UM bantu komuniti kampung kitar semula sisa minyak masak
Program bertajuk ‘Kelestarian, Kesihatan dan Keusahawanan (3K): Transformasi Sisa kepada Produk Bermanfaat untuk Komuniti Luar Bandar’ itu diadakan bersempena Pesta Sukan Bendang Antarabangsa.
 
                KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2025 — Sekumpulan pensyarah, pelajar pascasiswazah dan staf pelaksana dari Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) telah melaksanakan program komuniti di bawah inisiatif Citra Akademik untuk Komuniti dan Alam (CAKnA) bagi mendidik penduduk luar bandar tentang kaedah mengitar semula minyak masak terpakai menjadi sabun buatan tangan yang mesra alam serta bernilai komersial.
Program bertajuk ‘Kelestarian, Kesihatan dan Keusahawanan (3K): Transformasi Sisa kepada Produk Bermanfaat untuk Komuniti Luar Bandar’ itu diadakan bersempena Pesta Sukan Bendang Antarabangsa dengan penglibatan penduduk kampung dan pelajar sekolah di Alor Setar.
Ketua projek CAKnA, Prof Madya Dr. Siti Nadiah Abdul Halim berkata program itu bertujuan mendidik masyarakat bahawa minyak masak terpakai bukan sekadar sisa buangan, sebaliknya boleh ditukar menjadi produk berguna seperti sabun dengan sedikit pengetahuan sains dan kaedah yang betul.

“Amalan ini bukan sahaja menjimatkan tetapi turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.
Melalui bengkel interaktif yang dijalankan, peserta didedahkan kepada kaedah menapis dan mengendalikan minyak masak terpakai dengan betul, termasuk langkah keselamatan serta proses asas pembuatan sabun menggunakan bahan yang mudah diperoleh dan selamat digunakan.
Program berkenaan turut menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim, yang hadir melawat pameran tersebut.

Selain demonstrasi pembuatan sabun, sesi kesedaran turut diadakan bagi memberi pengetahuan tentang pemilihan minyak masak yang sesuai mengikut jenis masakan, cara menilai kualiti minyak sebelum digunakan semula serta amalan penggunaan minyak masak yang sihat.
Penyelidik bersama, Dr. Noordini Mohamad Salleh berkata, hasil pemerhatian mendapati tahap kesedaran penduduk kampung terhadap pengurusan sisa minyak masak berada pada tahap yang baik, dengan ramai telah mengetahui bahaya pembuangan minyak ke dalam sinki dan mengamalkan pelupusan yang lebih bertanggungjawab.
“Kami kagum dengan kesedaran yang telah wujud dalam kalangan penduduk kampung. Apa yang kami lakukan ialah menambah nilai melalui ilmu sains supaya mereka lebih memahami aspek keselamatan, kesihatan dan peluang keusahawanan yang boleh dibangunkan,” katanya yang berpengalaman dalam bidang oleokimia.
Program itu turut disertai Prof Madya Dr. Tan Kong Wai, Dr. Nazzatusshimar, Dr. Siti Jariani dan Dr. Arniza Khairani dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains UM, bersama pelajar pascasiswazah yang memainkan peranan penting dalam demonstrasi, fasilitasi bengkel dan interaksi bersama komuniti.

Penglibatan pelajar tersebut bukan sahaja memberi peluang mereka berkongsi ilmu sains secara langsung, malah memperkenalkan mereka, termasuk pelajar antarabangsa kepada budaya dan kehidupan masyarakat kampung di Kedah yang kaya dengan nilai kekitaan dan semangat gotong-royong.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar kami untuk berkongsi ilmu, tetapi juga mendekatkan mereka dengan realiti sosial dan budaya tempatan. Ia satu pengalaman pembelajaran yang holistik,” kata Dr. Siti Nadiah.
Dengan sokongan UMCares (CAKnA) serta kerjasama Ahli Parlimen Jerlun, Dr. Abd. Ghani Ahmad dan Majlis Ketua Kampung Matang Kenanga, projek ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi).
Penganjuran serentak dengan Pesta Sukan Bendang Antarabangsa memberi dimensi unik kepada program berkenaan apabila sains, budaya dan komuniti disatukan dalam satu platform yang menyeronokkan dan bermakna.
“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan secara berperingkat melalui kumpulan komuniti yang mampu menjana pendapatan sendiri. Inilah bukti bahawa ilmu sains mampu mengubah cara kita melihat sisa daripada bahan buangan kepada sumber rezeki,” ujar Dr. Siti Nadiah mengakhiri sesi program tersebut.

 
                         
                       
                      