PPAS dan UM bergabung bina ruang intelektual komuniti
Inisiatif “Writing-Outing” diadakan bersama para pelajar di bawah seliaan Dr. Amirah dan Dr. Syabeera bertempat di Perpustakaan Daerah Gombak.
KUALA LUMPUR, 9 April 2026 – Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) merupakan nama yang tidak asing lagi dalam komuniti Malaysia, khususnya warga Selangor sebagai perpustakaan awam yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat untuk mendapatkan bahan bacaan dan rujukan, ruang perbincangan serta menjalankan aktiviti yang bersifat intelektual.
Di bawah penubuhan PPAS, terdapat Perpustakaan Daerah, Perpustakaan Cawangan atau Pekan serta Perpustakaan Desa yang masing-masing mempunyai hierarki kemudahan tersendiri.
Bagi memanfaatkan fasiliti yang telah disediakan, satu inisiatif bersama kumpulan seliaan projek tahun akhir dilaksanakan untuk berada dalam satu ruang yang sama bagi menulis tesis, menyediakan manuskrip artikel serta menganalisis dapatan kajian menggunakan pilihan perisian masing-masing. Aktiviti hujung minggu ini juga dilihat sebagai inisiatif di luar ruang lingkup kampus dengan menawarkan suasana baharu kepada para pelajar untuk menyelesaikan projek tahun akhir mereka.
Inisiatif yang diberi nama “Writing-Outing” itu diadakan bersama para pelajar di bawah seliaan Dr. Amirah dan Dr. Syabeera bertempat di Perpustakaan Daerah Gombak (PPAS Gombak). Program tersebut memudahkan para pelajar untuk mengemukakan sebarang persoalan berkaitan projek tahun akhir secara terus kerana berada dalam ruang lingkungan yang sama bersama penyelia masing-masing. Perbincangan secara dua hala ini membantu menjana idea-idea baharu secara langsung.

Pelaksanaan inisiatif “Writing-Outing” menerima maklum balas yang sangat positif daripada para pelajar. Mereka menyifatkan program ini sebagai platform terbaik untuk meningkatkan produktiviti dalam suasana yang lebih santai. Rata-rata pelajar melahirkan rasa puas hati terhadap pemilihan lokasi yang kondusif, yang bukan sahaja membantu mereka mengatasi fasa “burnout”, malah menyuntik semangat baharu untuk menyiapkan projek tahun akhir dan penulisan artikel.
Selain itu, para pelajar turut menghargai peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan penyelia dan rakan sebaya. Keadaan ini membolehkan proses perkongsian idea serta bimbingan akademik berlangsung dengan lebih efektif. Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sekadar aktiviti penulisan, malah menjadi perantara utama dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta memastikan masa hujung minggu dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah.

PPAS Gombak turut menyediakan suasana kondusif melalui kemudahan seperti ruang berhawa dingin, surau yang selesa, kafeteria dengan pelbagai pilihan menu serta ruang rehat yang santai. Selain itu, kemudahan capaian internet berkelajuan tinggi membolehkan para pelajar mendapatkan maklumat serta menulis dalam suasana yang produktif. Bahan bacaan yang tersedia juga membantu para pelajar memperoleh rujukan tambahan yang bersesuaian mengikut keperluan kajian.
Kemudahan serta fasiliti yang disediakan bukan sahaja terhad kepada pelajar di peringkat universiti, malah ruang untuk kanak-kanak turut menjadi salah satu tarikan di PPAS Gombak. Pelbagai kemudahan yang tersedia ini membolehkan PPAS berperanan sebagai satu ruang lingkup selamat bagi keseluruhan ahli masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
