Pendekatan proaktif lebih sesuai tangkis berita palsu
Apabila sesuatu maklumat salah sudah bertapak dalam minda seseorang, proses pembetulan (debunking) menjadi kurang berkesan.

DALAM mendepani arus digital yang semakin deras, setiap hari kita dibanjiri dengan pelbagai bentuk maklumat termasuk petua kesihatan yang meragukan dan dakwaan yang kononnya disokong oleh fakta sahih. Dalam sekelip mata, maklumat ini mampu tersebar secara meluas melalui aplikasi mesej dan media sosial, walaupun kesahihannya masih menjadi tanda tanya besar.
Dalam ekosistem maklumat hari ini, salah satu isu utama bukan sekadar kewujudan maklumat salah atau palsu tetapi juga kecenderungan masyarakat untuk mempercayai dan menyebarkannya tanpa penilaian kritikal. Selama ini, kita banyak bergantung kepada pendekatan reaktif, antaranya melalui platform semakan fakta seperti Sebenarnya.my. Walaupun usaha ini murni, ia sering kali dilakukan selepas sesuatu maklumat telah tular dan dipercayai oleh sebahagian pihak.
Dari sudut psikologi, pendekatan reaktif ini berdepan dengan cabaran yang ketara. Apabila sesuatu maklumat salah sudah bertapak dalam minda seseorang, proses pembetulan (debunking) menjadi kurang berkesan, berikutan sifat semula jadi manusia yang cenderung mempertahankan persepsi awal.
Oleh itu, perhatian juga perlu diberikan kepada pendekatan yang lebih proaktif, iaitu prebunking yang berasaskan Teori Inokulasi dalam bidang psikologi sosial. Dalam pendekatan ini, minda manusia didedahkan kepada taktik manipulasi dalam bentuk yang telah dilemahkan bagi membina daya tahan kognitif.
Proses ini secara tidak langsung mempersiapkan masyarakat agar lebih kental dan tidak mudah terpedaya apabila berhadapan dengan maklumat palsu yang sebenar. Sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances pada tahun 2022 merumuskan bahawa pendedahan awal kepada taktik manipulasi berupaya membina daya tahan kognitif masyarakat terhadap maklumat salah secara signifikan.
Keperluan untuk beralih kepada pendekatan prebunking ini menjadi semakin mendesak selari dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) masa kini. Walaupun AI membawa banyak manfaat dalam memudahkan urusan harian, teknologi ini juga mampu menghasilkan maklumat palsu yang hampir mustahil untuk dikesan kecacatannya oleh mata kasar.
Mekanisme prebunking boleh bertindak sebagai amaran awal kepada minda manusia. Sebagai contoh, sebelum seseorang berhadapan dengan video palsu yang dihasilkan oleh AI, mereka terlebih dahulu didedahkan kepada taktik bagaimana AI boleh digunakan untuk meniru wajah atau suara.
Dengan memahami cara penipuan ini dilakukan, minda tidak lagi hanya fokus kepada ‘apa’ yang dilihat, tetapi juga mula mempersoalkan ‘mengapa’ maklumat itu dihantar. Hal ini membolehkan manipulasi maklumat dikesan bukan sahaja melalui kandungan, tetapi juga berdasarkan niat atau emosi yang mencurigakan, walaupun video tersebut tampak sempurna pada mata kasar.
Sebenarnya, pendekatan proaktif ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, dalam kempen membanteras ancaman ‘scam’ secara dalam talian, pihak berkuasa dan agensi berkaitan sering mendedahkan amaran tentang modus operandi sindiket kepada masyarakat. Dengan pendedahan awal terhadap taktik penipuan ini, masyarakat menjadi lebih berwaspada.
Jika kempen kesedaran ‘antiscam’ berkesan dalam mendedahkan taktik penipuan kewangan, pendekatan yang sama wajar digunakan untuk menangani manipulasi maklumat digital. Sebagai contoh, banyak maklumat palsu sebenarnya beroperasi menggunakan formula manipulasi yang hampir sama, seperti penggunaan tajuk yang mencetuskan panik, rujukan kepada ‘pakar’ yang tidak jelas identitinya, serta penggunaan bahasa yang mendesak.
Apabila masyarakat memahami corak penipuan ini, mereka secara automatik akan menjadi lebih skeptikal terhadap sebarang maklumat yang mempunyai ciri-ciri serupa, walaupun topiknya berbeza.
Usaha membudayakan pendekatan ini menuntut satu anjakan paradigma. Tanggungjawab meningkatkan daya tahan kognitif masyarakat tidak lagi praktikal jika disandarkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Pencipta kandungan digital, misalnya, memegang pengaruh yang cukup signifikan.
Jangkauan luas yang mereka miliki berpotensi dimanfaatkan untuk mendedahkan corak manipulasi maklumat ini kepada pengikut, sekali gus menyeimbangkan budaya penciptaan kandungan yang sering kali terperangkap dalam nilai sensasi.
Pada masa sama, literasi media yang paling berkesan sebenarnya tidak lagi berlaku hanya di dalam bilik darjah tetapi bermula di peringkat akar umbi melalui ruang interaksi harian seperti aplikasi mesej peribadi dan perbualan seharian. Usaha ini dilihat mampu melengkapkan kempen kesedaran nasional sedia ada seperti “Tak Pasti, Jangan Kongsi” dengan membekalkan semacam ‘deria pengesan’ secara praktikal kepada pengguna.
Dalam hal ini, memupuk tabiat bertanyakan soalan asas seperti “Siapa sebenarnya sumber maklumat ini?”, “Apakah niat di sebalik emosi yang cuba dibangkitkan?”, dan “Adakah dakwaan ini boleh disemak silang?” sebelum menekan butang kongsi merupakan benteng pertama yang berupaya memutuskan rantaian penyebaran maklumat salah secara organik.
Kesimpulannya, cabaran maklumat masa kini menuntut kita untuk berhenti sekadar menjadi pembetul fakta selepas kerosakan berlaku. Perhatian kini wajar dialihkan kepada usaha membina daya tahan kognitif masyarakat agar mereka mampu mengenal pasti dan menolak manipulasi maklumat secara kendiri, demi kestabilan sosial dan kesejahteraan negara.

