Ringgit mengukuh: Amaran risiko tersembunyi kredibiliti ESG

Prestasi terbaru Ringgit telah ditafsirkan sebagai pengesahan pengurusan makroekonomi yang lebih baik.

Feature Image (4)

TERKINI, pada akhir Januari 2026, Ringgit mengukuh kepada 3.9665 berbanding dolar AS, paras terkuat yang tidak pernah dilihat sejak Mei 2018.

Berdasarkan data daripada Bloomberg, purata jumlah dagangan harian Ringgit mencecah RM19.8 bilion pada tahun 2025 iatu tertinggi dalam tempoh enam tahun, satu tanda keyakinan baharu dunia terhadap ekonomi Malaysia.

Selepas bertahun-tahun mengalami tekanan mata wang, prestasi terbaru Ringgit telah ditafsirkan sebagai pengesahan pengurusan makroekonomi yang lebih baik, keadaan global yang menggalakkan, dan tarikan pelabur baharu.

Namun di sebalik optimisme ini terletak persoalan yang kurang selesa iaitu sejauh manakah keyakinan ini mampu bertahan jika asas yang menyokongnya adalah lebih lemah daripada yang terlihat?

Jurang Kredibiliti ESG dan Greenwashing

Dalam sistem kewangan global hari ini, kredibiliti ESG negara semakin membentuk bagaimana Malaysia dilihat oleh pelabur jangka panjang, pemberi pinjaman dana dan agensi penarafan.

Jika kredibiliti ESG itu tidak seperti yang tertera, akibatnya bukan sahaja mampu menjejaskan reputasi korporat, malah boleh merudumkan nilai mata wang negara itu sendiri.

Sepanjang dekad yang lalu, metrik ESG telah menjadi ciri dominan dalam membuat keputusan pelaburan. Negara dan syarikat kini menekankan skor ESG, laporan kelestarian, dan komitmen iklim hijau sebagai bukti tadbir urus korporat yang bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, peningkatan kajian dan pengalaman pasaran menunjukkan corak yang membimbangkan iaitu skor ESG yang tinggi tidak selalunya sepadan dengan hasil alam sekitar atau sosial di dalam dunia yang sebenar.

Skor ESG tertera baik tetapi prestasi sebenar selalunya tidak. Syarikat dengan skor ESG yang kukuh mungkin masih mencatatkan pelepasan karbon yang tinggi. Negara-negara yang dipuji kerana rangka kerja kemampanan mungkin masih ketinggalan dalam pelaksanaan.

Jurang kredibiliti ESG dan isu ‘greewashing’ bukan lagi sekadar masalah korporat. Apabila komitmen kelestarian adalah sekadar kegunaan kosmetik firma, ia menjejaskan kepercayaan di peringkat nasional. Pelabur mula mempersoalkan sama ada isyarat dasar boleh dipercayai, sama ada risiko peralihan diuruskan, dan sama ada peraturan masa depan akan koheren atau reaktif?

Sebaik sahaja keraguan itu muncul, implikasinya melangkaui firma individu. Ia mempengaruhi:

1. Persepsi risiko negara
2. Pelaburan langsung asing jangka panjang
3. Keputusan peruntukan portfolio
4. Akhirnya, kestabilan mata wang negara

Dalam dunia modal yang peka, kredibiliti ESG telah menjadi pembolehubah makro-kewangan.

Mengapa Ini Penting untuk Ringgit?

Secara tradisinya, kekuatan mata wang telah dijelaskan melalui perbezaan kadar faedah, imbangan perdagangan dan aliran modal. Walaupun faktor-faktor ini kekal penting, ia tidak lagi menceritakan kisah penuh.

Hari ini, modal jangka panjang sangat sensitif terhadap kredibiliti ESG institusi, ini termasuk konsistensi dasar iklim, kualiti tadbir urus, dan penguatkuasaan peraturan. ESG kini diterapkan dalam penilaian risiko, ia bukan lagi dianggap sebagai aktiviti CSR institusi.

Apabila kredibiliti ESG kukuh, ia dapat membantu mengukuhkan keyakinan pelabur dan menyokong aliran masuk modal yang stabil tetapi apabila kredibiliti terhakis, keyakinan boleh hilang secara senyap dan cepat.

Dalam erti itu, daya tahan Ringgit baru-baru ini tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang kekal. Sebaliknya, ia adalah satu undi keyakinan yang bersyarat daripada pelabur luar.

Bahaya Tersalah Anggap Momentum sebagai Mandat

Bahaya bagi pembuat dasar negara untuk mentafsirkan pengukuhan Ringgit sebagai pengesahan bahawa pendekatan semasa kita sudah mencukupi. Momentum Ringgit yang terkini tidak boleh disalah anggap sebagai mandat.

Pasaran modal adalah berpandangan ke hadapan. Ia memberi ganjaran kepada kredibiliti hari ini berdasarkan jangkaan pencapaian hari esok. Jika pembangunan kelestarian terhenti atau jika kemajuan ESG terbukti dangkal, pasaran sudah tentu akan menilai semula komitmen dan kredibiliti ESG negara.

Impaknya mungkin tidak akan dirasai dengan serta-merta, namun ia mampu menjadi penentu turun naik nilai mata wang negara.

Keadaan ini amat relevan untuk ekonomi sedang membangun seperti Malaysia, di mana keyakinan pelabur selalunya lebih rapuh. Mata wang boleh kehilangan sokongan pelabur luar jika kredibilitinya lemah.

Apa yang Sebenarnya Diperlukan oleh Kredibiliti ESG?

Kredibiliti ESG sebenar melangkaui rangka kerja pelaporan dan pelan strategik. Ia memerlukan:
• Hasil alam sekitar yang boleh diukur, bukan hanya sasaran
• Penguatkuasaan piawaian tadbir urus, bukan hanya garis panduan
• Ketekalan dasar merentasi kitaran politik dan ekonomi
• Ketelusan tentang pertukaran dan kos peralihan

Mojoriti pelabur luar faham bahawa peralihan kelestarian negara adalah sesuatu yang kompleks, tidak sempurna dan memerlukan jangka masa panjang. Namun, mereka tidak mempunyai toleransi terhadap kekaburan antara retorik dan realiti.

Satu Ujian, Bukan Trofi

Oleh itu, prestasi Ringgit baru-baru ini harus dilihat bukan sebagai trofi, tetapi sebagai ujian.

Ia menguji sama ada Malaysia boleh menterjemahkan naratif kelestarian kepada hasil yang ketara. Ia menguji sama ada pembaharuan ESG dapat menahan penelitian apabila piawaian global diperketatkan. Ia menguji sama ada kredibiliti ESG negara dapat dikekalkan melalui dasar dan disiplin institusi yang konsisten. Dan ia menguji akauntabiliti terhadap komitmen ESG negara, dengan harapan ia bukan sekadar omong kosong.

Pada masa lalu, perdebatan kemampanan sering dibingkaikan sebagai imperatif moral atau alam sekitar. Hari ini, ia juga merupakan imperatif kewangan. Apabila kredibiliti lemah, impak terhadap mata wang akan terasa.

Ringgit yang lebih kukuh adalah perkembangan yang dinanti-natikan oleh seluruh rakyat Malaysia tetapi jika kredibiliti ESG adalah sebahagian daripada keyakinan yang menyokongnya, maka kredibiliti itu mesti dilindungi dengan substansi, bukan simbolisme.