Menghidupkan roh ibadat mencapai tangga kemabruran haji

Haji yang mabrur bukan hanya diukur melalui kesempurnaan rukun dan wajib haji tetapi turut dinilai melalui perubahan sikap, pemikiran dan tindakan seseorang selepas kembali ke tanah air.

Feature Image (6)

IBADAH haji merupakan kemuncak pengabdian seorang Muslim kepada Allah SWT. Ia bukan sekadar perjalanan fizikal ke Tanah Suci, bahkan merupakan proses tarbiah rohani yang mendidik jiwa supaya lebih bertakwa, berakhlak mulia serta bersedia memikul amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Haji yang mabrur bukan hanya diukur melalui kesempurnaan rukun dan wajib haji tetapi turut dinilai melalui perubahan sikap, pemikiran dan tindakan seseorang selepas kembali ke tanah air.

Rasulullah SAW bersabda: “Haji yang mabrur tidak ada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Persoalannya, apakah tanda-tanda haji yang mabrur? Antara petunjuk yang utama ialah apabila seseorang menjadi lebih baik selepas menunaikan haji berbanding sebelumnya. Justeru, para hujjaj mempunyai peranan dan tanggungjawab besar selepas tamat ibadah haji agar pengalaman spiritual yang diperoleh di Tanah Suci dapat diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat. Terdapat lima peranan utama yang perlu dipikul oleh para hujjaj:

Menghidupkan Roh Ibadah

Peranan pertama para hujjaj ialah menjadi teladan atau qudwah hasanah kepada masyarakat. Ketika berada di Tanah Suci, para jemaah dididik dengan sifat sabar, bertolak ansur, berdisiplin dan menghormati orang lain walaupun berdepan pelbagai cabaran. Nilai-nilai ini seharusnya diteruskan selepas kembali ke tanah air.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” (Surah al-Ahzab: 21)

Masyarakat lazimnya memandang tinggi kepada individu yang telah menunaikan haji. Oleh itu, para hujjaj perlu menjaga tingkah laku, percakapan dan pergaulan agar sentiasa mencerminkan akhlak Islam. Mereka hendaklah menjauhi sifat sombong, riak dan merasa diri lebih mulia daripada orang lain kerana gelaran “haji” bukanlah simbol kemegahan tetapi lambang amanah dan tanggungjawab.

Apabila para hujjaj menunjukkan kejujuran dalam urusan, kesopanan dalam percakapan serta kematangan dalam tindakan, mereka akan menjadi agen perubahan yang mampu membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik. Akhlak yang baik merupakan dakwah paling berkesan kerana manusia lebih mudah mencontohi perbuatan berbanding mendengar nasihat semata-mata.

Menjadi Pendakwah dam Penyebar Nilai Islam

Peranan kedua ialah menjadi pendakwah dalam lingkungan keluarga, jiran dan masyarakat. Pengalaman berada di Makkah, Madinah, Mina, Arafah dan Muzdalifah memberikan pelbagai pengajaran yang boleh dikongsi kepada orang lain.

Allah SWT berfirman: “Dan hendaklah ada antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” (Surah Ali Imran: 104)

Dakwah tidak semestinya dilakukan melalui ceramah besar atau kuliah rasmi. Sebaliknya, ia boleh dilakukan melalui nasihat yang berhikmah, perkongsian pengalaman haji, penglibatan dalam aktiviti masjid serta pembinaan budaya ilmu dalam masyarakat.

Para hujjaj yang telah menyaksikan sendiri perpaduan umat Islam dari seluruh dunia sewajarnya menyampaikan mesej bahawa Islam ialah agama persaudaraan dan kasih sayang. Mereka juga boleh menjadi sumber rujukan kepada bakal jemaah haji dan umrah dengan berkongsi pengalaman serta panduan yang bermanfaat.

Tanggungjawab dakwah ini penting kerana ibadah haji sendiri mempunyai unsur dakwah yang kuat. Perhimpunan jutaan manusia di Arafah menggambarkan kesatuan umat Islam yang merentasi bangsa, warna kulit dan bahasa. Pengalaman tersebut perlu diterjemahkan dalam usaha membina masyarakat yang lebih bersatu dan harmoni.

Memperkukuh Kesatuan Dan Ukhuwwah

Peranan ketiga ialah memperkukuhkan perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam. Haji mengajar manusia bahawa semua orang adalah sama di sisi Allah SWT. Ketika memakai ihram, tiada perbezaan antara kaya dan miskin, pemimpin dan rakyat, bangsawan dan orang biasa.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.” (Surah al-Hujurat: 10)

Semangat persaudaraan yang dipelajari sepanjang ibadah haji perlu diteruskan apabila kembali ke tanah air. Para hujjaj hendaklah menjadi pendamai dalam masyarakat, mengelakkan pertelingkahan serta berusaha menyatukan umat Islam yang berbeza pandangan.

Dalam suasana dunia yang dipenuhi dengan pelbagai konflik, perpecahan dan sentimen kepartian yang melampau, para hujjaj perlu tampil membawa mesej kesederhanaan dan perpaduan. Mereka seharusnya menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai kelompok masyarakat demi kepentingan agama dan negara.

Jika semangat Arafah dapat diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat, maka umat Islam akan menjadi lebih kuat, saling membantu dan mampu menghadapi cabaran semasa secara bersama.

Pemangkin Kebajikan dan Khidmat Masyrakat

Peranan keempat ialah memperbanyakkan amal kebajikan serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Haji mendidik manusia supaya mengutamakan pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian terhadap orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.” (Riwayat al-Tabarani)

Selepas kembali daripada haji, para hujjaj perlu aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan seperti membantu golongan miskin, anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan golongan asnaf. Mereka juga boleh menyumbang melalui program pendidikan, kebajikan, kesihatan dan pembangunan komuniti.

Pengalaman melihat jutaan manusia saling membantu ketika menunaikan haji seharusnya menyedarkan para hujjaj tentang pentingnya budaya tolong-menolong. Mereka hendaklah menjadi individu yang ringan tulang, mudah dihubungi dan sentiasa bersedia membantu masyarakat.

Lebih penting lagi, para hujjaj perlu menjadi pencetus kepada budaya wakaf, sedekah dan infak. Amalan ini bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam.

Mengekal Istiqamah Ibadah

Peranan kelima dan paling utama ialah mengekalkan istiqamah dalam ibadah serta terus memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Haji bukan penamat perjalanan spiritual, tetapi permulaan kepada kehidupan yang lebih dekat dengan Allah.

Allah SWT berfirman: “Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu perkara yang yakin (kematian).” (Surah al-Hijr: 99)

Ramai ulama menyatakan bahawa antara tanda haji mabrur ialah seseorang menjadi lebih rajin beribadah selepas menunaikan haji. Solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir, berpuasa sunat serta menghadiri majlis ilmu hendaklah menjadi amalan berterusan.

Para hujjaj juga perlu menjaga hati daripada penyakit rohani seperti riak, ujub, hasad dengki dan takabbur. Mereka hendaklah sentiasa bermuhasabah agar segala kebaikan yang diperoleh sepanjang berada di Tanah Suci tidak hilang begitu sahaja.

Istiqamah merupakan cabaran terbesar selepas haji. Ramai yang mampu melakukan ibadah dengan baik ketika berada di Makkah dan Madinah, tetapi gagal mengekalkannya setelah kembali ke kehidupan harian. Oleh itu, para hujjaj perlu sentiasa memperbaharui niat, mendekatkan diri kepada masjid dan mencari sahabat yang soleh agar semangat haji terus subur dalam jiwa.

Kesimpulannya ibadah haji bukan sekadar memenuhi tuntutan rukun Islam kelima, tetapi merupakan proses pembentukan insan yang bertakwa dan berjiwa besar. Haji yang mabrur akan melahirkan individu yang lebih berakhlak, lebih prihatin terhadap masyarakat serta lebih dekat dengan Allah SWT.

Lima peranan utama para hujjaj selepas tamat menunaikan haji ialah menjadi contoh akhlak mulia, menjadi pendakwah yang menyebarkan nilai Islam, memperkukuhkan kesatuan ummah, menjadi pemangkin kebajikan masyarakat serta mengekalkan istiqamah dalam ibadah. Jika semua peranan ini dapat dilaksanakan dengan baik, maka para hujjaj akan menjadi aset penting dalam pembangunan umat dan negara.

Hakikatnya, kejayaan sebenar ibadah haji bukanlah ketika seseorang berjaya sampai ke Kaabah, tetapi apabila roh haji terus hidup dalam dirinya sehingga akhir hayat. Semoga para hujjaj sentiasa diberikan kekuatan untuk memelihara kemabruran haji dan menjadi agen perubahan yang membawa rahmat kepada seluruh masyarakat.