Ketahanan emosi pelindung Generasi Z di era digital

KETAHANAN emosi adalah keupayaan untuk bangkit semula setelah menghadapi cabaran kehidupan.

Dalam konteks belia, ia menjadi lebih penting berikutan tekanan sosial, cabaran digital, dan peralihan norma yang pantas di dunia hari ini.

Istilah seperti “hati tisu” dan “mudah koyak” sering digunakan untuk menggambarkan generasi muda, tetapi adakah itu adil? Sebaliknya, kita harus memahami bahawa generasi ini berhadapan dengan cabaran yang memerlukan daya tahan emosi yang lebih kukuh.

Ketahanan emosi bukan sahaja berkisar kepada kemampuan untuk mengharungi tekanan tetapi juga untuk mencegah isu sosial yang lebih serius seperti buli, kemurungan dan krisis identiti.

Statistik UNICEF menunjukkan bahawa satu dalam lima belia Malaysia mengalami tekanan emosi akibat buli siber.

Tambahan pula, media sosial memperhebatkan cabaran ini apabila ramai belia mengaitkan nilai diri mereka dengan bilangan “likes” dan pengesahan sosial.

Namun, belia Generasi Z mempunyai kelebihan unik.

Mereka lebih celik teknologi dan mudah untuk mencari maklumat, yang membolehkan mereka memahami isu kesihatan mental dengan lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

Tetapi, ini memerlukan bimbingan supaya mereka boleh menggunakan kekuatan ini secara positif untuk membina daya tahan emosi.

Salah satu isu yang melanda belia pada hari ini ialah buli, baik yang fizikal mahu pun di alam siber.

Mengapa buli berlaku? Ia sering berpunca daripada ketidakstabilan emosi dan kekurangan empati, baik daripada pelaku mahupun mangsa. Ketahanan emosi mampu mengurangkan risiko ini dengan:

1. Membantu Mangsa: Mereka yang berdaya tahan tinggi mampu menangani buli tanpa trauma berpanjangan. Contohnya, mangsa boleh belajar untuk menetapkan sempadan tegas dan mendapatkan bantuan dari pihak berautoriti.

2. Mengubah Pelaku: Pelaku yang mempunyai ketahanan emosi yang tinggi lebih cenderung mengenal pasti dan menguruskan emosi mereka dengan cara yang betul sebelum bertindak negatif.

3. Mewujudkan Komuniti Positif: Belia yang berdaya tahan cenderung membantu rakan sebaya yang menjadi mangsa buli, sekaligus memupuk persekitaran yang menyokong.

Ketahanan emosi membolehkan individu bukan sahaja bertindak balas terhadap cabaran tetapi juga bertindak proaktif dalam mengubah suasana sosial mereka.

Strategi membina ketahanan emosi

Ketahanan emosi dalam kalangan belia boleh dibina melalui usaha individu yang disokong oleh peranan rakan sebaya.

Pada peringkat individu, belia boleh mengamalkan latihan kesedaran (mindfulness), di mana mereka meluangkan masa untuk memahami dan menguruskan emosi tanpa bertindak balas secara impulsif.

Aktiviti seperti berjalan perlahan di kawasan yang tenang sambil memberi perhatian kepada persekitaran boleh membantu mereka menenangkan fikiran apabila berasa tertekan.

Selain itu, menulis jurnal harian juga berkesan dalam membantu seseorang memproses emosi dan merenung pengalaman, manakala usaha untuk menguasai kemahiran baharu seperti seni, muzik, atau sukan boleh meningkatkan keyakinan diri dan memberi rasa pencapaian.

Dalam konteks rakan sebaya, hubungan sosial yang positif memainkan peranan besar dalam membina ketahanan emosi. Membentuk komuniti sokongan, di mana belia dapat berkongsi cabaran emosi secara terbuka, mencipta ruang untuk mendengar dan memberi sokongan tanpa menghakimi.

Media sosial, yang sering dikaitkan dengan tekanan emosi, juga boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan mesej positif.

Kempen seperti #ItsOkayToNotBeOkay menunjukkan bagaimana belia boleh saling memberi galakan dan menggunakan platform digital untuk mendidik rakan sebaya mengenai pentingnya kesihatan mental.

Dengan sokongan rakan sebaya yang memahami, belia lebih mudah menangani cabaran hidup dan membina daya tahan emosi yang lebih kukuh.

Perkara ini membuktikan bagaimana media sosial boleh digunakan secara positif untuk menyokong kesihatan mental.

Walaupun media sosial sering dikaitkan dengan tekanan emosi, ia juga boleh menjadi alat untuk membina daya tahan.

Dengan mengikuti akaun yang mempromosikan motivasi dan pandangan positif, belia boleh memanfaatkan media sosial sebagai ruang selamat untuk sokongan emosi.

Belia dan masa depan ketahanan emosi

Ketahanan emosi adalah kemahiran penting yang harus dipupuk daripada awal.

Ia bukan sahaja membantu belia mengharungi cabaran hidup tetapi juga membolehkan mereka menjadi penyumbang positif dalam masyarakat.

Dengan usaha kolektif dari individu, rakan sebaya, keluarga, guru dan masyarakat, kita boleh membina generasi belia yang lebih kuat dari segi emosi.

Sebagai kaunselor pelatih, saya percaya kita perlu terus mendidik, menyokong dan memberikan ruang kepada belia untuk berkembang.

Belia Generasi Z bukanlah “hati tisu”, tetapi wira yang sedang belajar menguatkan diri mereka dalam dunia yang semakin mencabar.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.