Ijazah kita tidak pernah sia-sia
Tidak semua graduan bernasib baik untuk terus bekerja dalam bidang yang sama dengan pengajian mereka.

ADA satu soalan yang sering bermain di fikiran ramai anak muda hari ini, “Kalau aku tak bekerja dalam bidang ijazah aku, adakah semua usaha belajar dulu itu sia-sia?”.
Soalan ini hadir bersama rasa bersalah, kecewa malah ada kalanya rasa gagal. Lebih-lebih lagi apabila melihat rakan sebaya sudah stabil dalam kerjaya masing-masing, sementara kita masih cuba mencari tempat berpijak dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar dan tidak menentu.
Hakikatnya, realiti hari ini tidak lagi hitam putih. Tidak semua graduan bernasib baik untuk terus bekerja dalam bidang yang sama dengan pengajian mereka. Faktor limitasi peluang pekerjaan, keperluan industri yang sentiasa berubah, komitmen keluarga, lokasi tempat tinggal dan keadaan ekonomi semasa sering memaksa kita membuat pilihan yang bukan pilihan pertama.
Ada yang terpaksa menerima pekerjaan sementara, ada yang perlu menukar haluan demi kelangsungan hidup. Namun, di sinilah satu kebenaran yang jarang diungkapkan dengan lantang iaitu ijazah kita tidak pernah sia-sia.
Ijazah bukan sekadar sekeping kertas atau tajuk bidang pengajian yang tertera pada skrol konvokesyen. Ijazah adalah satu perjalanan panjang pembentukan diri. Bertahun-tahun di universiti mengajar kita berfikir secara kritikal, mengurus masa, bekerja dalam pasukan, berkomunikasi dengan pelbagai latar belakang, mengendalikan tekanan dan belajar untuk tidak mudah berputus asa.
Semua pengalaman ini melahirkan kemahiran hidup atau transferable skills yang sangat bernilai dan boleh dibawa ke mana-mana bidang kerja walaupun berbeza daripada apa yang kita pelajari dahulu.
Ramai antara kita akhirnya bekerja dalam bidang yang berbeza kerana menyedari satu perkara penting iaitu bakat tidak semestinya terhad kepada satu disiplin ilmu.
Ada yang belajar kejuruteraan tetapi cemerlang dalam komunikasi dan kini berjaya dalam bidang pemasaran atau latihan korporat. Ada yang mengambil bidang sains sosial tetapi mendapati diri mereka berbakat dalam pengurusan, perniagaan atau teknologi digital.
Ada juga yang bermula dengan kerja kecil, jauh daripada kelayakan akademik, namun perlahan-lahan membina kerjaya yang stabil, berperingkat dan akhirnya lebih bermakna daripada yang disangka.
Bekerja dengan bakat yang ada bukan bermaksud mengkhianati ijazah. Sebaliknya, langkah tersebut adalah satu bentuk kebijaksanaan untuk mengenali diri sendiri, menerima realiti semasa dan berani mencipta laluan hidup yang lebih selari dengan kemampuan serta keadaan.
Ilmu yang dipelajari tetap menjadi asas kepada setiap tindakan. Cara kita berfikir, membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan berinteraksi dengan orang lain banyak dipengaruhi oleh pengalaman akademik yang pernah dilalui walaupun konteks kerjanya berbeza.
Kejayaan juga tidak datang dalam satu bentuk sahaja. Masyarakat sering meletakkan definisi sempit tentang ‘kerjaya berjaya’ seperti berjawatan besar, gaji tinggi atau bekerja tepat dalam bidang ijazah. Tanpa disedari, tekanan sosial ini membuatkan ramai berasa rendah diri dan ketinggalan.
Hakikatnya, kejayaan sebenar terletak pada kemampuan seseorang menyara diri dengan bermaruah, berkembang sebagai individu, menjaga kesihatan mental dan berasa bermakna dengan apa yang dilakukan setiap hari.
Apabila seseorang mampu bangun setiap pagi dengan rasa tujuan dalam hidup, walaupun kerjanya tidak selari dengan bidang pengajian, itu juga adalah kejayaan yang sering tidak disedari.
Emosi sepanjang perjalanan ini adalah manusiawi, termasuk rasa cemburu terhadap kejayaan orang lain, rasa rendah diri apabila dibandingkan dan ketakutan terhadap penilaian masyarakat.
Ada yang diuji dengan soalan sinis seperti, ‘Belajar tinggi-tinggi, tapi kerja lain juga?’. Kata-kata ini memang menyakitkan dan boleh menghakis keyakinan diri.
Namun, hanya diri sendiri yang benar-benar memahami perjuangan di sebalik setiap keputusan dan apa yang dilalui. Percayalah, setiap pengalaman bekerja walau di luar bidang tetap menyumbang kepada pembinaan kerjaya jangka panjang.
Tidak ada usaha yang benar-benar sia-sia. Setiap kemahiran yang dipelajari, setiap kegagalan kecil dan setiap kejayaan sederhana menjadi batu loncatan kepada versi diri yang lebih matang, berdaya tahan dan lebih mengenali potensi sendiri.
Jika hari ini anda masih mencari arah, ingatlah bahawa hidup bukan perlumbaan siapa paling cepat sampai. Setiap orang memiliki garis masa tersendiri.
Ada yang berjaya awal, ada yang bersinar kemudian dan ada yang melalui jalan berliku sebelum menemui tempatnya. Yang penting, kita terus belajar, menyesuaikan diri dan percaya bahawa nilai diri tidak ditentukan semata-mata oleh tajuk ijazah atau jawatan pekerjaan.
Akhir kata, ijazah kita tidak sia-sia kerana pengalaman tersebut telah membentuk siapa diri kita hari ini yang lebih berani, lebih sedar diri dan lebih bersedia menghadapi dunia sebenar.
Walau di mana pun kita bekerja dan sejauh mana pun laluan kita berbeza daripada perancangan asal, ilmu yang pernah ditimba tetap hidup dalam cara kita berfikir dan bertindak. Dari situlah kejayaan yang sebenar akan terus tumbuh walaupun perlahan tetapi bererti.

