Beasley sukar dicari ganti, tinggalkan legasi besar dalam berbasikal negara

John Beasley tinggalkan skuad trek Malaysia selepas lebih dua dekad berkhidmat, membimbing pelumba bertaraf dunia dan membina legasi berbasikal negara.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 – Pemergian Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley ke Jepun bakal meninggalkan kekosongan besar dalam skuad trek kebangsaan yang sukar dicari pengganti.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, sumbangan dan jasa Beasley sepanjang lebih dua dekad bersama sukan berbasikal negara amat besar, khususnya dalam melahirkan pelumba bertaraf dunia.

Beliau berkata, kehilangan Beasley pasti dirasai bukan sahaja oleh PKBM, malah turut memberi kesan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta barisan pelumba kebangsaan.

“Sudah pasti yang paling terasa ialah kami di PKBM. Beasley sudah bersama kami lebih dua dekad dan dalam tempoh itu, beliau telah melahirkan ramai pelumba bertaraf dunia.

“Antaranya Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Rizal Tisin yang menjadi antara pencetus revolusi berbasikal negara di pentas dunia.

“Beliau turut membimbing Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta memainkan peranan penting dalam membentuk Nurul Izzah Izzati Mohd Asri,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan PKBM hari ini.

Amarjit berkata, kejayaan Azizulhasni meraih gelaran juara dunia pada 2017 turut menjadi antara pencapaian penting yang mencerminkan keberkesanan bimbingan dan komitmen Beasley dalam membangunkan sukan berbasikal negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Beasley atas segala usaha, dedikasi dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang berkhidmat bersama skuad trek kebangsaan Malaysia.

“Banyak pengorbanan dan jasa Beasley kepada sukan berbasikal negara. Pemergiannya pasti sukar untuk ditukar ganti.

“Terima kasih Beasley atas segala komitmen, dedikasi dan sumbangan yang telah dicurahkan kepada sukan berbasikal Malaysia. Kami di PKBM akan sentiasa mengenang jasa dan bakti anda.

“Selamat maju jaya dan semoga segala urusan serta perjalanan anda pada masa depan dipermudahkan dan terus mencapai kejayaan,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan, PKBM turut mengadakan majlis perpisahan khas yang menghimpunkan wakil pelbagai pihak, termasuk MSN, KBS, Institut Sukan Negara (ISN) serta pegawai yang pernah bekerjasama dengan Beasley.

Kejohanan Trek Sedunia di Shanghai, China yang berakhir pada 18 Oktober lalu menjadi tugasan terakhir Beasley bersama skuad trek kebangsaan Malaysia.

Beliau dijadual menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 31 Oktober ini selepas mengemukakan surat peletakan jawatan pada 1 Ogos lalu dengan notis tiga bulan.

Beasley mula berkhidmat dengan skuad berbasikal trek kebangsaan Malaysia pada 1 Januari 2006.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan dalam pembangunan ramai pelumba berprofil tinggi, termasuk Azizulhasni, Rizal, Josiah Ng, Fatehah Mustapa, Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati, sekali gus meninggalkan legasi besar dalam arena berbasikal trek negara.