Sultan Pahang dukacita kejadian serangan bom petrol di KK Mart

KUANTAN – Sultan Pahang menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan kejadian serangan bom petrol membabitkan cawangan KK Mart di Sungai Isap, Kuantan awal pagi hari ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menerima sembah maklum oleh pihak polis negeri Pahang mengenai kejadian tersebut dan menitahkan supaya pihak polis memberi perhatian serius serta tindakan tegas dan segera dalam perkara itu.

“Paduka Baginda mengecam sekeras-kerasnya dan menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang serta kepercayaan agama yang sentiasa menitikberatkan keamanan dan kemakmuran.

Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat khususnya rakyat Pahang, supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif perkauman yang boleh mengganggu-gugat keharmonian yang dinikmati selama ini,” kata kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Datuk Mohamed Zahari Yahya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Seri Paduka mahu semua pihak perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak bertindak melampaui batas.

“Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat supaya menghormati proses undang-undang yang telah diambil oleh Kerajaan berhubung dengan kes penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah,” ujarnya.

Sehubungan itu bersempena bulan Ramadan, Paduka Baginda menyeru semua rakyat supaya berdoa agar Negeri Pahang dan Negara Malaysia sentiasa diberkati dan dirahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *