Pembaziran makanan pada bulan Ramadan bakal membimbangkan
Sikap berlebih-lebihan ketika membeli makanan menjadi punca utama pembaziran.

BULAN Ramadan bakal tiba tidak lama lagi, menandakan ketibaan bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam untuk menunaikan ibadah puasa iaitu rukun Islam yang keempat.
Ramadan seharusnya menjadi bulan penyucian jiwa, pembentukan disiplin diri dan pengukuhan akhlak mulia. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah menuntut umat Islam menahan diri daripada pembaziran, ketamakan dan sikap melampau.
Namun persoalannya, sejauh manakah masyarakat hari ini benar-benar menghayati maksud sebenar puasa? Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah pembaziran makanan yang semakin berleluasa sepanjang Ramadan jelas bercanggah dengan roh dan tujuan ibadah puasa itu sendiri.
Tidak dapat dinafikan bahawa bazar Ramadan menjadi lambang kemeriahan bulan mulia ini. Namun, kemeriahan tersebut semakin tercemar apabila bazar Ramadan bertukar menjadi simbol kerakusan dan pembaziran. Lambakan juadah, pembelian tanpa perancangan serta sikap ‘tak habis, buang’ menyumbang kepada peningkatan sisa makanan yang membimbangkan.
Keadaan ini bukan sahaja membuktikan kegagalan mengawal nafsu, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta kegagalan menghargai nikmat rezeki.
Di pihak pengguna pula, sikap berlebih-lebihan ketika membeli makanan menjadi punca utama pembaziran. Ada yang menjadikan Ramadan sebagai pesta makanan sehingga membeli pelbagai juadah tanpa kawalan, akhirnya membuang makanan yang tidak dihabiskan.
Tindakan ini bukan sahaja mencerminkan pembaziran yang melampau, malah menunjukkan kegagalan memahami konsep kesederhanaan dalam Islam. Lebih membimbangkan, sikap berlebihan ketika berbuka menyebabkan sesetengah individu lalai dan malas beribadah, sekali gus mencemarkan tujuan Ramadan yang sepatutnya mendidik jiwa agar lebih dekat kepada Tuhan.
Pembaziran makanan turut berlaku dalam kalangan peniaga yang menyediakan makanan secara berlebihan demi mengejar keuntungan tanpa mengambil kira permintaan sebenar.
Lebihan makanan yang tidak terjual akhirnya dibuang begitu sahaja. Situasi yang sama juga dapat dilihat di hotel dan restoran bufet apabila pelanggan mengambil makanan melebihi keperluan lalu membazirkannya. Sikap ini jelas mencerminkan kegagalan nilai tanggungjawab sosial dan pengurusan rezeki yang beretika.
Isu pembaziran ini menjadi semakin serius dengan penggunaan plastik sekali guna dan polistirena yang masih berleluasa dalam kalangan peniaga. Demi kemudahan dan penjimatan kos, bahan yang tidak mesra alam ini terus digunakan walaupun kesannya terhadap alam sekitar dan kesihatan telah lama diketahui.
Polistirena yang sukar dilupuskan serta berbahaya apabila digunakan untuk makanan panas membuktikan bahawa kesedaran tanpa tindakan hanyalah janji kosong jika tidak disertai penguatkuasaan yang tegas.
Kesan pembaziran makanan tidak terhenti pada pembaziran rezeki semata-mata, malah membawa implikasi besar terhadap alam sekitar. Lambakan sisa makanan mempercepatkan kepenuhan tapak pelupusan sampah, meningkatkan pencemaran dan menyumbang kepada pemanasan global.
Fenomena banjir dan kemarau yang semakin kerap berlaku seharusnya menyedarkan masyarakat bahawa setiap tindakan mempunyai akibat, namun sikap tidak peduli masih berleluasa dan wajar ditegur dengan tegas.
Selain itu, pembaziran makanan turut mengundang kehadiran haiwan liar dan perosak ke kawasan penempatan serta bazar Ramadan. Sisa makanan yang dibuang secara terbuka menarik perhatian tikus, anjing liar, kucing liar, monyet dan gagak, sekali gus meningkatkan risiko penularan penyakit dan ancaman keselamatan.
Contohnya, peningkatan populasi tikus di kawasan bazar boleh menyebabkan penularan penyakit seperti leptospirosis manakala kehadiran monyet di kawasan bandar sering mengganggu dan mencederakan orang awam. Jelaslah bahawa pembaziran makanan bukan sekadar isu moral, malah masalah kesihatan awam yang serius.
Sebagai sebuah negara yang aman dan dikurniakan bekalan makanan yang mencukupi, Malaysia seharusnya menjadi teladan kepada negara-negara yang masih bergelut dengan isu kemiskinan makanan akibat konflik dan peperangan.
Di negara seperti Yaman, Somalia, Afghanistan dan Sudan, jutaan penduduk berdepan kekurangan makanan akibat konflik berpanjangan dan kemiskinan melampau sehingga ada yang terpaksa berpuasa bukan kerana ibadah, tetapi kerana ketiadaan makanan.
Situasi yang sama turut berlaku di zon konflik semasa seperti Palestin dan Ukraine apabila peperangan memusnahkan sumber makanan dan menyekat bantuan kemanusiaan. Dalam keadaan sebegini, masih ada masyarakat di Malaysia yang membuang makanan tanpa rasa bersalah, sekali gus mencerminkan jurang empati yang ketara.
Keadaan ini menjadi lebih menyayat hati apabila melihat realiti kehidupan di Filipina melalui amalan pagpag iaitu makanan lebihan dari tapak pelupusan sampah yang dibersihkan dan dimasak semula oleh golongan miskin bandar.
Amalan ini bukan pilihan tetapi terpaksa demi kelangsungan hidup. Perbandingan ini seharusnya menyedarkan masyarakat bahawa pembaziran makanan bukan isu kecil, sebaliknya satu ketidakadilan global yang mencerminkan ketidakseimbangan sosial dunia.
Dalam menangani isu pembaziran makanan, lebihan makanan sebenarnya boleh diuruskan dengan lebih berhemah melalui amalan bersedekah dan pengagihan semula. Makanan yang masih elok dan tidak terjual wajar disalurkan kepada golongan memerlukan seperti fakir miskin, gelandangan atau rumah kebajikan melalui kerjasama peniaga, pihak pengurusan bazar dan badan sukarelawan.
Amalan ini bukan sahaja mengelakkan pembaziran, malah meningkatkan pahala di bulan puasa. Selain itu, inisiatif seperti dapur komuniti, bank makanan dan program pengagihan lebihan juadah berbuka boleh dijadikan platform berkesan untuk memastikan rezeki dimanfaatkan sebaiknya, selari dengan tuntutan Islam yang menekankan konsep berkongsi dan membantu sesama insan.
Oleh itu, semua pihak perlu berhenti bersikap sambil lewa. Peniaga mesti bertanggungjawab dalam pengurusan sisa dan pembungkusan, pengguna perlu merancang pembelian dan mengawal nafsu manakala pihak berkuasa wajar melaksanakan peraturan serta penguatkuasaan yang lebih tegas.
Tambahan pula, tempoh sebelum Ramadan seharusnya dijadikan fasa persediaan untuk membentuk azam baharu agar tidak membazir dan lebih menghargai nikmat rezeki.
Sebagai penutup, pembaziran makanan di bulan Ramadan merupakan satu kegagalan moral dan sosial yang perlu ditegur secara berani.
Ramadan seharusnya menjadi bulan kesederhanaan dan keinsafan, bukannya bulan kerakusan. Jika masyarakat masih enggan berubah, maka segala krisis nilai dan kemusnahan alam yang berlaku hari ini adalah hasil perbuatan kita sendiri. Kini, persoalannya bukan lagi siapa yang bersalah, tetapi siapa yang berani berubah.

