Dilema AI dalam pendidikan: Apabila kemudahan menggantikan pemikiran
Hala tuju AI dalam sistem pendidikan negara memang tidak dapat disangkal lagi. Namun begitu, kita perlu berhenti sejenak dan bertanya soalan.

MALAYSIA sedang dalam usaha menyediakan pelajarnya untuk ekonomi masa depan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) tetapi apabila AI digunakan di dalam bilik darjah, kita perlu bertanya sama ada kita sedang meningkatkan proses pembelajaran? Atau kita bakal merencatkan kemahiran berfikir para pelajar, yang sepatutnya dibangunkan oleh pendidikan?
Pada tahun 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi memperuntukkan RM50 juta untuk memperkukuh pembangunan AI dalam pendidikan tinggi dan mengumumkan sasaran untuk menghasilkan 200,000 pakar AI menjelang 2030 melalui MY AI NEXUS.
Menjelang Jun, Menteri Pendidikan Tinggi telah menyeru universiti di seluruh negara untuk menawarkan program berkaitan AI atau menubuhkan fakulti AI. Pada bulan September, KPT mengumumkan bahawa Scopus AI akan diperluaskan merentasi semua 20 universiti awam.
Kemudian, pada Mac 2026, Google mengumumkan bahawa Gemini for Education telah diintegrasikan kesemua 20 universiti awam Malaysia, berpotensi menjangkau hampir 600,000 pelajar dan 75,000 ahli fakulti.
Momentum ini juga dapat dilihat di sekolah. Sehingga Julai 2026, Kementerian Pendidikan melaporkan bahawa 16 aplikasi AI khusus telah diintegrasikan ke dalam DELIMa 3.0. ChatGPT sahaja telah mencatatkan 208,836 penggunaan oleh guru sehingga 30 Jun 2026.
Hala tujunya AI dalam sistem pendidikan negara memang tidak dapat disangkal lagi. Namun begitu, kita perlu berhenti sejenak dan bertanya satu soalan yang kurang selesa: “Adakah kita menerima pakai AI dalam pendidikan kerana ia benar-benar meningkatkan pembelajaran, atau kerana kita berpendapat bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan kemajuan teknologi mesti secara automatik mewakili kemajuan pendidikan?”
Nilai Pendidikan Sebenar
Sebagai seorang pendidik, saya tidak menentang pelajar mempelajari AI. Sebaliknya pelajar harus memahami AI. Mereka harus tahu bagaimana ia berfungsi, di mana ia boleh gagal, bagaimana menstrukturkan promptnya, bagaimana untuk mengesahkan maklumatnya, dan persoalan berkenaan etika penggunaannya.
Kebimbangan saya berbeza. saya bimbang kita semakin keliru akan perbezaan literasi AI dengan kebergantungan AI. Perbezaan ini adalah amat kritikal untuk difahami.
Saya gambarkan satu senario; seorang pelajar diberi case-study masalah organisasi yang kompleks dan diminta untuk menganalisisnya, mengenal pasti isu yang mendasari, mengaplikasikan teori yang berkaitan, menilai alternatif, dan membuat cadangan tetapi, objektifnya bukan sekadar untuk menghasilkan esei 2,000 patah perkataan.
Objektifnya adalah untuk membuat pelajar berfikir. Pelajar perlu bergelut dengan kekaburan. Mengenal pasti maklumat yang penting. Membuat andaian. Hubungkan teori dengan realiti. Bina hujah. Buat penilaian. Tiada jawapan yang sempurna.
Proses ini bukan satu kesulitan, malah ia merupakan satu perjuangan intelektual yang perlu diharungi oleh pelajar. Itulah nilai pendidikan yang sebenar. Namun hari ini, seorang pelajar boleh memuat naik keseluruhan case-study itu kepada ChatGPT dan dalam beberapa saat, sebuah analisis dengan hujah yang berstruktur profesional dan kesimpulan yang digilap terhasil.
Ya, ini adalah satu inovasi tetapi apakah sebenarnya yang telah dipelajari oleh pelajar? Mungkin teknologi pendidikan yang paling berbahaya bukanlah teknologi yang memberikan pelajar jawapan yang salah. Ia adalah teknologi yang memberi mereka jawapan yang sangat baik sebelum mereka belajar cara berfikir.
Terdapat satu percanggahan yang tidak menyenangkan di sini. Majikan di industri menginginkan graduan mesti mempunyai pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah dan penaakulan bebas. Namun industri pendidikan menormalkan teknologi yang boleh melaksanakan tugas kognitif tersebut bagi pihak pelajar.
Kita katakan kita mahukan kreativiti, tetapi berikan pelajar mesin yang boleh menjana idea. Kita kata kita mahukan pemikiran kritis, tetapi berikan pelajar mesin yang boleh menganalisis maklumat.
Kita kata kita mahukan pelajar bebas, tetapi berikan mereka sistem yang boleh merumuskan hujah untuk mereka.
Pada ketika manakah pelajar tersebut benar-benar berfikir? Jika AI akhirnya melaksanakan kerja intelektual pelajar, apakah sebenarnya yang dinilai oleh institusi-institusi pendidikan? Kualiti pemikiran pelajar, atau kualiti output AI?
Pengajaran Daripada Negara Yang Telah Beralih Kepada Digital Sebelum Kita
Terdapat ironi yang perlu dipertimbangkan. Walaupun negara-negara seperti Malaysia sedang mempercepatkan pendigitalan pendidikan, beberapa negara yang menerima pakai teknologi pendidikan lebih awal kini sedang mempertimbangkan semula sejauh mana teknologi sepatutnya berada di dalam bilik darjah.
Selepas bertahun-tahun pendigitalan yang meluas dalam sistem pendidikannya, kerajaan Sweden mula mengalihkan penekanan kembali kepada membaca, menulis, buku teks, dan mengurangkan masa penggunaan skrin dalam bilik darjah. Pada tahun 2024, Sweden mengumumkan pelaburan yang besar dalam buku teks fizikal dan bahan pengajaran dalam satu inisiatif “back to basics”.
Kerajaan Sweden telah berhujah untuk keseimbangan yang lebih baik antara pembelajaran digital dan analog, terutamanya untuk kanak-kanak yang lebih muda, dan telah menghapuskan galakan penggunaan alat pembelajaran digital di prasekolah. Finland juga telah mempertimbangkan semula peranan skrin dalam pendidikan. Helsinki meningkatkan bajet buku teksnya untuk tahun persekolahan 2026–27, dengan bahan bercetak.
Ini setelah mendapati bahawa ramai murid kekurangan pengetahuan dan kemahiran dalam membaca, menulis, dan matematik. Maka responsnya adalah untuk menekankan sistem sekolah yang lebih berasaskan pengetahuan, dengan lebih banyak masa membaca dan buku teks fizikal. Kerajaan juga memutuskan bahawa ujian kebangsaan sekolah rendah tidak lagi digital. Kerajaan mereka manyimpulkan bahawa sebelum kita memberi kanak-kanak teknologi yang lebih canggih, pastikan mereka telah menguasai kemahiran-kemahiran asas sepenuhnya dahulu.
Oleh itu, teknologi pendidikan harus dinilai berdasarkan sama ada ia meningkatkan pembelajaran, bukan berdasarkan sejauh mana teknologinya menjadikan bilik darjah kelihatan canggih. Itulah prinsip yang Malaysia harus terapkan dahulu.
Penggunaan AI Melalui Lensa ESG
Tambahan pula, apabila dilihat melalui lensa ESG, penggunaan AI juga meninggalkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Sebagai ahli akademik, saya mengajar pelajar bahawa organisasi mesti mengurangkan pelepasan karbon, memulihara sumber, mengurus alam sekitar, dan mengamalkan penggunaan yang bertanggungjawab tetapi AI bukannya tanpa impak.
Di sebalik pertanyaan dan penjanaan jawapan oleh AI, walaupun nampak mudah di skrin pelajar, di belakang tabir ia melibatkan data centres fizikal, servers, infrastruktur penyejukan (cooling), penjanaan elektrik, penggunaan air, pembuatan semikonduktor, dan pelbagai sisa elektronik. Jejak karbon yang dihasilkan oleh bagi setiap pertanyaan AI adalah sukar untuk ditimbang kira.
Bayangkan seorang pelajar menggunakan AI untuk menulis satu perenggan karangan yang mereka boleh tulis sendiri. Berapakah kos alam sekitar bagi penggunaan AI ini? Adakah kos tersebut wajar demi manfaat pendidikan?
Sekarang, gandakan interaksi AI itu dengan beribu-ribu pelajar, berjuta-juta gesaan terhadap sistem AI. Apakah kesan jangka panjang interaksi ini terhadap alam sekitar?
Bukan Hujah Untuk Menentang AI
Ini adalah hujah menentang penggunaan AI yang tidak kritikal.
AI seharusnya menyokong pendidikan, bukan menggantikan guru, pemikiran, kreativiti, mahupun penaakulan.
Biarkan para pelajar berjuang. Biarkan mereka menghasilkan hujah yang tidak sempurna, membuat kesilapan, berasa tidak selesa dalam mencari penyelesaian sesuatu masalah. Kerana kreativiti tidak selalunya muncul daripada kecekapan. Kadangkala ia muncul daripada kekecewaan, eksperimentasi, dan kegagalan.
AI sememangnya mungkin masa depan kita tetapi tidak semua penggunaan AI mewakili kemajuan. Tujuan pendidikan bukanlah untuk melahirkan graduan yang boleh mendapatkan jawapan lebih cepat dan tepat berbanding orang lain.
Tanggungjawab kita adalah untuk melahirkan graduan yang boleh mempersoalkan jawapan, mencabar teknologi, mengenali bila ia salah, membuat penilaian beretika, dan berfikir apabila tiada teknologi yang tersedia.

