Puasa seharusnya memupuk dan melestari semangat kebersamaan

Allah membenci beberapa perkara iaitu perbuatan banyak berkata-kata tanpa manfaat seperti menyebarkan khabar angin atau percakapan sia-sia.

Feature Image (5)

PUASA adalah satu manifestasi praktikal yang menunjukkan kesatuan umat Islam serta kesamarataan antara mereka, sama ada yang kaya atau miskin, pemerintah atau rakyat, yang tua atau muda, lelaki atau perempuan.

Kesemuanya berpuasa kerana Allah SWT, memohon keampunan atas dosa yang telah dikerjakan, menahan diri daripada makan dan minum pada waktu yang sama serta berbuka puasa pada waktu yang sama.

Mereka juga disamakan sepanjang siang dalam merasai lapar dan kekurangan, sebagaimana mereka disamakan dalam ibadah-ibadah lain yang berkaitan dengan puasa.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183).

Berkaitan dengan semangat kesatuan dan kebersamaan pula, cendekiawan Islam pernah berkata: “Apabila Aku memerhatikan nas-nas di dalam dalil-dalil syarak, ternyata kesemua Nas Itu membawa kepada perkara yang satu iaitu ajakan kepada kesatuan Dan Kebersamaan. Sebaliknya apabila Aku melihat akan keadaan umat Yang sudah ratusan tahun memilih untuk berpecah dan berkonflik, ternyata seruan kepada perpecahan Dan bercakaran lebih mudah difahami Dan diterima. Aku merasa amatlah sedih dengan keadaan umat Islam ketika ini Yang ditimpa kelemahan akibat perpecahan mereka.”

Hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa sesungguhnya Allah meredai bagi manusia tiga perkara dan membenci tiga perkara yang lain. Allah meredai apabila manusia menyembah-Nya semata-mata tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun. Selain itu, Allah juga meredai apabila umat Islam berpegang teguh kepada tali Allah secara bersama-sama dan tidak berpecah-belah antara satu sama lain.

Dalam masa yang sama, Allah membenci beberapa perkara iaitu perbuatan banyak berkata-kata tanpa manfaat seperti menyebarkan khabar angin atau percakapan sia-sia, banyak bertanya perkara yang tidak perlu atau melampaui batas, serta membazirkan harta tanpa tujuan yang bermanfaat. (Riwayat Muslim).

Berkaitan dengan itu, Allah SWT berfirman: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia.” (Surah Ali ‘Imran:110).

Konsep ‘umat’ dalam Islam adalah satu konsep al-Quran yang datang dalam konteks yang sangat tersusun. Ia bukan sekadar nama, istilah atau perkataan tetapi satu wadah ilmu yang menghimpunkan semua. Umat Islam adalah pusat kekuatan manusia kerana nilai akidah dan akhlak ilahi yang mereka bawa, yang menyatukan semua bangsa, warna kulit dan bahasa dalam satu kelompok yang saling menguatkan antara satu sama lain.

Konsep ini mengikat hubungan, harapan dan meningkatkan persefahaman antara mereka, serta menyatukan perasaan dan cara berfikir sehingga mereka seolah‑olah seperti satu tubuh. Ia adalah umat yang tidak dipisahkan oleh sempadan geografi, bangsa atau apa sahaja perbezaan.

Semua yang berada dalam umat ini, walaupun berbeza latar, disatukan oleh akidah Islam dan berpegang teguh kepada ajaran al‑Quran yang lengkap dan kekal hingga akhirat.

Allah SWT juga telah memberikan kepada umat ini tugas dan ciri istimewa yang mempersiapkan mereka untuk melaksanakan peranan dakwah dan menjadi khalifah di muka bumi.

Dengan itu Allah SWT memuji Nabi Ibrahim AS dengan gelaran ‘umat’ sebagaimana dalam ayat 120 Surah al-Nahl: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan ‘satu umat’ (walaupun Ia seorang diri); ia taat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik.”

Kesatuan dalam ibadah ini dizahirkan menerusi perbuatan yang sama yang mesti dilaksanakan dalam ibadah tersebut. Seperti juga ibadah solat, manifestasi kesatuan itu lebih jelas dalam ibadah ini apabila ia berlaku dalam masa yang agak lama iaitu bermula dari subuh hingga ke maghrib dan kemudian ibadah ini akan meletakkan manusia pada satu martabat yang sama di mana kesemua mereka tidak dibenarkan melakukan perkara yang paling asas iaitu makan dan minum, atau dalam kata lainnya menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa.

Hal ini akan menjadikan kesemua Muslim itu merasai kelaparan dan kedahagaan yang sama, sekali gus ia berpotensi menerbitkan belas ihsan, kasih sayang dan ukhwah sesama umat Islam tanpa mengira bangsa, warna kulit dan benua kita berada.

Menurut al-Imam al-Sa’di, antara bentuk penyatuan umat dalam agama dan usaha mengelakkan perpecahan ialah melalui amalan yang diperintahkan oleh syarak agar dilakukan secara bersama. Antaranya perhimpunan dalam ibadah haji, sambutan hari raya, solat Jumaat, solat lima waktu secara berjemaah, jihad dan ibadah-ibadah lain. Semua ibadah ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna melainkan apabila umat Islam berhimpun dan melaksanakannya secara bersama serta menjauhi perpecahan.

Ramadan dan konflik Asia Barat

Sejarah Islam sebenarnya memperlihatkan bahawa bulan Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, bahkan turut menjadi saksi kepada beberapa peristiwa penting yang menzahirkan kekuatan, kesatuan dan keazaman umat Islam.

Antaranya ialah kemenangan dalam Perang Badar, Perang Ahzab, pembebasan Al-Quds dalam perang Hittin, serta kemenangan dalam ‘Ain Jalut, yang semuanya menjadi simbol bahawa kekuatan umat Islam terletak pada kesatuan, keimanan dan kebijaksanaan strategi. Peristiwa-peristiwa ini memberi pengajaran bahawa kemenangan tidak hanya bergantung kepada kekuatan material semata-mata tetapi juga kepada perpaduan dan keteguhan prinsip.

Oleh itu, mengambil semangat daripada peristiwa-peristiwa sejarah tersebut, sewajarnya negara-negara Arab dan dunia Islam melakukan muhasabah yang mendalam terhadap kedudukan mereka pada hari ini.

Mereka perlu mengambil langkah yang lebih berani dan strategik untuk mengukuhkan kedaulatan politik, ekonomi dan ketenteraan, serta mengurangkan kebergantungan kepada kuasa-kuasa luar yang sering mempengaruhi dasar dan kepentingan mereka. Usaha ini penting bagi memastikan dunia Islam mampu mempertahankan kepentingannya sendiri tanpa terperangkap dalam percaturan geopolitik kuasa besar.

Sejarah moden juga memperlihatkan bahawa konflik yang melibatkan kuasa-kuasa besar sering membawa penderitaan besar kepada manusia sejagat.

Selain konflik di Palestin, pelbagai peperangan lain seperti di Vietnam, perang pemisahan Korea, konflik di Afghanistan dan Iraq, serta campur tangan di beberapa negara Amerika Latin telah meninggalkan kesan kemusnahan yang mendalam terhadap masyarakat dan kestabilan dunia.

Peristiwa-peristiwa ini menjadi pengajaran bahawa konflik geopolitik yang berpanjangan sering memberi kesan paling besar kepada rakyat biasa yang tidak bersalah.

Oleh yang demikian, dunia Islam perlu kembali membina kekuatan dalaman melalui perpaduan, keadilan dan kemandirian dalam pelbagai aspek kehidupan. Hanya dengan kekuatan tersebut umat Islam mampu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memperjuangkan keamanan, mempertahankan hak kemanusiaan serta memastikan kedaulatan mereka tidak terus dipengaruhi oleh kepentingan kuasa luar.