ISoMER 2026 perkukuh kerjasama antarabangsa dan ekosistem teknologi perubatan negara
ISoMER 2026 menghimpunkan pakar antarabangsa, universiti dan industri bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan, robotik serta inovasi teknologi perubatan di Malaysia.
KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2026 – Simposium Antarabangsa Penyelidikan Kejuruteraan Perubatan (ISoMER) 2026 yang berlangsung pada 21 hingga 22 September 2026 di sebuah hotel di sini menghimpunkan sekitar 100 peserta secara fizikal dan dalam talian dari Malaysia, Jepun, Thailand, Filipina dan India.
Dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektronik (FKTEN) dan Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sukan (SERC), ISoMER 2026 membawa tema “Intelligent Medical Engineering for a Human-Centred Society 5.0” dengan memberi tumpuan kepada teknologi kejuruteraan perubatan yang pintar, selamat, mudah diakses dan mampan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai. Turut hadir ialah Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinya Machida serta Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Antara tarikan utama ISoMER 2026 ialah kehadiran tokoh robotik terkemuka Jepun, Prof. Dr. Yoshiyuki Sankai, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CYBERDYNE Inc., Jepun, yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang Cybernics dan teknologi bantuan manusia. Simposium ini turut menampilkan Profesor Emeritus Ng Kwan Hoong dari Universiti Malaya sebagai penceramah utama.

Dalam ucapan perasmiannya, Wong menekankan bahawa kejuruteraan perubatan berada pada persimpangan penting antara kejuruteraan, perubatan, sains, teknologi dan industri, dengan perkembangan pesat dalam bidang peranti perubatan, instrumentasi bioperubatan, penjagaan kesihatan digital, kecerdasan buatan, robotik, teknologi rehabilitasi dan pembuatan termaju.
Beliau turut menekankan potensi kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam bidang penyelidikan bersama, pembangunan teknologi, pembangunan bakat dan pengkomersialan, mengambil kira kekuatan Jepun dalam kejuruteraan termaju, pembuatan berketepatan tinggi, robotik dan teknologi penjagaan kesihatan serta perkembangan ekosistem teknologi perubatan di Malaysia.
Sementara itu, Zaliman berkata, ISoMER 2026 mencerminkan komitmen bersama antara universiti, industri dan rakan strategik dalam memperkukuh rangkaian kejuruteraan perubatan. Kerjasama antarabangsa turut melibatkan De La Salle University, Taylor’s University dan Vels University, Chennai, di samping perkongsian strategik dengan Persatuan Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Menurut beliau, hala tuju ISoMER 2026 juga selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang memberi keutamaan kepada aktiviti bernilai tinggi, kemajuan teknologi, pendigitalan serta pembangunan sektor strategik termasuk peranti perubatan. Melalui kerjasama penyelidikan dan industri, inovasi kejuruteraan perubatan diharap dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang meningkatkan penjagaan kesihatan dan kualiti hidup.

ISoMER 2026 turut mengetengahkan Forum Industri-Akademia yang melibatkan agensi kerajaan, persatuan industri, syarikat teknologi perubatan dan institusi pengajian tinggi. Antara organisasi yang terlibat ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Persatuan Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM), Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI), Vista Robotics, OSA Technology dan Tun Laksamana Cancer Centre.
Bidang utama yang dibincangkan sepanjang simposium termasuk kecerdasan buatan, pemprosesan isyarat dan imej bioperubatan, biomekanik, biomaterial, bioinformatik, robotik perubatan serta teknologi penjagaan kesihatan pintar.
Penganjuran ISoMER 2026 di Pulau Pinang turut mengambil manfaat daripada ekosistem negeri yang kukuh dalam pendidikan, inovasi, pembuatan dan perdagangan antarabangsa. Pulau Pinang mempunyai rangkaian syarikat multinasional, syarikat tempatan, universiti, institusi penyelidikan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menyediakan persekitaran kondusif untuk kerjasama antara akademia dan industri.
Melalui ISoMER 2026, para penyelidik dan pemain industri digalakkan untuk membawa perbincangan melangkaui pertukaran idea kepada kerjasama yang lebih konkrit termasuk projek penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan penyelidik, pemindahan teknologi, kerjasama industri serta pembangunan peranti perubatan baharu.
ISoMER 2026 diharapkan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat antara jurutera dan doktor, universiti dan industri, penyelidik dan usahawan serta rakan antarabangsa, sekali gus memperkukuh pembangunan ekosistem kejuruteraan perubatan dan teknologi perubatan di Malaysia.
