iidex2025 perkukuh ekosistem inovasi UiTM ke arah impak nasional

Penganjuran tahunan anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UiTM itu menghimpunkan penyelidik, inovator, usahawan, pelajar serta rakan industri dari dalam dan luar negara.

Feature Image (4)

KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam penyelidikan, reka cipta dan inovasi berimpak tinggi menerusi penganjuran Invention, Innovation and Design Exposition 2025 (iidex2025) yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam dari 28 hingga 30 Oktober lalu.

Bertemakan ‘Dari Idea ke Impak: Inspirasi iidex2025 @ UiTM‘, penganjuran tahunan anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) UiTM itu menghimpunkan penyelidik, inovator, usahawan, pelajar serta rakan industri dari dalam dan luar negara bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan negara dan menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, yang menyempurnakan majlis penutupan berkata, inovasi bukan sekadar aktiviti tahunan, sebaliknya budaya hidup yang mendasari daya saing universiti.

“iidex bukan sekadar pameran tetapi satu ekosistem yang menghubungkan universiti, industri dan komuniti bagi memacu kemajuan melalui pengetahuan, kreativiti dan reka bentuk. ‘Dari Idea ke Impak’ menggambarkan perjalanan seorang inovator — daripada benih idea kepada hasil ciptaan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bank Islam Malaysia Berhad selaku penaja utama serta semua peserta, penilai dan penganjur atas komitmen menjayakan iidex2025.

“UiTM beriltizam menjadi universiti terkemuka dunia yang dipacu keilmuan dan inovasi berasaskan nilai kemanusiaan. Melalui iidex, kita bukan hanya mencipta ilmu, tetapi memastikan setiap hasil penyelidikan membawa impak sebenar kepada ummah dan negara,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman berkata, iidex merupakan manifestasi budaya penyelidikan UiTM yang berteraskan nilai, ilmu dan integriti.

“Setiap penyertaan mencerminkan daya cipta dan semangat penyelidik UiTM dalam mencari penyelesaian kepada cabaran masyarakat dan industri. Peluncuran Dasar Penyelidikan dan Inovasi UiTM (DPI UiTM) hari ini memperkukuh tadbir urus, pembangunan bakat serta jaringan kerjasama yang lestari,” katanya.

Tahun ini, iidex2025 menerima 497 penyertaan keseluruhan, termasuk 382 penyertaan fizikal membabitkan penyelidik, pensyarah, pelajar dan rakan industri.

Antara sorotan utama pameran ialah:

1. Pameran produk inovasi dan reka bentuk berimpak tinggi

2. Pertandingan Mini Reka Cipta untuk pelajar sekolah menengah

3. Forum “Advancing Islamic Finance through Innovation and Scholarly Insight”

4. Resensi buku “Menakluk Puncak Dunia Sentuhan Srikandi”

5. Sesi pitching produk inovasi, jualan buku oleh Penerbit UiTM

Perkhidmatan komuniti seperti Klinik Mata dan Pergigian Bergerak serta IP Mobile oleh MyIPO.

Antara penerima Anugerah Utama iidex2025 ialah:

1. Diamond Award (Best Contingent): Fakulti Sains Kesihatan (Johan), UiTM Cawangan Selangor (Naib Johan), iCEPS (Ketiga);

2. Diamond Award Professional Inventor (Innovation & Design): Prof. Madya Ts. Dr. Rovina Kobun, Universiti Malaysia Sabah – Seacoat: Shelf-life Enhancement of Fruits and Vegetables;

3. Diamond Award Professional Inventor (Invention & Design): En. Ahmad Aminnin Mat Noor, iCEPS – AIAMIN – AI Chatbot;

4. Diamond Award (Postgraduate Inventor): Dr. Ameerah Su’ad Abdul Shakor, Fakulti Perubatan UiTM – X-SIAGA: Disease X and Outbreak Preparedness Package for Orang Asli Households;

5. Diamond Award (Young Inventor): En. Muhammad Razif Addeen Nang Yusmadie, Fakulti Alam Bina – Smart Parking for Smarter Communities: A GIS-Based Dashboard for Community and Environmental Benefit;

6. Diamond Award (Junior Category): Kolej Genius Insan – Nano-Mint Gel: The Next Generation Acne Treatment.

Majlis turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh Institut Seni Nusantara (INSAN) UiTM bertajuk ‘Legasi Terindah’, yang mengetengahkan tema ‘Visit Malaysia 2026 & Multicultural’ sebagai penghargaan terhadap kepelbagaian budaya negara.

Dengan peluncuran Dasar Penyelidikan dan Inovasi UiTM (DPI UiTM) serta sambutan penyertaan yang menggalakkan, iidex2025 membuktikan keupayaannya sebagai platform berimpak tinggi dalam mengangkat potensi penyelidikan tempatan ke peringkat antarabangsa.

UiTM komited untuk terus memperkukuh budaya inovasi dan reka cipta yang berteraskan nilai serta berorientasikan kesejahteraan masyarakat, seiring dengan visinya ke arah Globally Renowned University 2025 (GRU2025).