Perkongsian fakta, jalinan emosi dan daya pemikiran dalam drama bertemakan kekeluargaan
Peranan fakta bersandarkan pengalaman hidup adalah penting bagi menimbulkan keyakinan pada naratif penceritaan.

SEBELUM memulakan satu naratif penceritaan, peranan fakta adalah sangat penting untuk dijadikan sandaran. Penceritaan yang berlandaskan fakta berdasarkan pengalaman hidup akan mudah untuk diterima berbanding sebaliknya.
Ia sebagai bukti yang nyata bahawa sesuatu yang diperkatakan itu adalah situasi yang wujud dan telah terjadi serta ramai yang mungkin tahu walaupun dalam cara yang tak sempurna.
Dalam penerbitan drama misalnya, peranan fakta bersandarkan pengalaman hidup adalah penting bagi menimbulkan keyakinan pada naratif penceritaan. Kebolehpercayaan pada sesuatu drama adalah perkara yang boleh diperdebatkan terutama berkenaan perihal sesuatu keadaan yang berlaku dalam masyarakat lalu digubah dalam bentuk persembahan drama.
Tidak dinafikan bahawa ciri drama adalah suatu karya cereka namun rata-ratanya adalah diilhamkan semula berdasarkan situasi yang berlaku terutamanya yang membawa tema kekeluargaan.
Berdasarkan pengalaman menonton, apabila menonton drama yang berkisarkan tentang kehidupan masyarakat selalunya akan diakhiri dengan mesej pesanan berupa tauladan daripada kisah yang dipaparkan.
Ia mungkin dapat difahami dengan mudah kerana sebagai penonton kita juga mempunyai asas pengetahuan berkenaan kisah tersebut dari sudut pengalaman sendiri yang melingkari isu-isu kehidupan semasa.
Hakikatnya, fakta bersandarkan pengalaman itu mungkin sesuatu yang diketahui atau tidak diketahui umum secara seragam.
Cuma cara dan kaedah penyampaian fakta realiti kehidupan dilakukan dengan keunikan yang ada dalam persembahan drama melalui watak yang dicipta, tidak seperti penyampai yang membaca berita di saluran televisyen.
Namun sesuatu yang diketahui, ia wujud berdasarkan pemerhatian dan itu adalah hakikat yang melingkari hasil nukilan seni iaitu persembahan semula secara kreatif yang membabitkan semua elemen sokongan bagi menghidupkan jalan cerita.
Maksud kenyataan ini adalah apabila memperkatakan mengenai drama yang menfokuskan realiti kehidupan masyarakat yang mungkin menimbulkan persoalan berkenaan logika atau sumber pengolahan idea yang berteraskan sesuatu perkara.
Hal ini terjadi kerana setiap mesej yang cuba disampaikan oleh drama sinonimnya bersandarkan dengan sesuatu yang benar berlaku dan melalui perkongsian semula dengan sentuhan seni drama. Yang pasti arah cerita harus mempunyai tanggapan pada sesuatu perkara secara pemahaman jelas.
Sebagai contoh, drama yang membawa kisah konflik kekeluargaan dengan fokus menjurus kepada masalah kewangan sehingga menimbulkan ketidaktentuan dalam hubungan antara ahli keluarga.
Walaupun ia nampak seperti sesuatu yang biasa berlaku tetapi mungkin menerusi babak perlu disandarkan dengan butiran atau keterangan yang menyokong untuk pemahaman penonton.
Walaupun isunya nampak bersahaja tetapi realitinya perkongsian berkenaan mampu memberikan manfaat berupa pengajaran kepada penonton. Paling tidak, ia dapat memberi maksud berkenaan hakikat sebenar yang boleh berlaku seandainya menghadapi situasi yang sama.
Di samping itu, cetusan emosi digarap bagi menguatkan lagi keyakinan dalam pembinaan naratif penceritaan. Sebaiknya peranan emosi melalui watak harus saling bersandar dengan perkongsian cerita yang disampaikan agar drama memiliki perhatian dan kewajaran dalam persembahannya.
Pendekatan emosi mampu mencetuskan rasa sedih, takut, marah, insaf dan akhirnya bakal menjadi isi pengajaran kepada masyarakat.
Dengan bahasa mudah, jalur emosi akan membentuk kefahaman penonton berkenaan titipan tindakan melalui watak dalam memperlihatkan kebenaran sesuatu situasi. Petikan emosi tersebut mampu untuk membentuk hubungan interpersonal dengan penonton.
Emosi merupakan ekspresi yang menuntun pemikiran, perasaan mahupun pengalaman yang padat dan penuh makna hingga menimbulkan kesan kepada penonton.
Emosi dapat dilihat melalui reaksi wajah, kata-kata yang digunakan dan dalam pelbagai suasana yang mengikat kita sebagai penonton untuk merasai emosi yang wujud. Melalui reaksi wajah, memungkinkan penonton untuk terus memberi tafsiran emosi kerana ia mudah diklasifikasikan.
Wajah sedih, marah, keliru dan pelbagai lagi gambaran emosi agak mudah untuk diukur. Begitu juga dengan pemilihan kata-kata yang menjelmakan sudut emosi kerana deretan perkataan yang digunakan mempunyai makna yang jelas bagi menggambarkan perasaan.
Rungkaian dialog misalnya akan diiringi dengan intonasi yang menggambarkan emosi dan kadar kejelasan suara yang menyokong pembentukan makna.
Menariknya, emosi melalui suasana agak berlainan kerana ia bersifat abstrak dan perlu penelitian sebelum kesimpulan dilakukan. Ia lebih kepada gambaran suasana yang membentuk emosi seperti apabila ahli keluarga berkumpul untuk menikmati makan malam bersama, ia menggambarkan emosi kebahagiaan yang dikecapi bersama keluarga.
Namun sesuatu yang pasti, penonton berkemungkinan tidak menyedari lontaran emosi ini kerana penerimaannya tidak berbentuk seragam antara individu dengan individu yang lain dan sukar untuk dikesan.
Justeru, fakta bersandarkan pengalaman dan emosi jika dijalinkan dengan baik akan membawakan dimensi keyakinan dan pemahaman yang berkesan kepada penonton. Sebagai sebuah hasil penciptaan karya kreatif, kebolehan drama dalam menyampaikan mesej sememangnya tidak mampu untuk dipertikaikan.
Garapan audio visual dilihat sangat efisyen untuk memberikan kesan yang dikehendaki kepada penonton. Apatah lagi jika ia disulam dengan pendekatan seni yang halus dari kaca mata pengarahan.
Drama boleh diringkaskan sebagai sebuah terjemahan idea melalui cerita yang dibina atas sebab-sebab tertentu yang mempunyai kepentingan untuk menjadi tatapan umum. Ketika menonton drama, pengalihan pemikiran pengarah akan ditafsir dan diadaptasi bersesuaian dengan aliran pemikiran penonton.
Namun, kreativiti dalam penyampaian bakal mengindahkan lagi penerimaan penonton dengan cerita yang diungkapkan.
Bagi menimbulkan kesan yang mengagumkan, drama disampaikan dengan cara puitis dari sudut seni seperti pemilihan genre, keindahan naratif, sisipan unsur semiotik, jalinan retorik, dan banyak lagi yang menghidupkan plot iaitu urutan tindakan dalam drama.
Ini penting dalam mewujudkan persepsi dan rumusan awal kepada penonton. Plot akan membantu penonton untuk memahami pilihan yang ada pada watak dan menjalin kesinambungan dengan pemikiran mereka jika melalui keadaan yang sama dengan cerita yang dipaparkan
Pemahaman penonton akan terbina berdasarkan adaptasi sekeliling seperti pandangan peribadi, persekitaran terdekat dan pengalaman orang lain yang digunakan dalam membuat andaian dan penilaian apabila terdedah dengan naratif drama yang ditonton.
Penonton akan terlibat secara aktif dalam memikirkan natijah kebaikan mahupun keburukan yang ada dan kebolehan menilai ini menjadikan penonton sedar akan peri pentingnya dalam membuat penilaian berdasarkan situasi yang dibawa dalam drama.
Penonton akan terkehadapan dalam membuat jangkaan terhadap perkara yang bakal berlaku seandainya berhadapan pada situasi yang sama. Ini memperlihatkan bahawa terdapat dorongan positif pada pemikiran penonton yang berjaya dibawakan oleh drama dan seterusnya melukis hakikat bahawa drama bertindak sebagai pencetus pemikiran dan menyusun pandangan penonton berkenaan realiti kehidupan.
Jelaslah bahawa peranan fakta bersandarkan pengalaman dalam naratif penceritaan dan cetusan emosi melalui watak dalam drama adalah penting dalam mengimbangi penyampaian mesej dengan berkesan tanpa menimbulkan kegusaran penonton.
Drama mungkin pada mulanya dianggap lebih kepada didikan melalui hiburan, namun kepelbagaian nasihat, pengajaran dan nilai-nilai murni membolehkannya merangsang pemikiran penonton.
Mungkin ramai yang akan bersetuju jika dikatakan bahawa drama boleh dijadikan sandaran pemikiran sebagai panduan dalam kehidupan nyata dan sebuah naskah yang menyasarkan kebaikan kepada penonton.

