Peranan sains dan nombor NOT di sebalik produk kosmetik
Istilah seperti nombor notifikasi atau lebih dikenali sebagai nombor NOT sering dianggap sebagai ‘cop kelulusan’ mutlak.

INDUSTRI kosmetik di Malaysia kini sedang berada di fasa kemuncak. Jika kita meninjau media sosial, jenama baharu muncul hampir setiap hari dengan bungkusan yang memukau dan janji-janji kecantikan yang menggiurkan. Pertumbuhan pesat ini sememangnya petanda positif bagi ekonomi negara dan ruang inovasi tempatan.
Namun, di sebalik keghairahan mengejar trend kulit ‘glowing’ atau ‘glass skin’, terdapat satu aspek fundamental yang sering terlepas pandang oleh pengguna, malah segelintir pengusaha sendiri iaitu sains di sebalik formulasi dan kepentingan regulatori yang mengawal selia setiap botol produk di pasaran.
Bagi pengguna awam, istilah seperti nombor notifikasi atau lebih dikenali sebagai nombor NOT sering dianggap sebagai ‘cop kelulusan’ mutlak daripada pihak berkuasa dan kelulusan mutlak terhadap keberkesanan atau kualiti sesuatu produk. Tanggapan ini sebenarnya perlu diperbetulkan. Hakikatnya, sistem kosmetik di Malaysia yang selaras dengan ASEAN Cosmetic Directive (ACD) mengamalkan pendekatan kawalan kendiri (self-regulation).
Melalui sistem ini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menyediakan platform notifikasi yang tersusun manakala tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kualiti produk terletak sepenuhnya pada pengilang dan pemilik jenama. Ini bermakna, beban tanggungjawab untuk memastikan sesuatu produk itu selamat digunakan terletak sepenuhnya di bahu pengilang dan pemilik jenama. Sebelum sesuatu produk dipasarkan, pengilang wajib memaklumkan kepada Pengarah Perkhidmatan Farmasi melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Kepentingan nombor NOT ini bukan sekadar prosedur birokrasi tetapi ia adalah tuntutan undang-undang. Menurut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik (CDCR) 1984, adalah menjadi satu kesalahan besar bagi mana-mana pihak untuk mengeluarkan, menjual, membekalkan atau mengimport produk kosmetik tanpa notifikasi yang sah.
Walau bagaimanapun, pengguna harus sedar bahawa nombor NOT hanyalah tanda bahawa produk tersebut telah didaftarkan dalam sistem, bukannya jaminan penuh terhadap keberkesanan atau kualitinya secara mutlak. Keselamatan sebenar produk tersebut tetap bergantung kepada amalan sains formulasi yang jujur, dokumentasi yang telus dan pematuhan berterusan oleh pihak pengilang.
Apabila kita bercakap tentang produk kosmetik, terutamanya yang dihasilkan secara pukal, sains formulasi merupakan nadi kepada pembangunan produk kosmetik. Membina satu formula kosmetik yang stabil bukanlah semudah mencampurkan beberapa bahan aktif ke dalam satu bekas. Setiap bahan kimia yang dipilih perlu diteliti dari segi sifat kimianya, keserasian dengan bahan lain serta bagaimana ia bertindak balas apabila terkena kulit manusia.
Terdapat bahan aktif tertentu yang sangat sensitif terhadap faktor luaran seperti cahaya matahari, perubahan suhu dan pendedahan kepada oksigen. Tanpa kepakaran sains yang betul, kestabilan produk boleh terjejas dengan mudah, yang akhirnya menyebabkan perubahan warna, bau yang kurang menyenangkan atau tekstur yang berubah menjadi kasar.
Lebih membimbangkan, kegagalan dalam formulasi boleh mengundang bahaya kepada kulit pengguna. Di sinilah pentingnya peranan ahli sains formulasi dalam menentukan jenis dan kepekatan bahan pengawet yang tepat. Bahan pengawet sering dipandang negatif oleh segelintir pengguna, namun hakikatnya, tanpa sistem pengawetan yang optimum, produk kosmetik yang mengandungi air akan menjadi tempat pembiakan bakteria dan kulat yang sangat cepat.
Oleh itu, sains formulasi memastikan produk bukan sahaja memberikan kesan kecantikan yang diinginkan, malah kekal selamat dan stabil sepanjang tempoh ia berada di atas meja solek pengguna.
Setiap pemilik jenama atau dalam istilah industrinya dikenali sebagai Cosmetic Notification Holder (CNH), mempunyai tanggungjawab besar yang tidak boleh dipandang remeh. Sebelum mereka menyerahkan notifikasi kepada NPRA, mereka wajib menyediakan satu fail yang sangat kritikal iaitu Fail Maklumat Produk (PIF).
Fail ini bertindak sebagai ‘identiti’ lengkap produk tersebut yang mengandungi segala maklumat terperinci mengenai bahan-bahan yang digunakan, proses pengeluaran, ujian keselamatan yang telah dijalankan serta data-data sokongan yang lain. PIF ini boleh disediakan dalam bentuk fizikal mahupun digital, sama ada dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris dan ia mestilah sentiasa dikemas kini sekiranya terdapat sebarang perubahan pada bahan atau proses pembuatan.
Selain daripada penyediaan PIF, pihak CNH juga harus memastikan setiap produk mematuhi piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP). Ini merangkumi aspek kebersihan kilang, kawalan kualiti serta ketepatan pada label produk. Segala tuntutan pada iklan produk tidak boleh melampaui fakta sains yang ada atau memberi janji-janji perubatan yang tidak masuk akal.
Semua garis panduan ini telah dijelaskan dengan terang di dalam CDCR 1984 dan arahan-arahan susulan daripada pihak NPRA. Pematuhan yang ketat terhadap peraturan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengelakkan tindakan undang-undang tetapi ia adalah satu bentuk amanah untuk membina kegakinan pengguna terhadap jenama tempatan.
Setelah produk berjaya menembusi pasaran, tugas pihak berkuasa tidak terhenti di situ sahaja. NPRA akan menjalankan pengawasan pasca-pasaran secara berkala. Ini termasuklah memantau aduan daripada pengguna, melakukan ujian makmal secara rawak ke atas produk di pasaran dan mengambil tindakan tegas sekiranya produk tersebut didapati mengandungi bahan terlarang atau tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Pendekatan ini memastikan industri kosmetik negara berkembang secara bertanggungjawab dan hanya pengusaha yang komited terhadap keselamatan pengguna sahaja yang mampu bertahan lama dalam pasaran.
Secara keseluruhannya, pembangunan produk kosmetik yang berkualiti memerlukan keseimbangan yang harmoni antara inovasi perniagaan, kepakaran sains dan pemantauan regulatori yang berterusan. Industri kosmetik Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan jenama-jenama antarabangsa yang lain. Namun, untuk mencapai tahap itu, ketelusan dan integriti dalam setiap langkah pembuatan adalah kunci utama.
Dengan memahami peranan nombor NOT, kepentingan PIF dan amalan GMP, kita bukan sahaja membantu membina industri yang mampan, malah memastikan setiap pengguna mendapat hak mereka untuk menggunakan produk yang selamat, berkualiti dan inovatif. Biarlah produk kosmetik kita bukan sahaja indah pada luarannya tetapi juga selamat dan jujur di dalamnya.

