UM manfaat inovasi hijau perkukuh kesihatan tanah kebun komuniti Rasah Kemayan
Kepentingan tanah bandar sebagai asas utama kepada pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti, khususnya di kawasan berpenduduk padat.
Oleh: ROSAZLIN ABDULLAH
KUALA LUMPUR, 20 Januari 2025 – Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh peranannya dalam memacu kesedaran dan inovasi hijau berasaskan komuniti menerusi pelaksanaan program berimpak tinggi sempena Sambutan Hari Tanah Sedunia yang disambut pada 5 Disember setiap tahun.
Bertemakan ‘Tanah Sihat untuk Bandar Sejahtera, sambutan tahun ini menekankan kepentingan tanah bandar sebagai asas utama kepada pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti, khususnya di kawasan berpenduduk padat.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), tanah bandar bukan sekadar permukaan fizikal di bawah pembangunan, sebaliknya merupakan sumber kehidupan yang menyokong keselamatan makanan, pengurusan air, biodiversiti, daya tahan iklim serta kelestarian infrastruktur bandar.

FAO turut melaporkan bahawa lebih 55 peratus penduduk dunia kini tinggal di kawasan bandar dan angka itu dijangka meningkat kepada sekitar 68 hingga 70 peratus menjelang 2050, terutamanya di negara membangun.
Perkembangan pesat urbanisasi ini memberi tekanan besar terhadap sistem makanan dan sumber semula jadi, sekali gus menjadikan akses kepada makanan selamat dan lestari semakin kritikal, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah di bandar.
Di Malaysia, hampir 78 peratus penduduk menetap di kawasan bandar, menjadikan inisiatif pertanian bandar sebagai satu keperluan strategik.
Pemanfaatan tanah terbiar dan tanah rezab bandar untuk aktiviti pertanian komuniti dilihat mampu menyumbang kepada penghasilan makanan sihat secara lestari, di samping mengoptimumkan penggunaan ruang bandar yang kurang dimanfaatkan.
Pendekatan ini juga berperanan sebagai platform pembelajaran, interaksi sosial dan pemerkasaan komuniti, sejajar dengan aspirasi FAO dalam membangunkan bandar hijau yang mampan.

Sehubungan itu, program bertajuk ‘Inovasi Teknologi Hijau Pemangkin Tanah Sihat, Bandar Sejahtera’ telah dianjurkan di Kebun Komuniti Sejahtera Rasah Kemayan, Negeri Sembilan, dengan penyertaan lebih 30 peserta terdiri daripada komuniti setempat, pelajar universiti, wakil industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini.
Program berkenaan menampilkan pendekatan perkongsian ilmu dua hala yang menggabungkan penerangan saintifik, pembentangan inovasi pelajar Universiti Malaya serta aktiviti praktikal secara langsung di kebun komuniti. Para peserta didedahkan kepada aplikasi teknologi pertanian hijau yang sesuai dilaksanakan di persekitaran bandar menggunakan sumber tempatan dan kos berpatutan.
Antara inovasi yang diperkenalkan termasuk penghasilan kompos daripada sisa organik bagi meningkatkan kesuburan tanah, mengurangkan sisa makanan ke tapak pelupusan dan menurunkan pelepasan gas rumah hijau.
Selain itu, teknologi racun perosak organik, penggunaan baja mesra alam, sistem penjimatan air serta teknik pembiakan tanaman secara bersepadu turut dikongsikan. Demonstrasi masakan berasaskan Bayam Brazil turut diadakan bagi menonjolkan potensi tanaman bandar sebagai sumber pemakanan berkhasiat.
Pengerusi Kebun Komuniti Sejahtera Rasah Kemayan, Zarina menyatakan penghargaan terhadap usaha Universiti Malaya memperkenalkan inovasi pertanian hijau yang praktikal dan boleh diaplikasikan secara langsung di kebun tersebut.
Menurut beliau, kebun komuniti itu bukan sahaja membekalkan hasil tanaman sihat kepada penduduk setempat, malah berfungsi sebagai ruang pembelajaran dan interaksi sosial yang positif.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biosense, Dr. Rokiah Hassan berkata, tanah yang sihat merupakan komponen penting kepada ekosistem bandar yang berfungsi dengan baik kerana ia menyokong pengeluaran makanan, penyerapan air hujan, penapisan pencemaran, penyimpanan karbon serta habitat mikroorganisma.
Pensyarah Universiti Malaya merangkap Presiden Persatuan Sains Tanah Malaysia, Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah pula berkata, program tersebut memberi peluang bermakna kepada pelajar universiti untuk mengaplikasikan ilmu akademik dalam situasi sebenar bersama komuniti.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan bandar perlu mengiktiraf tanah sebagai sumber hidup, dan penglibatan pelbagai pihak mencerminkan komitmen bersama terhadap keselamatan makanan serta kelestarian bandar.
Seorang wakil komuniti, Junainah menyifatkan program berkenaan sebagai membuka mata penduduk terhadap potensi tanah bandar sebagai sumber makanan dan pendapatan.
Pelajar Tahun Akhir Universiti Malaya, Alsten Adrian Lindua turut menyatakan pengalaman berkongsi inovasi bersama komuniti membantu pelajar memahami cabaran sebenar di lapangan serta menyemai semangat untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui aplikasi sains yang praktikal.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk KOBUNISS, Biosense, Universiti Malaya, OUM Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, serta beberapa jabatan kerajaan dan pertubuhan wanita.
Secara keseluruhan, inisiatif ini selaras dengan aspirasi global FAO dalam memastikan tanah yang sihat menjadi asas kepada bandar yang sejahtera, sekali gus membuktikan usaha kelestarian boleh digerakkan secara berkesan bermula di peringkat komuniti.
