formal dan teknikal tidak lagi relevan sepenuhnya. Bahasa yang mesra, bersahaja dan disampaikan melalui pelbagai platform interaktif lebih berpotensi menarik minat masyarakat, khususnya golongan muda.

Beberapa pakar mencadangkan supaya latihan komunikasi kesihatan diberikan kepada para doktor gigi, jururawat pergigian dan pegawai kesihatan awam.

Latihan ini boleh merangkumi kemahiran menulis mesej kesihatan, teknik bercakap dengan pesakit pelbagai latar budaya, serta penggunaan bahasa positif yang membina keyakinan pesakit.

Kesedaran penjagaan gigi bukanlah sekadar hasil daripada pengetahuan saintifik tetapi juga hasil daripada komunikasi yang menyentuh hati dan fikiran.

Bahasa memainkan peranan utama dalam merapatkan jurang antara pengetahuan profesional dan kefahaman masyarakat. Apabila mesej kesihatan disampaikan dengan bahasa yang mudah, sopan dan penuh empati, masyarakat bukan sahaja memahami kepentingan menjaga gigi tetapi juga terdorong untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Kempen penjagaan gigi yang berkesan bukan sekadar mengingatkan masyarakat untuk menggosok gigi dua kali sehari tetapi juga menyebarkan mesej bahawa senyuman yang sihat bermula dengan bahasa yang menyentuh jiwa, kerana dalam setiap senyuman, tersembunyi bahasa universal yang menghubungkan manusia tanpa sempadan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.

Dr. Norfaizal Jamain ialah Pensyarah Bahasa di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya dan Nurul Ainina Aqilah Abdullah ialah Pembantu Pembedahan Pergigian di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.