Program ujian bacaan pantas semarak budaya membaca di UCLL Eco Grandeur

Penganjuran Ujian Bacaan Pantas di UCLL Eco Grandeur memperkukuh peranan PTAR UiTM dalam memperluas budaya membaca dan perkongsian ilmu melangkaui persekitaran kampus.

Feature Image (4)

Oleh: NUR FATIHAH MUHAMAD

KUALA LUMPUR 27 Ogos 2026 – Program Ujian Bacaan Pantas telah berjaya diadakan bersempena dengan Majlis Pelancaran UiTM-Eco World Urban Community Living Lab (UCLL) di Eco Grandeur, Puncak Alam.

Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Selangor tidak melepaskan peluang melaksanakan inisiatif bagi menyemarakkan budaya membaca serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti berasaskan ilmu.

Ujian berkenaan memberi peluang kepada para peserta menguji dan mengetahui tahap kelajuan bacaan masing-masing melalui pengiraan Words Per Minute (WPM). Aktiviti tersebut turut dilaksanakan dalam suasana yang santai, interaktif dan menyeronokkan, sekali gus menjadikan aktiviti membaca lebih menarik kepada komuniti setempat dari pelbagai peringkat umur yang tidak malu dan ingin mencuba melatih diri bagi mengetahui tahap kelajuan bacaan mereka.

Penganjuran program ini selaras dengan aspirasi UCLL sebagai platform yang menghubungkan universiti, industri dan komuniti menerusi pemindahan ilmu, pendidikan, inovasi, keusahawanan serta pelbagai program kemasyarakatan. UCLL di Eco Grandeur turut merangkumi inisiatif berkaitan literasi komuniti, pendidikan kesihatan dan pemakanan, keusahawanan belia serta kesukarelawanan pelajar.

Sambutan yang menggalakkan terhadap Ujian Bacaan Pantas membuktikan bahawa aktiviti berasaskan ilmu mampu menjadi medium berkesan untuk mendekatkan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat. Program seumpama ini juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca secara berkesan serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan komuniti.

Secara keseluruhannya, penganjuran Ujian Bacaan Pantas di UCLL Eco Grandeur bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada peserta untuk menilai keupayaan membaca mereka, malah memperkukuh peranan PTAR UiTM dalam memperluas budaya membaca dan perkongsian ilmu melangkaui persekitaran kampus.

* Penulis ialah Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam