Berimanlah dengan takdir Allah

Bagaimana kita sebagai masyarakat, ibu bapa dan pendidik membimbing anak-anak mengurus kekecewaan ini dengan matang dan berteraskan iman kepada takdir Allah.

Feature Image

SETIAP tahun, musim keputusan kemasukan ke sekolah berasrama penuh, MRSM atau sekolah elit tertentu akan disusuli dengan gelombang emosi yang hampir sama.

Media sosial dibanjiri luahan kecewa ibu bapa dan pelajar. Ada yang kecewa, ada yang mempersoalkan sistem penilaian KPM, ada yang cuba validate pencapaian anak dan tidak kurang juga yang cuba menenangkan diri dengan rezeki Allah dan takdir.

Fenomena ini bukan perkara baharu tetapi ia semakin ketara dalam era media sosial hari ini yang tidak sensitif kepada perasaan, dengan mudahnya netizen menghujani komen ‘bukan anak kau seorang sahaja yang pandai, beribu lagi yang lebih layak’.

Tidak dapat dinafikan, kekecewaan itu nyata dan manusiawi. Seorang pelajar yang telah berusaha bertahun-tahun, cemerlang akademiknya, aktif dalam kokurikulum, mendapat anugerah dalam dan luar negara, tentu menyimpan harapan besar untuk diterima masuk ke sekolah impian.

Apabila keputusan tidak memihak kepadanya, pasti terbit sedikit rasa kecewa. Ia melibatkan rasa gagal, rasa ragu akan pencapaian yang diraih dan kadangkala rasa malu apabila terpaksa berdepan soalan orang sekeliling: “Tak dapat ya?”.

Namun, persoalan yang lebih besar ialah bagaimana kita sebagai masyarakat, ibu bapa dan pendidik membimbing anak-anak mengurus kekecewaan ini dengan matang dan berteraskan iman kepada takdir Allah.

Pagar takdir

Sabda Nabi SAW sebagaimana yang tersebut di dalam hadith Jibril: Sewaktu Jibril bertanya kepada Rasulullah SAW tentang iman. Katanya: “Beritahu kepada saya pengertian iman”. Sabda Nabi SAW: “Hendaklah engkau beriman dengan Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan Hari Akhirat serta Qadar (ketetapan) yang baik dan buruk”. (Riwayat Muslim).

Selama manusia hidup di dunia ini, kita akan diuji oleh Allah dengan perkara-perkara yang baik dan buruk. Tidak terkecuali siapapun. Bahkan ia telah tertulis sebelum penciptaan manusia.

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid, 57: ayat 22).

Ibn Atha’illah dalam kitabnya Al-Hikam menenangkan kita dengan untaian hikmahnya. Katanya, ‘Tenangkan hatimu daripada urusan tadbir kerana apa yang diatur oleh selain-mu tentang urusan dirimu, tidak perlu engkau campur tangan.’.

Menurutnya lagi, ‘Apabila sudah difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir yang menurut ketentuan Allah SWT, maka seseorang itu tidak lagi berasa bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan berserah diri sama-sama berada di dalam pagar takdir. Maka, perasaan orang yang beriman sentiasa seimbang antara usaha dan tawakalnya kepada Allah.

Hasilnya, diserahkan kepada Allah, baik atau buruknya. Ibn Atha’illah menambah lagi, ‘Apa juga hasil yang muncul daripada usahanya diterimanya dengan senang hati kerana dia tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh Allah SWT.

Jika hasilnya baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari Allah SWT. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia mendapat kebaikan.’.

Namun, sekiranya hasilnya tidak sesuai dengan apa yang diharapkan, ia bersabar kepada Allah. Kata Ibn Atha’illah, ‘jika hasil yang buruk pula sampai kepadanya dia akan bersabar kerana dia tahu apa yang datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya.

Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan seleranya datang kepadanya tetapi usaha baik yang dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah SWT sekiranya dia bersabar dan rela dengan apa juga takdir yang sampai kepadanya itu.’ (Kitab Al-Hikam, Ibn Atha’illah).

Apabila belum sampai rezeki kita

Sabar. Satu kata yang sering dinasihatkan kepada kita, menenangkan kita apabila apa yang dihajati belum termakbul. Hakikatnya, rezeki tidak akan terlepas apabila ia sampai dan ia juga tidak akan sampai jika belum masanya. Bertakwalah kepada Allah dan tingkatkanlah ketaatan kepada-Nya, seiring meninggalkan kemaksiatan yang dilarang-Nya.

Dari Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya ruh qudus (Jibril), telah membisikkan ke dalam diriku bahwa setiap jiwa tidak akan mati sampai sempurna ajalnya dan dia habiskan semua rezekinya.

Kerana itu, bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah cara dalam mencari rezeki. Jangan sampai tertundanya rezeki mendorong kamu untuk mencarinya dengan cara bermaksiat kepada Allah. Kerana rezeki di sisi Allah tidak akan diperoleh kecuali dengan taat kepada-Nya.” (HR. Musnad Ibnu Abi Syaibah 8: 129 dan Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir 8: 166, hadits sahih. Lihat Silsilah Al-Ahadits As-Shahihah no. 2866).

Walaupun begitu, Maha Rahman dan Rahim-nya Allah, Dia tetap memberi manusia rezeki seluas-luasnya, sekalipun manusia sering juga ingkar kepadaNya. Maka, bersyukurlah kita akan setiap pemberianNya tanpa mempersoalkan tadbir dan takdirNya.

Sebagai hamba, kita tidak layak menuntut janji Allah dengan amal dan doa kita. Menurut Ibn Atha’illah, ‘Kehendak dan perbuatan kita adalah anugerah daripada Allah SWT. Jadi, apakah hak kita untuk menuntut Allah SWT dengan doa dan amal kita.

Memang benar Allah SWT berjanji untuk mengabulkan semua doa dan mengurniakan sesuatu menurut amalan tetapi tidak ada makhluk-Nya yang layak menagih janji tersebut. Janji Allah SWT kembali kepada diri-Nya sendiri. Jangan cuba-cuba menuntut janji Allah SWT kerana andainya Dia menuntut kamu dengan amanah yang dipertaruhkan kepada kamu nescaya semua amalan kamu akan hancur berterbangan seperti debu, tidak ada walau sebesar zarah pun yang layak dipersembahkan kepada-Nya apabila kamu dihadapkan kepada keadilan-Nya.’ (Kitab Al-Hikam, Ibn Atha’illah).

Kejayaan bukan hanya tentang tempat belajar

Definisi kejayaan sebenar bukanlah hanya mendapat tempat di sekolah elit semata-mata. Masalah timbul apabila sekolah elit dijadikan satu-satunya definisi kejayaan. Naratif ini berbahaya kerana ia secara halus menanam kepercayaan bahawa nilai diri seseorang ditentukan oleh satu keputusan sistem, pada satu waktu tertentu, berdasarkan kriteria yang terhad.

Apabila hal ini berlaku, kegagalan memasuki sekolah impian bukan lagi satu episod kehidupan tetapi seolah-olah penamat masa depan. Persepsi ini tidak adil kepada anak-anak kita yang belum matang dalam mengenali cabaran dunia.

Hakikatnya, kualiti pendidikan tidak hanya terletak pada nama sekolah tetapi pada budaya belajar, sokongan keluarga, persekitaran rakan sebaya dan yang paling penting, sikap pelajar itu sendiri.

Seorang pelajar yang berdisiplin, ingin tahu dan berakhlak mulia akan tetap berkembang walau di manapun dia ditempatkan. Sebaliknya, pelajar yang bergantung sepenuhnya pada ‘jenama sekolah’ tanpa membina jati diri tetap berisiko tersasar walaupun berada di institusi terbaik.

Rezeki bukan hanya tentang tempat belajar tetapi tentang guru yang ditemui, sahabat yang membentuk karakter, cabaran yang menguatkan jiwa dan pengalaman yang mendewasakan.

Mungkin sekolah impian yang tidak tercapai hari ini akan digantikan dengan pengalaman yang jauh lebih membina, walaupun tidak popular di mata masyarakat. Sejarah membuktikan bahawa ramai insan berjaya bukan kerana laluan mereka mudah, tetapi kerana mereka belajar bangkit daripada kekecewaan.

Di sinilah terletaknya makna sebenar iman kepada takdir, bukan sekadar menerima takdir tetapi mempercayai bahawa setiap jalan yang Allah bentangkan, walaupun sukar diterima hari ini akan membuka ruang untuk anak kita menjadi insan yang lebih baik. Ia bermakna laluan hidup anak kita sedang dibentuk dengan cara yang mungkin belum dapat difahami hari ini.