PATEN Lead 360°: Memeta potensi pemimpin melalui audit
PATEN Lead 360° memperkenalkan proses KANCIL untuk mentransformasikan dapatan audit kepada pembelajaran, pembangunan kepimpinan dan penambahbaikan prestasi organisasi secara berterusan.

AUDIT sering dikaitkan dengan semakan pematuhan, pengesanan kelemahan dan pencarian kesalahan. Persepsi ini menyebabkan fungsi audit kadangkala dilihat sebagai mekanisme kawalan yang hanya hadir apabila berlaku ketidakpatuhan atau kelemahan dalam sesuatu proses kerja.
Namun, dalam persekitaran organisasi yang semakin kompleks, fungsi audit perlu bergerak lebih jauh daripada peranan tradisional tersebut. Audit bukan sekadar perlu mengenal pasti apa yang tidak berjalan dengan baik, malah berpotensi menjadi instrumen pembangunan organisasi dengan mengenal pasti kekuatan, membina keupayaan dan memupuk kepimpinan dalam kalangan staf.
Satu pendekatan yang mentransformasikan fungsi audit daripada sekadar mencari kesalahan kepada memeta corak potensi kepimpinan staf berasaskan bukti dan tingkah laku sebenar dalam situasi kerja perlu diwujudkan. Melalui pendekatan ini, setiap dapatan audit tidak berakhir sebagai teguran, laporan atau tindakan pembetulan semata-mata.
Sebaliknya, ia dijadikan ruang pembelajaran untuk memahami bagaimana seseorang staf membuat keputusan, menyelesaikan masalah, mengurus risiko, menerima teguran dan bertindak terhadap perubahan.
Audit Sebagai Platform Pembangunan Kepimpinan
Potensi kepimpinan sebenarnya tidak hanya dapat dikenal pasti melalui jawatan atau kedudukan dalam struktur organisasi. Kepimpinan turut terserlah melalui tindakan harian, termasuk keupayaan seseorang menangani masalah, mengambil tanggungjawab, mencari penyelesaian dan membawa penambahbaikan. Dalam konteks ini, proses audit menyediakan satu ruang yang sangat bernilai untuk mengenal pasti ciri tersebut.
Apabila sesuatu kelemahan atau risiko ditemukan, persoalannya tidak seharusnya berhenti kepada, “Siapa yang melakukan kesalahan?” Sebaliknya, audit perlu berkembang kepada persoalan yang lebih membina, seperti “Apakah yang boleh dipelajari daripada isu ini, bagaimana ia boleh diperbaiki dan siapa yang mampu memimpin perubahan?” Perubahan cara berfikir ini menjadikan audit bukan sekadar alat kawalan tetapi sebahagian daripada platform pembangunan kepimpinan organisasi.
KANCIL Mengubah Dapatan Kepada Tindakan
Bagi menyokong pelaksanaan PATEN Lead 360°, penulis memperkenalkan proses KANCIL {Kenal pasti, Analisis, Nilai, Cipta solusi, Implementasi dan Lonjakkan prestasi,} iaitu pendekatan enam (6) peringkat yang menterjemahkan dapatan audit kepada pembelajaran, tindakan dan penambahbaikan berterusan.
Kenal pasti bermaksud mengenal pasti isu, risiko, kelemahan, kekuatan dan potensi berdasarkan bukti audit. Analisis pula meneliti punca sebenar sesuatu masalah, bukan sekadar melihat simptom atau kesalahan yang berlaku di permukaan.
Nilai menumpukan kepada tahap risiko, impak, keupayaan serta ruang penambahbaikan yang boleh diwujudkan. Seterusnya, Cipta solusi memberi ruang kepada staf membangunkan penyelesaian yang praktikal dan bersesuaian dengan keperluan organisasi. Implementasi memastikan penyelesaian tersebut diterjemahkan kepada tindakan sebenar melalui pemilikan tanggungjawab dan pelaksanaan yang sistematik.
Akhir sekali, Lonjakkan prestasi memastikan tindakan pembetulan tidak sekadar menutup sesuatu penemuan audit tetapi membawa peningkatan dari sudut prestasi, kompetensi, proses kerja dan budaya organisasi.
Kekuatan KANCIL terletak pada keupayaannya mengubah sesuatu penemuan daripada sebuah “isu audit” kepada suatu peluang pembangunan.
Daripada Kesalahan Kepada Pembelajaran
Setiap penemuan audit sebenarnya membawa cerita tentang manusia, proses dan sistem. Ada kelemahan yang berpunca daripada kurang kefahaman. Ada yang berlaku kerana proses terlalu kompleks, komunikasi tidak berkesan, kawalan yang tidak lagi sesuai atau perubahan persekitaran kerja yang belum diterjemahkan kepada prosedur baharu.
Jika audit hanya memberi tumpuan kepada siapa yang bersalah, organisasi mungkin terlepas peluang untuk memahami punca sebenar sesuatu kelemahan. PATEN Lead 360° membawa pemikiran bahawa sesuatu kesilapan perlu diterjemahkan kepada pembelajaran, pembelajaran kepada tindakan, manakala tindakan pula perlu menghasilkan penambahbaikan berterusan.
Pendekatan sebegini juga dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih terbuka terhadap teguran dan perubahan. Staf tidak lagi melihat audit semata-mata sebagai proses yang perlu ditakuti tetapi sebagai mekanisme yang membantu mereka mengenal pasti ruang untuk menjadi lebih baik.
Memeta Pemimpin Melalui Bukti
Dalam organisasi moden, pembangunan kepimpinan tidak seharusnya hanya bergantung kepada persepsi, senioriti atau jawatan. PATEN Lead 360° memberi penekanan kepada konsep kepimpinan berasaskan bukti, apabila potensi seseorang boleh diperhatikan melalui tindak balasnya terhadap situasi sebenar.
Apabila kelemahan dikenal pasti, adakah seseorang staf cuba mempertahankan keadaan sedia ada atau mencari penyelesaian? Adakah beliau sekadar melaksanakan arahan atau mampu mengemukakan cadangan penambahbaikan? Adakah tindakan pembetulan dilaksanakan sekadar untuk menutup penemuan audit atau digunakan sebagai peluang memperbaiki keseluruhan proses?
Jawapan kepada persoalan ini boleh membantu organisasi mengenal pasti ciri kepimpinan yang lebih autentik. Pemimpin perubahan bukan semestinya individu yang paling lantang bersuara. Sebaliknya, mereka ialah individu yang mampu memahami masalah, membuat keputusan berdasarkan fakta, mengambil tanggungjawab dan membawa orang lain ke arah penyelesaian.
Audit Sebagai Rakan Strategik
Transformasi fungsi audit melalui PATEN Lead 360° juga memperkukuh peranan audit sebagai rakan strategik organisasi. Audit tetap perlu mengekalkan kebebasan, objektiviti dan ketegasan terhadap aspek pematuhan. Namun, ketegasan tersebut tidak seharusnya menghalang audit daripada memberikan nilai tambah kepada organisasi.
Audit yang berkesan bukan hanya mampu menyatakan sesuatu perkara perlu diperbetulkan tetapi membantu organisasi memahami mengapa perubahan diperlukan dan apakah manfaat yang boleh dihasilkan daripada perubahan tersebut. Di sinilah audit boleh berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan bakat dan kepimpinan. Setiap dapatan menyediakan data. Setiap tindakan pembetulan menunjukkan sikap. Setiap penyelesaian memperlihatkan kompetensi. Setiap penambahbaikan pula memberi gambaran mengenai keupayaan seseorang untuk memimpin perubahan.
Mewujudkan Budaya Berani Memimpin
Organisasi memerlukan warga kerja yang bukan sahaja patuh kepada prosedur tetapi mempunyai keberanian untuk bertanya, menilai, mencadangkan penyelesaian dan melakukan perubahan.
Budaya sebegini perlu dibentuk secara konsisten. Melalui PATEN Lead 360° dan proses KANCIL, audit berpotensi menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan tersebut. Apabila staf memahami bahawa audit bukan sekadar bertujuan mencari kesalahan, mereka akan lebih bersedia menerima dapatan, berkongsi masalah dan bersama-sama mencari penyelesaian.
Pada akhirnya, ukuran kejayaan audit tidak sewajarnya hanya berdasarkan jumlah penemuan yang berjaya dikenal pasti atau ditutup. Ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana dapatan audit menghasilkan perubahan, meningkatkan keupayaan warga kerja, memperkukuh tadbir urus dan melahirkan individu yang bersedia mengambil peranan sebagai pemimpin perubahan.

