Perlu ada garis panduan berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam

MALAYSIA merupakan sebuah negara dengan masyarakat yang berbilang agama, etnik, dan budaya.

Kepelbagaian ini merupakan sunnatullah seperti yang disebut dalam surah al-Hujurat, ayat 13.

Namun, kepelbagaian ini juga dapat menimbulkan banyak tanggapan yang berbeza sehingga mencetuskan masalah dalam hubungan antara masyarakat.

Sehubungan itu, Islam menegaskan kepentingan keharmonian dan dialog antara penganut agama yang berbeza.

Sejumlah ayat dalam al-Quran menggalakkan umat manusia untuk mengenali satu sama lain dan hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Dialog antara agama juga diamalkan oleh Rasulullah dengan penganut agama Nasrani dan Yahudi dengan memberi ruang kepada mereka untuk menjelaskan ajaran serta pendirian agama masing-masing.

Pada masa sama, tiada pemaksaan terhadap mereka untuk masuk Islam.

Bagi umat Islam, dialog dengan bukan Islam dilakukan bertujuan mencapai keharmonian hidup bersama beserta dakwah melalui teladan yang baik.

Dalam konteks interaksi ini, umat Islam perlu kekal teguh dengan pegangan akidah serta berusaha menonjolkan kebenaran ajaran Islam.

Oleh kerana itu, dalam tradisi keilmuan Islam, kajian mengenai agama lain bermula dengan perbahasan akidah dan berkembang seiring dengan perkembangan Ilmu Kalam.

Kajian yang dilakukan ini bertujuan menghuraikan kebatilan sesuatu agama dan mempertahankan Islam daripada tuduhan dan salah-faham yang dilontarkan oleh penganut agama lain yang mempersoalkan kebenaran Islam.

Ia berasaskan kerangka al-Quran sebagai al-Furqan yang mendedahkan sistem kepercayaan selain Islam bertujuan memberi panduan kepada umat manusia untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan.

Pendekatan ini telah membentuk matlamat wacana ilmuan Muslim terhadap agama lain sejaka kurun ketiga sehingga kelima Hijrah yang telah diterokai oleh para ilmuan Muslim.

Antaranya, Abu Mansur al-Maturidi dalam karyanya, Kitab al-Tawḥid yang mempertahankan akidah tauhid melalui pendedahan terhadap kumpulan yang menyeleweng dalam kalangan Muslim dan sistem kepercayaan yang bertentangan dengan Islam seperti ateisme, dualisme, Majusi, Nasrani serta Yahudi.

Abu al-Ḥasan al-Ash‘ari (d. 324H) pula menulis makalah mengenai agama selain daripada Islam dalam karyanya yang bertajuk Maqalat Ghayr al-Islamiyyin.

Terdapat juga karya yang dihasilkan oleh sarjana Muslim dengan mengambil pelbagai metode yang bersesuaian dengan persekitaran dan masyarakat waktu itu.

Antara yang terkenal dan turut diperakui para sarjana Barat ialah karya Muḥammad ‘Abd al-Karim al-Shahratani (d. 429H) bertajuk al-Milal wa al-Niḥal, karya Ibn Ḥazm al-Zahiri (d. 457H) bertajuk al-Fiṣal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Niḥal, dan karya Abu al-Rayḥan al-Biruni (d. 440H) bertajuk Taḥqīq ma li al-Hind min Maqulah Maqbulah fi al-‘Aql aw Mardhulah.

Sarjana moden Barat merujuknya sebagai pendekatan polemik dan apologetik kerana cenderung untuk mempersoal dan menolak kebenaran doktrin agama lain dan mempertahankan kebenaran ajaran Islam.

Pendekatan kajian agama moden sebaliknya bertujuan untuk keharmonian dan pengetahuan tentang agama semata-mata serta tidak melibatkan aspek pengukuhan akidah.

Bagi sarjana Muslim, data mengenai agama yang dikaji diperoleh melalui beberapa kaedah iaitu melalui petikan kitab suci atau karya sarjana penganut agama tersebut, kajian pemerhatian ikut serta, mendapatkan data langsung daripada penganut agama tersebut atau pun daripada individu penganut asal yang telah memeluk Islam.

Al-Biruni merupakan salah seorang sarjana Muslim yang menggunakan pendekatan empirikal dan metode pemerhatian ikut serta dalam kajiannya terhadap golongan Brahmin yang merupakan kasta tertinggi dalam kalangan penganut agama Hindu.

Sepanjang tempoh pengkajian, beliau telah tinggal bersama dengan Brahmin Hindu dan mempelajari bahasa Sanskrit untuk memahami kitab suci Hindu.

Pendekatan dan metode beliau ini telah dipuji oleh sebahagian sarjana Barat yang dirujuk sebagai metode fenomenoloji (phenomenology) yang diperkenalkan pada akhir kurun ke-19 dan berkembang pada kurun ke-20.

Pada masa kini, praktikal mengunjungi rumah ibadat menjadi kaedah baharu pengajaran dan pembelajaran dalam kursus ilmu Perbandingan Agama.

Aktiviti ini mula diikuti oleh masyarakat awam seiring dengan perkembangan dialog antara agama yang bertujuan untuk meningkatkan persefahaman dan keharmonian antara umat yang beragama.

Dalam Islam, tidak terdapat suruhan mahu pun larangan terhadap kunjungan ke rumah ibadat sebagai metode pembelajaran dan penyelidikan.

Sebaliknya terdapat galakan di dalam al-Quran agar umat Islam saling berkenalan dengan masyarakat lain serta bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan.

Namun, sesuatu yang agak menonjol dari naratif ini ialah praktis kunjungan itu hanya terhad kepada individu yang berkecimpung dan berpengetahuan dalam bidang ilmu Perbandingan Agama dan aktivis yang berkepakaran dan terlibat dalam aktiviti antara agama.

Mereka yang terlibat ini perlu ditajamkan dengan ilmu akidah Islam yang kukuh dan berkebolehan menilai secara kritis perkara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Oleh itu, terdapat beberapa tatacara yang perlu diikuti untuk memastikan kunjungan tersebut tidak menjejaskan akidah dan nilai-nilai Islam.

1. Peserta: Hendaklah terdiri daripada mereka yang telah memiliki pengetahuan akidah yang baik serta didedahkan secara teori dan praktikal berkenaan agama bagi rumah ibadat yang ingin dikunjungi. Kunjungan ke rumah ibadat tanpa ilmu dan persediaan yang selayaknya dikhuatiri akan menimbulkan masalah yang tidak wajar dan bertentangan dengan matlamat kunjungan diadakan.

2. Panduan dan Pengiring Pakar: Kunjungan perlu diiringi oleh pakar dalam bidang Akidah dan Perbandingan Agama untuk memberikan panduan yang tepat mengenai adab kunjungan. Terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku ketika kunjungan dibuat. Antaranya, seperti ajakan menyamaratakan agama dan tuhan semua agama, tanggapan bahawa semua agama mengajak kepada kebenaran dengan mekanisma yang berbeza dan lain-lain. Terdapat juga pihak rumah ibadat yang mungkin menjemput para pelawat untuk cuba mempraktiskan gerakan tertentu dalam upacara keagamaan atas alasan untuk menimbulkan rasa empati dalam kalangan pengunjung. Oleh itu, pengiring pakar berperanan mengawal aspek-aspek yang dinyatakan di atas.

3. Adab dan Larangan Tertentu: Terdapat adab dan larangan tertentu yang perlu diketahui seperti tidak mengambil gambar patung (bagi sebahagian rumah ibadat), memegang patung dan berbuat bising. Umat Islam juga tidak boleh melakukan gerakan-gerakan tertentu dalam upacara keagamaan yang bertentangan dengan akidah Islam seperti gerakan meditasi, melemparkan bunga atau air jampi, membaca mantera agama, bergambar di samping patung-patung kebesaran penganut dan lain-lain. Soalan-soalan yang bersifat provokatif atau merendah-rendahkan agama lain juga perlu dielakkan dalam sesi dialog.

4. Penjelasan Semula: Selepas kunjungan, peserta perlu diberikan penjelasan semula mengenai maklumat dan pengalaman yang diperoleh untuk memastikan tiada kekeliruan terhadap pegangan mereka.

Sehubungan itu, adalah disarankan kepada pihak berautoriti agama untuk mengadakan muzakarah dengan pelbagai pihak yang terlibat bagi membangunkan garis panduan kunjungan ke rumah ibadah yang jelas dan komprehensif.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.