Senyuman sepanjang usia bermula dengan penyeliaan sejak kecil
Mahasiswa pergigian UM memperkenalkan Projek SUSU dan inovasi BrushBuddy bagi membentuk tabiat memberus gigi yang betul dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.
KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER 2026 – Pembelajaran di universiti tidak lagi terhad kepada bilik kuliah. Melalui pendekatan Service Learning yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM), mahasiswa berpeluang mengaplikasikan ilmu akademik bagi menangani keperluan sebenar komuniti.
Menyahut aspirasi ini, sekumpulan pelajar Tahun 4 Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM), di bawah seliaan Jabatan Kesihatan Pergigian Masyarakat dan Pencegahan Klinikal telah melaksanakan Projek SUSU (Senyuman Untuk Semua Usia), sebuah inisiatif promosi kesihatan pergigian yang diterajui mahasiswa pergigian tahun akhir.
Nama SUSU membawa mesej bahawa penjagaan kesihatan pergigian perlu bermula sejak kecil supaya gigi dapat dipelihara hingga ke hujung usia. Justeru, projek ini memberi penekanan kepada pembentukan tabiat memberus gigi yang betul dan konsisten sejak peringkat prasekolah.
Penilaian awal di sebuah tadika di Petaling Jaya, mendapati majoriti kanak-kanak mempunyai tahap kebersihan gigi yang kurang memuaskan, manakala lebih daripada separuh berisiko tinggi mengalami gigi berlubang. Sebahagian besar kanak-kanak ini juga memberus gigi tanpa penyeliaan walaupun belum menguasai teknik memberus gigi dengan berkesan. Penemuan ini mendorong mahasiswa pergigian UM untuk melihat melangkaui pendekatan pendidikan kesihatan pergigian konvensional yang lazimnya menumpukan kepada penyampaian pengetahuan dan demonstrasi memberus gigi.

Sebaliknya, mereka memperkenalkan pendekatan yang lebih menyeluruh dengan membina ekosistem penyeliaan memberus gigi yang menghubungkan ibu bapa, guru, kanak-kanak dan pasukan pergigian. Dalam ekosistem ini, ibu bapa bertanggungjawab menyelia amalan memberus gigi di rumah, guru memastikan amalan tersebut diteruskan di sekolah, manakala doktor pergigian menyediakan sokongan profesional melalui pemeriksaan gigi secara percuma.
Kepentingan penyeliaan semasa pemberusan gigi disokong oleh bukti penyelidikan oleh Kidd dan rakan-rakan yang menunjukkan bahawa program memberus gigi secara terselia di prasekolah di Scotland dikaitkan dengan pengurangan kejadian karies gigi dalam kalangan kanak-kanak.
Berlandaskan kerangka Piagam Ottawa untuk Promosi Kesihatan yang diperkenalkan pada tahun 1986, Projek: SUSU bukan sekadar mendidik kanak-kanak, tetapi turut memperkenalkan dasar memberus gigi harian secara terselia, menyediakan kemudahan memberus gigi di sekolah, melatih ibu bapa dan guru serta menghubungkan kanak-kanak dengan perkhidmatan pergigian pencegahan.
Bagi membantu kanak-kanak memahami permukaan gigi yang perlu dibersihkan, mahasiswa pergigian ini telah bekerjasama dengan pakar kejuruteraan untuk menghasilkan inovasi BrushBuddy. Alat ini dilengkapi dengan panduan interaktif yang menunjukkan permukaan gigi yang perlu diberus, pemasa bagi memastikan tempoh memberus gigi selama dua minit, serta muzik yang menarik untuk menjadikan aktiviti memberus gigi lebih berkesan dan menyeronokkan.
Penggunaan BrushBuddy kemudiannya diperluas ke sebuah tadika di Yogyakarta, Indonesia, menerusi inisiatif SULAM Global, dan didapati berkesan dalam meningkatkan pemahaman kanak-kanak tentang teknik memberus gigi yang betul serta keupayaan mereka membersihkan permukaan gigi dengan berkesan.
Hasil penilaian positif selepas intervensi memperlihatkan bahawa perubahan tingkah laku kesihatan mulut kanak-kanak bukan sekadar bergantung pada pengetahuan individu, tetapi turut memerlukan persekitaran yang menyokong dan penglibatan berterusan orang dewasa.

Projek: SUSU membawa mesej bahawa kesihatan pergigian sepanjang hayat bermula dengan amalan yang dibentuk sejak kecil. Lebih daripada sekadar mengajar kanak-kanak memberus gigi, inisiatif ini menekankan tanggungjawab bersama ibu bapa, guru, komuniti dan pasukan pergigian dalam membina ekosistem penyeliaan yang berpotensi memastikan amalan sihat terus berkekalan, demi senyuman untuk semua usia.
Pengalaman positif ini turut dirasai oleh ibu bapa dan guru yang terlibat dalam program ini. Ibu Faeeg Anaqi berkongsi, “Program ini membuatkan anak saya lebih gembira tentang aktiviti memberus gigi.” Teacher Rohana pula menyatakan, “Program ini berkesan dalam meningkatkan pengetahuan pelajar dalam kesihatan mulut.” Maklum balas ini mencerminkan kepentingan penglibatan ibu bapa dan guru dalam menyokong pendidikan kesihatan pergigian sejak peringkat awal kanak-kanak.
Dari perspektif pembelajaran, projek berteraskan SULAM ini turut memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap aplikasi ilmu kesihatan pergigian masyarakat dalam situasi sebenar, di samping mendorong mereka menjalinkan kolaborasi dengan pelbagai pihak berkepentingan. Pengalaman ini juga menggalakkan mahasiswa berfikir secara kreatif dan menghasilkan inovasi bagi menangani masalah kesihatan yang dihadapi oleh komuniti.
