Kesunyian di tengah ribuan “followers”
Dalam perspektif psikologi, manusia memang mempunyai keperluan untuk diterima, dihargai dan merasakan dirinya bernilai.

KITA hidup dalam zaman yang pelik. Telefon sentiasa berbunyi, notifikasi tidak pernah berhenti dan jumlah followers boleh mencecah ribuan, malah jutaan. Namun di sebalik semua itu, semakin ramai manusia mengaku berasa sunyi. Ada yang tersenyum di hadapan kamera tetapi menangis selepas skrin telefon dimatikan.
Ada yang menerima ratusan komen setiap hari tetapi tidak mempunyai seorang pun untuk dihubungi apabila hati sedang benar-benar hancur. Inilah paradoks kehidupan moden. Kita semakin mudah berhubung, tetapi semakin sukar untuk benar-benar merasa terhubung. Media sosial menjadikan manusia kelihatan dekat secara digital, tetapi tidak semestinya dekat secara emosi.
Masalahnya bermula apabila jumlah likes, komen dan followers mula menjadi ukuran kepada harga diri. Kita mula tertanya-tanya mengapa posting tidak mendapat perhatian, mengapa orang lain kelihatan lebih berjaya dan mengapa kehidupan kita tidak seperti kehidupan mereka. Tanpa disedari, kita membandingkan realiti hidup sendiri dengan versi terbaik kehidupan orang lain.
Di media sosial, manusia biasanya menunjukkan kejayaan, bukan kegagalan, senyuman, bukan air mata, percutian, bukan tekanan, keluarga yang bahagia, bukan konflik yang berlaku di sebalik pintu rumah. Akhirnya, kita terperangkap dalam satu ilusi bahawa semua orang bahagia kecuali diri sendiri.
Dikenali ramai tidak bererti difahami
Hakikatnya, mempunyai ramai followers tidak semestinya bermaksud kita disayangi. Ramai mungkin mengenali nama kita, tetapi berapa ramai yang mengetahui perjuangan kita? Ramai mungkin mengenali pekerjaan dan pencapaian kita, tetapi berapa ramai yang mengetahui luka yang kita simpan? Ada perbezaan besar antara dikenali ramai dengan dikenali oleh seseorang.
Kesunyian yang paling menyakitkan bukan apabila tiada manusia di sekeliling, tetapi apabila kita dikelilingi ramai manusia dan masih merasakan tiada seorang pun yang benar-benar memahami kita. Sebab itu seseorang boleh menjadi sangat popular di alam maya tetapi sangat kesunyian dalam kehidupan sebenar.
Dalam perspektif psikologi, manusia memang mempunyai keperluan untuk diterima, dihargai dan merasakan dirinya bernilai. Namun apabila keperluan tersebut terlalu bergantung kepada penilaian manusia, emosi kita menjadi tidak stabil. Hari ini kita dipuji, kita gembira.
Esok kita dikritik, kita kecewa. Hari ini video kita tular, kita rasa bernilai. Esok tiada siapa peduli, kita mula mempersoalkan diri sendiri. Jika nilai diri bergantung kepada reaksi manusia, jiwa akan sentiasa berada dalam keadaan turun naik. Sedangkan algoritma berubah, trend berubah dan manusia juga berubah. Kita akhirnya mengejar sesuatu yang tidak pernah benar-benar mampu mengisi kekosongan jiwa.
Allah tidak pernah meninggalkan kita
Islam mengajar bahawa manusia tidak pernah benar-benar bersendirian. Allah SWT berfirman dalam Surah Qaf, ayat 16 bahawa Dia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hati manusia dan Dia lebih dekat kepada manusia daripada urat lehernya. Ketika tiada siapa membalas mesej kita, Allah mengetahui. Ketika kita tersenyum di hadapan orang tetapi menangis seorang diri, Allah mengetahui. Ketika kita berkata “aku okay” sedangkan hati sedang terluka, Allah juga mengetahui.
Mungkin kita terlalu sibuk mencari perhatian manusia sehingga terlupa bahawa ada Tuhan yang sentiasa memberikan perhatian kepada kita. Kita kecewa apabila seseorang unfollow kita, tetapi kadangkala kita sendiri tidak sedar bahawa kita semakin jauh daripada Allah.
Kita juga perlu belajar untuk tidak menilai seseorang berdasarkan apa yang dipaparkan di media sosial. Seseorang yang kelihatan ceria mungkin sedang melalui tekanan yang berat. Seseorang yang kelihatan berjaya mungkin sedang bergelut dengan kegagalan. Seseorang yang sering memuat naik kata-kata positif mungkin sebenarnya sedang berusaha meyakinkan dirinya sendiri untuk terus kuat.
Ada manusia yang sudah terlalu penat menjadi kuat di hadapan orang lain. Oleh itu, apabila seorang sahabat tiba-tiba menyepi, jangan hanya bertanya, “Kenapa lama tak post?” Tanyakan soalan yang lebih manusiawi, “Kau okay?” Kadangkala dia tidak memerlukan nasihat panjang. Dia hanya memerlukan seseorang yang sanggup mendengar tanpa menghakimi.
Mungkin sudah tiba masanya kita kembali membina hubungan yang lebih bermakna di dunia sebenar. Letakkan telefon seketika dan pandang wajah ibu. Tanya khabar ayah. Peluk anak-anak. Berbual dengan pasangan. Hubungi sahabat yang sudah lama tidak ditemui. Duduk bersama tanpa semua orang sibuk melihat skrin masing-masing.
Telefon boleh menjadi alat komunikasi, tetapi ia tidak mampu menggantikan sentuhan seorang ibu, doa seorang ayah, pelukan seorang anak atau kehadiran sahabat ketika kita sedang menangis. Teknologi sepatutnya membantu manusia berhubung, bukannya menyebabkan manusia kehilangan keupayaan untuk benar-benar hadir bersama orang yang berada di hadapan mata.
Lebih penting, kita perlu membina semula hubungan dengan Allah SWT. Sesekali, matikan telefon, ambil wuduk dan duduk selepas solat dalam keadaan sunyi. Tidak perlu kamera, tidak perlu penonton dan tidak perlu likes. Ceritakan kepada Allah apa yang tidak mampu kita ceritakan kepada manusia. Menangislah jika perlu.
Berdoalah dengan bahasa hati. Allah tidak memerlukan kita kelihatan sempurna. Allah mengetahui kelemahan, ketakutan dan luka kita. Dalam dunia yang memaksa kita sentiasa kelihatan kuat, hubungan dengan Allah memberikan ruang untuk kita mengakui bahawa kita sebenarnya lemah dan sangat memerlukan pertolongan-Nya.
Apa sebenarnya yang kita cari?
Pada akhirnya, di sebalik jutaan akaun media sosial, manusia sebenarnya mencari perkara yang sama, iaitu mahu disayangi, dihargai, difahami, diterima dan merasakan kewujudannya bermakna. Namun jangan mencari semua itu hanya daripada manusia kerana manusia boleh pergi, followers boleh berkurang, populariti boleh hilang dan dunia maya boleh melupakan kita dalam sekelip mata.
Nilai diri kita tidak ditentukan oleh jumlah pengikut. Kita lebih besar daripada jumlah likes dan lebih berharga daripada jumlah tontonan. Nilai manusia terletak pada siapa dirinya di sisi Allah, bagaimana dia melayan manusia dan sejauh mana hidupnya memberi manfaat kepada orang lain.
Jika malam ini anda mempunyai ribuan followers tetapi hati masih terasa kosong, jangan terus menganggap diri anda gagal. Mungkin jiwa sedang memanggil sesuatu yang lebih dalam, bukan lebih banyak perhatian manusia, tetapi lebih dekat dengan Allah. Kita datang ke dunia tanpa followers dan kita juga akan meninggalkan dunia tanpa membawa jumlah likes.
Pada saat semua telefon dimatikan, semua akaun tidak lagi aktif dan semua manusia pulang ke rumah masing-masing, kita akan kembali kepada satu hakikat: kita akan berdiri di hadapan Allah dengan amalan kita sendiri. Maka jangan terlalu sibuk mengejar siapa yang mengikuti kita sehingga terlupa kepada Tuhan yang sentiasa bersama kita.
Ukuran sebenar kehidupan bukan berapa ramai manusia yang mengikuti kita, tetapi siapa yang tetap ada ketika semua orang pergi dan lebih penting daripada itu, apakah pada penghujung perjalanan nanti, Allah reda kepada kita.

