UPSI sasar kutip RM1 juta untuk bas alumni menjelang 2027
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyasarkan kutipan RM1 juta bagi menyediakan bas alumni untuk kegunaan pelajar menjelang 1 Mei 2027.
MD AMIN MD Taff (kiri) bersama alumni ketika melancarkan Buku Panduan Penguruan Pusat Alumni pada Majlis Makan Malam Alumni Back to Campus 2026 di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Oleh: BAZLI RAZAK
KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyasarkan kutipan RM1 juta bagi menyediakan sebuah bas alumni untuk kegunaan pelajar universiti itu menjelang 1 Mei 2027, bersempena sambutan ulang tahun ke-105 penubuhannya.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, inisiatif itu bertujuan merealisasikan sumbangan alumni yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada pelajar, sekali gus membuktikan komitmen bekas pelajar terhadap pembangunan universiti.
Beliau berkata usaha berkenaan memerlukan kerjasama seluruh warga alumni, termasuk melalui sumbangan individu, fakulti dan rangkaian alumni di seluruh negara.
“Alumni harus bergerak jauh daripada sekadar makan-makan. Alumni harus melihat bagaimana kita boleh menyumbang agar adik-adik yang ada, terdidik daripada universiti ini, akan tahu bahawa mereka memainkan peranan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alumni Back to Campus 2026 yang menghimpunkan kira-kira 200 alumni UPSI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Md Amin berkata sasaran kutipan itu boleh dicapai menerusi penyertaan 10 fakulti UPSI dengan setiap fakulti mengumpulkan RM100,000 atau melalui 14 rangkaian alumni yang masing-masing menyumbang kira-kira RM80,000.

Md Amin berkata mekanisme sumbangan akan diperincikan bersama pihak Bendahari universiti, termasuk kemungkinan saluran zakat, wakaf dan infak, tertakluk kepada kesesuaian serta ketetapan berkaitan.
Beliau turut menyuarakan harapan agar sumbangan alumni tidak terhenti pada inisiatif berkenaan, sebaliknya berkembang menjadi budaya menyumbang secara berterusan demi memastikan kebajikan dan keperluan pelajar terus mendapat perhatian.
Pada majlis yang sama, Md Amin turut melancarkan Buku Panduan Pengurusan Alumni yang menghimpunkan panduan serta tatacara pengurusan berkaitan alumni sebagai rujukan pusat-pusat alumni di seluruh negara.
Penerbitan itu bertujuan memperkukuh jaringan dan hubungan strategik antara universiti dengan alumni, selain membantu meningkatkan keberkesanan pengurusan serta pelaksanaan program alumni.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, pencapaian dan kepimpinan alumni dalam pelbagai bidang.

Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Alumni Sepanjang Zaman kepada tiga penerima, Anugerah Ikon Pengurusan, Anugerah Ikon Keusahawanan, Anugerah Ikon Sukan, Anugerah Ikon Inovasi dan Anugerah Ikon Kesukarelawanan.
Anugerah Tokoh Alumni Wibawa turut diberikan kepada lima penerima, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAPIM Malaysia, Datuk (Dr.) Ahmad Sani Abdul Alim Araby.
Mengulas peranan alumni, Md Amin berkata golongan itu merupakan elemen penting dalam sesebuah institusi pengajian tinggi kerana kejayaan mereka mencerminkan keberkesanan pendidikan yang diterima serta kesinambungan perjuangan universiti.
“UPSI mempunyai sejarah pendidikan selama 104 tahun bukan sekadar institusi melahirkan tenaga pendidik, malah memainkan peranan dalam membentuk golongan ilmuwan dan pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan negara,” ujar beliau.
Majlis Makan Malam Alumni Back to Campus 2026 menghimpunkan alumni daripada pelbagai generasi institusi berkenaan, termasuk bekas pelajar Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dan UPSI.
