Menanggung bersama beban krisis kesihatan mental di bilik darjah dan kuliah
Hubungan yang baik antara ibu bapa dan anak bukanlah jaminan bahawa seseorang anak bebas daripada tekanan psikologi.

BEBERAPA siri kes kesihatan mental pelajar sehingga meragut nyawa telah mendapat perhatian Masyarakat seluruh negara. Kes kematian pelajar dan mahasiswa bukan sekadar membuka ruang kepada siasatan undang-undang. Lebih besar daripada itu, ia membuka satu persoalan yang selama ini sering dipinggirkan. Sejauh manakah kita benar-benar memahami kesihatan mental anak-anak dan remaja kita?
Susulan beberapa insiden tersebut, Menteri Pendidikan telah mengingatkan semua sekolah supaya melaksanakan intervensi segera terhadap pelajar yang menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental. Penegasan itu amat bertepatan dengan realiti semasa. Kesihatan mental bukan lagi isu terpencil tetapi telah menjadi cabaran nasional yang memerlukan tindakan bersama daripada sekolah, keluarga dan masyarakat.
Dalam masa yang sama, perkembangan terkini prosiding Mahkamah Koroner berhubung kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir turut memberi satu pengajaran penting kepada masyarakat. Keterangan pakar psikiatri menjelaskan bahawa hubungan anak tersebut dengan ibunya tidak menunjukkan keretakan seperti yang disangka oleh sebahagian pihak. Malah, ibunya dikenal pasti sebagai sumber utama sokongan emosi dan tempat bergantung dalam pelbagai aspek kehidupan.
Penemuan ini membawa satu mesej yang sangat besar. Hubungan yang baik antara ibu bapa dan anak bukanlah jaminan bahawa seseorang anak bebas daripada tekanan psikologi. Seseorang remaja boleh disayangi, dibimbing dan mempunyai keluarga yang baik, namun pada masa yang sama masih bergelut dengan tekanan emosi yang sukar diterjemahkan melalui kata-kata. Inilah hakikat kesihatan mental yang sering disalahfahami.
Masalah psikologi tidak semestinya berpunca daripada keluarga yang bermasalah. Ia boleh berlaku hasil gabungan pelbagai faktor seperti tekanan akademik, hubungan dengan rakan sebaya, buli, konflik identiti, kebimbangan terhadap masa depan, media sosial, perubahan hormon serta personaliti individu itu sendiri.
Lebih membimbangkan, ramai pelajar memilih untuk memendam segala tekanan kerana bimbang dianggap lemah, terlalu sensitif atau sekadar ingin meraih perhatian. Ada yang masih mampu tersenyum di sekolah, aktif di media sosial malah memperoleh keputusan akademik yang baik. Namun di sebalik semua itu, mereka sebenarnya sedang bertarung dengan konflik dalaman yang tidak diketahui sesiapa.
Keadaan ini bukan sahaja berlaku di sekolah menengah. Institusi pengajian tinggi juga berdepan cabaran yang sama. Mahasiswa hari ini hidup dalam dunia yang sangat kompetitif. Mereka berhadapan tekanan untuk cemerlang dalam akademik, memenuhi harapan keluarga, mengurus kewangan, menyesuaikan diri dengan kehidupan berdikari serta membina identiti diri.
Tidak sedikit yang mengalami keresahan, kemurungan, keletihan emosi atau hilang makna kehidupan tanpa disedari oleh orang di sekeliling. Langkah Kementerian Pendidikan memperkukuhkan Program Saringan Minda Sihat dan memperkasakan peranan kaunselor sekolah merupakan usaha yang amat signifikan. Namun hakikatnya, kaunselor sahaja tidak mampu memikul tanggungjawab yang begitu besar.
Guru merupakan individu yang paling hampir dengan pelajar sepanjang waktu persekolahan. Mereka perlu dibekalkan kemahiran mengenal pasti perubahan tingkah laku seperti kemerosotan prestasi, pengasingan diri, perubahan emosi yang ketara, kehilangan minat terhadap aktiviti harian, gangguan tidur, atau luahan yang menggambarkan putus harapan. Pengesanan awal sering menjadi faktor yang menentukan sama ada seseorang pelajar menerima bantuan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Dalam keluarga pula, ibu bapa perlu memahami bahawa komunikasi bukan sekadar bertanya, “Sudah makan?” atau “Macam mana sekolah hari ini?”. Anak-anak memerlukan ruang yang selamat untuk meluahkan emosi tanpa takut dihakimi. Mereka tidak sentiasa mengharapkan penyelesaian segera. Kadangkala mereka hanya memerlukan seseorang yang benar-benar hadir untuk mendengar.
Mendengar bukan sekadar menunggu giliran untuk bercakap. Mendengar ialah memberi perhatian, memahami emosi yang tersirat, menerima tanpa menghakimi dan membantu anak menamakan apa yang sedang mereka rasai. Kemahiran ini semakin menjadi sesuatu yang jarang diamalkan dalam keluarga moden yang terlalu sibuk dengan telefon pintar, pekerjaan dan rutin harian.
Dalam bidang psikologi, proses pengesahan emosi atau emotional validation merupakan salah satu bentuk sokongan yang sangat penting. Apabila seorang anak berkata, “Saya penat,” respons seperti “Tak apa, semua orang penat” mungkin berniat baik tetapi boleh menyebabkan emosinya terasa tidak difahami. Sebaliknya, respons seperti “Ibu nampak kamu memang sedang melalui masa yang sukar. Mari kita bincangkan bersama,” mampu memberikan rasa selamat dan menggalakkan anak untuk terus berkongsi.
Masyarakat juga perlu berhenti membuat andaian mudah setiap kali berlaku sesuatu tragedi. Mencari siapa yang harus dipersalahkan sebelum semua fakta diketahui bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menambahkan penderitaan kepada keluarga yang sedang berduka. Kesihatan mental ialah isu yang kompleks dan jarang sekali mempunyai satu punca yang tunggal.
Apa yang lebih penting ialah mengambil iktibar daripada setiap peristiwa. Kita perlu membina budaya yang lebih prihatin terhadap kesejahteraan psikologi anak-anak. Sekolah perlu menjadi tempat yang selamat untuk mendapatkan bantuan. Universiti perlu memperkukuhkan perkhidmatan sokongan psikologi yang mudah diakses. Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang dipercayai. Rakan sebaya pula perlu berani menghulurkan bantuan apabila melihat perubahan yang membimbangkan.
Kita tidak mampu menghapuskan semua tekanan yang akan dihadapi oleh generasi muda. Namun kita boleh memastikan mereka tidak menghadapinya seorang diri. Kesihatan mental bukan sekadar isu perubatan. Ia ialah isu kemanusiaan. Setiap anak yang memilih untuk memendam perasaan sebenarnya sedang menghantar isyarat yang menunggu untuk dibaca. Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia untuk melihat, memahami dan mendengar sebelum semuanya menjadi terlalu lewat?

