Pesta Buku UiTM 2026 menyubur budaya ilmu, memperkasa komuniti
Pesta Buku UiTM 2026 menekankan kepentingan budaya membaca, literasi maklumat dan penggunaan teknologi secara beretika.
Oleh: MOHD ALFARABIE BIN MOHD NASIR
KUALA LUMPUR, 13 OKtober 2026 – Budaya ilmu bukan sekadar terbina melalui pembacaan atau kecanggihan teknologi, sebaliknya memerlukan kesediaan masyarakat untuk berfikir secara kritis, menilai maklumat dan memanfaatkan pengetahuan demi kesejahteraan bersama. Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan ledakan maklumat digital, peranan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran serta pemeliharaan khazanah ilmu menjadi semakin penting.
Aspirasi tersebut diketengahkan menerusi Majlis Penutupan Pesta Buku Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2026 yang berlangsung di Masjid UiTM Shah Alam, dengan membawa semangat pembudayaan ilmu dan pemerkasaan komuniti. Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Repositori Keusahawanan UiTM serta penyampaian Anugerah Pesta Buku UiTM 2026 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan sumbangan dalam memperkukuh ekosistem ilmu universiti.
Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Azizi Jantan, dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa budaya ilmu bermula dengan kesedaran bahawa masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Kesedaran tersebut mendorong seseorang untuk terus membaca, berani bertanya dan terbuka menerima pandangan berbeza, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih matang dalam membuat pertimbangan.
Beliau turut mengimbau gagasan negarawan Tun Abdul Razak Hussein yang menekankan kepentingan keluasan pandangan dan pemikiran dinamik dalam membangunkan institusi pendidikan. Semangat tersebut kekal relevan ketika universiti berdepan perubahan pesat teknologi dan cara masyarakat mendapatkan maklumat.

Dalam memperkukuh budaya membaca, Perpustakaan UiTM terus melaksanakan pelbagai inisiatif literasi, termasuk program bacaan pantas yang menawarkan modul pembelajaran mengikut kesesuaian masa peserta. Transformasi perkhidmatan turut diperkukuh melalui pembangunan UiTM Institutional Repository (UiTM IR) yang berperanan memelihara dan memperluas akses kepada hasil intelektual universiti.
Azizi turut berkongsi pencapaian UiTM IR yang berada pada kedudukan ke-28 dunia, sekali gus memperlihatkan potensi platform digital dalam meningkatkan keterlihatan dan pemanfaatan khazanah ilmu UiTM di peringkat global. Beliau menegaskan bahawa perpustakaan perlu terus berkembang sebagai pusat pembelajaran yang dinamik, inklusif dan relevan dengan perubahan teknologi, di samping membimbing pengguna mengamalkan tabayun dalam menilai kesahihan maklumat.
Sementara itu, dalam ucapan penutupan, Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Mustaffa Kamil Ayub mengangkat pembudayaan ilmu sebagai asas penting dalam memperkasa komuniti. Beliau menjelaskan bahawa membudayakan ilmu bermaksud menjadikan amalan membaca, bertanya, meneliti dan berkongsi pengetahuan sebagai sebahagian daripada kehidupan, manakala pemerkasaan komuniti menuntut ilmu tersebut diterjemahkan kepada tindakan yang membawa manfaat kepada masyarakat.
Beliau turut mengupas tradisi keilmuan Islam yang menggabungkan pendekatan rasional, pengalaman dan nilai kerohanian secara bersepadu. Menurut beliau, ilmu bukan hanya diukur melalui banyaknya maklumat yang dikuasai, tetapi pada kefahaman dan makna yang diperoleh serta keupayaan seseorang menggunakan pengetahuan untuk membawa perubahan positif.
Dalam konteks perkembangan teknologi, beliau berpandangan bahawa penggunaan buku bercetak mahupun peranti digital mempunyai nilai tersendiri selagi medium tersebut membantu pembaca memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Apa yang lebih utama ialah bagaimana ilmu yang diperoleh mampu membentuk pemikiran, keperibadian dan tindakan seseorang.
Mustaffa turut memberikan perhatian kepada peranan perpustakaan sebagai institusi yang dekat dengan masyarakat. Perpustakaan bukan sahaja perlu menyediakan akses kepada sumber yang dipercayai, malah menjadi ruang yang meraikan pertanyaan, menyuburkan rasa ingin tahu dan membuka peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua lapisan komuniti.
Pendekatan tersebut diterjemahkan melalui kepelbagaian pengisian Pesta Buku UiTM 2026, termasuk sesi telaah buku, literasi kerohanian, wacana pemikiran, perkongsian keusahawanan serta forum antara generasi yang mengangkat perjalanan dan legasi UiTM. Pengisian berkaitan orang kurang upaya, termasuk bahasa isyarat, turut mendapat perhatian beliau kerana memperlihatkan kepentingan keterangkuman dalam memastikan peluang pembelajaran dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Menyentuh cabaran dunia digital, beliau mengingatkan bahawa kepantasan memperoleh maklumat perlu diseimbangkan dengan kebijaksanaan menilai sumber, konteks dan bukti. Amalan tabayun, integriti serta penggunaan teknologi secara beretika perlu menjadi pegangan masyarakat, khususnya ketika AI semakin mempengaruhi proses pembelajaran dan penyebaran maklumat.
Kemuncak majlis turut menyaksikan pelancaran Repositori Keusahawanan UiTM yang disambut baik oleh beliau sebagai inisiatif penting dalam mendokumentasikan pengetahuan dan pengalaman keusahawanan. Usaha menghimpunkan, menyusun dan memelihara bahan secara sistematik membolehkan maklumat tersebut terus dirujuk serta dimanfaatkan dalam tempoh yang panjang.

Inisiatif berkenaan turut memperkukuh peranan perpustakaan dalam memastikan pengalaman, inovasi serta hasil intelektual tidak hilang ditelan zaman. Pada masa sama, repositori tersebut berpotensi menjadi sumber rujukan yang menyokong pembelajaran, pembangunan potensi keusahawanan dan perkongsian pengetahuan dengan komuniti.
Majlis penutupan turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Pesta Buku UiTM 2026 oleh Mustaffa sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengguna, fakulti, perpustakaan cawangan dan rakan strategik yang menyumbang kepada pengukuhan budaya ilmu serta pemanfaatan perkhidmatan perpustakaan.
Sebanyak tujuh kategori anugerah merangkumi Pembaca e-Buku Tertinggi, Pengguna Pangkalan Data Maklumat Paling Aktif, Fakulti Paling Aktif dalam Pemanfaatan Perpustakaan Digital, Fakulti dengan Penyertaan Tertinggi Kelas Literasi Maklumat, Rakan Strategik Perpustakaan, Jumlah Tontonan Tertinggi Media Sosial Perpustakaan UiTM dan Perpustakaan Terbaik.
Pengiktirafan tersebut bukan sekadar meraikan pencapaian individu dan organisasi, malah mencerminkan usaha Perpustakaan UiTM memperluas budaya membaca, penggunaan sumber elektronik, penguasaan literasi maklumat serta penglibatan komuniti akademik. Pencapaian perpustakaan cawangan dan kerjasama rakan strategik turut memperlihatkan komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem ilmu yang inklusif, dinamik dan berorientasikan keperluan pengguna.
Secara keseluruhannya, Pesta Buku UiTM 2026 memperlihatkan bahawa pembudayaan ilmu memerlukan komitmen bersama antara universiti, perpustakaan, warga akademik dan masyarakat. Melalui pembangunan repositori digital, pengukuhan literasi maklumat serta pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengguna dan institusi, UiTM terus memperluas peranan perpustakaan sebagai pemangkin pembangunan intelektual dan pemerkasaan komuniti.
Pesta buku mungkin melabuhkan tirainya, namun semangat mencintai ilmu perlu terus subur. Daripada pembacaan lahir kefahaman, daripada perkongsian tercetus gagasan, dan daripada ilmu yang diterjemahkan kepada tindakan, terbina perubahan bermakna untuk kesejahteraan masyarakat serta generasi akan datang.
* Penulis merupakan Pustakawan Kanan, Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.
