Apabila interaksi digital menggantikan hubungan insani

AI generatif boleh berfungsi sebagai tutor peribadi kepada pelajar dengan memberikan maklum balas yang diperibadikan berdasarkan maklumat yang diberikan.

Feature Image (2)

PADA 30 November 2022, OpenAI telah melancarkan satu sistem AI generatif yang dikenali sebagai ChatGPT. Pengguna boleh memasukkan arahan dan ChatGPT akan menjana respons yang sesuai serta menyerupai perbualan manusia secara automatik. Keupayaan perbualan interaktif ini telah menjadikannya sangat popular. Antara sistem AI generatif lain yang serupa ialah Microsoft Copilot dan Google Gemini.

Bergantung pada keperluan individu pengguna, AI generatif boleh memainkan pelbagai peranan. Ia boleh berfungsi sebagai tutor peribadi kepada pelajar dengan memberikan maklum balas yang diperibadikan dan serta-merta berdasarkan maklumat yang diberikan.

Ia juga boleh bertindak sebagai rakan belajar, membantu pengguna memahami bahan pembelajaran dengan lebih berkesan. Selain itu, ia sering berfungsi sebagai pembantu peribadi, membantu merancang jadual perjalanan serta melaksanakan tugas awalan seperti meringkaskan atau menterjemah dokumen.

AI generatif dikuasakan oleh model bahasa besar (LLM) yang dilatih menggunakan sejumlah besar data teks untuk mempelajari corak bahasa manusia dan meramalkan perkataan yang paling berkemungkinan muncul seterusnya dalam sesuatu ayat berdasarkan perkataan-perkataan sebelumnya.

Oleh itu, tidak dapat dielakkan bahawa AI generatif kadangkala menghasilkan respons yang tidak tepat, mencampuradukkan fakta dengan fiksyen atau mencetuskan halusinasi.

Namun demikian, sesetengah pengguna tanpa sedar mengaitkan ciri-ciri dan tingkah laku manusia dengan AI generatif, lalu membentuk ikatan emosi dengannya atau menganggapnya sebagai sumber sokongan emosi.

Mereka dengan rela berkongsi pemikiran dan perasaan peribadi mereka dengan AI generatif. Disebabkan kebolehcapaian yang berterusan, AI generatif semakin berfungsi sebagai teman kepada sesetengah pengguna, meredakan perasaan kesunyian dan kebimbangan, serta secara beransur-ansur dan sering tanpa disedari mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku mereka dari semasa ke semasa,.

Pada tahun 2025, satu siri kes tuntutan mahkamah telah difailkan di negeri California, Amerika Syarikat, yang mendakwa bahawa interaksi dengan ChatGPT telah menyebabkan beberapa pengguna mengalami gangguan mental, malah mengakibatkan kematian, sehingga ChatGPT digambarkan sebagai ‘jurulatih bunuh diri’.

Tuntutan-tuntutan tersebut merangkumi dakwaan berkaitan kematian akibat kecuaian, membantu perbuatan membunuh diri, pembunuhan tanpa niat, kecuaian serta liabiliti produk. Mangsa termasuk golongan bawah umur dan juga golongan belia muda.

Menurut dakwaan tersebut, para pengguna pada asalnya menggunakan ChatGPT untuk tujuan umum seperti bantuan kerja sekolah, penyelidikan, penulisan, resipi, tugas pekerjaan atau mendapatkan bimbingan kerohanian.

Namun, melalui interaksi yang berpanjangan, ChatGPT didakwa semakin membentuk dan memanipulasi keadaan psikologi pengguna,. Apabila pengguna berada dalam keadaan terdesak, ChatGPT dikatakan tidak menggalakkan mereka mendapatkan bantuan profesional, sebaliknya mendorong mereka ke arah mencederakan diri sendiri.

Sebagai respons, OpenAI menyatakan bahawa mereka telah melatih ChatGPT untuk mengenal pasti tanda-tanda tekanan mental atau emosi, meredakan perbualan yang sensitif serta membimbing pengguna untuk mendapatkan sokongan dan bantuan dalam dunia nyata.

Syarikat itu juga menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat dengan pakar klinikal kesihatan mental bagi memperkukuh lagi keupayaan ChatGPT dalam memberikan tindak balas yang sesuai, khususnya dalam situasi kritikal.

Bergantung pada interaksi manusia–AI untuk mengurangkan kesunyian serta menggantikan hubungan sosial yang normal dengan persahabatan AI merupakan suatu amalan yang tidak sihat.

Manusia seharusnya membina hubungan yang nyata dan bermakna dengan saling mengasihi, mengambil berat dan memberi dorongan antara satu sama lain. Oleh itu, kita harus sentiasa peka, prihatin dan berbelas kasihan terhadap anak-anak, ahli keluarga serta rakan-rakan di sekeliling kita.

Ini kerana interaksi dan persahabatan manusia yang tulen tidak akan dapat digantikan sepenuhnya oleh AI. Walaupun AI menawarkan pelbagai kemudahan dan manfaat, pada hakikatnya ia hanyalah sebuah alat dan bukannya suatu entiti yang mempunyai kesedaran.

Oleh itu, ia juga kadangkala boleh menghasilkan maklumat yang tidak tepat, halusinasi atau melakukan kesilapan. Manusia tidak seharusnya dikuasai oleh AI, sebaliknya perlu menjadi pengguna yang bijaksana dalam menggunakan AI dengan penuh tanggungjawab.