UiTM gerak revolusi jimat elektrik di kolej kediaman

Lebih 200 mahasiswa UiTM menyertai Energy Smart Campus bagi memupuk amalan penjimatan elektrik, keselamatan tenaga dan kelestarian kampus.

Feature Image (9)

SEORANG peserta mengemukakan soalan kepada penceramah semasa sesi soal jawab untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai Time of Use.

Oleh: NORAZLAN HASHIM

KUALA LUMPUR, 24 November 2026 – Amalan kecil seperti mematikan lampu, mencabut pengecas dan menggunakan peralatan elektrik secara berhemah mampu memberi impak besar terhadap penjimatan tenaga apabila lebih 200 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) didedahkan kepada budaya penggunaan elektrik yang selamat dan cekap menerusi program HEP UiTM Energy Smart Campus.

Program julung kali yang berlangsung di Kolej Mawar, UiTM Shah Alam itu merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap keselamatan elektrik, mengurangkan pembaziran tenaga serta memupuk tanggungjawab bersama dalam pengurusan kemudahan kolej kediaman.

Menariknya, dapatan awal penilaian sebelum dan selepas program menunjukkan peningkatan skor bagi kesemua 10 aspek yang dinilai, dengan skor pasca program mencatatkan antara 4.86 hingga 4.89 daripada lima mata.

Peningkatan paling ketara direkodkan dalam kefahaman mahasiswa mengenai konsep Time of Use (ToU), diikuti pengetahuan tentang tindakan yang betul ketika berlaku renjatan elektrik, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif tahap pengetahuan peserta selepas mengikuti program berkenaan.

PESERTA bergambar bersama barisan penganjur, penceramah dan fasilitator sempena edisi sulung HEP UiTM Energy Smart Campus di Kolej Mawar, UiTM Shah Alam.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi menerajui inisiatif tersebut sebagai sebahagian daripada usaha membudayakan penggunaan tenaga secara berhemah dalam kalangan mahasiswa, dengan Kolej Mawar menjadi kolej kediaman pertama melaksanakannya.

“Pembudayaan penjimatan tenaga perlu bermula dengan kesedaran dan perubahan sikap mahasiswa. Melalui inisiatif Energy Smart Campus, kita bukan sahaja mahu mengurangkan pembaziran elektrik, tetapi juga membentuk mahasiswa yang bertanggungjawab terhadap keselamatan, kelestarian alam sekitar dan pengurusan sumber universiti secara berhemah,” katanya.

Program yang dikendalikan oleh pengurusan Kolej Mawar di bawah pimpinan pengetuanya, Dr. Shamshimah Samsuddin turut menggabungkan kepakaran akademik Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Shah Alam bagi memberikan pendedahan secara langsung kepada mahasiswa.

Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Rahimi Baharom selaku penceramah utama mengetengahkan tiga komponen penting merangkumi konsep Energy Smart Living, keselamatan elektrik dan penjimatan tenaga melalui contoh situasi yang dekat dengan kehidupan mahasiswa di kolej kediaman.

“Amalan mudah seperti mematikan peralatan elektrik selepas digunakan dan mengelakkan penggunaan soket secara berlebihan bukan sahaja dapat menjimatkan tenaga, malah mengurangkan risiko kemalangan elektrik. Perubahan kecil yang diamalkan secara konsisten mampu memberi impak besar kepada keselamatan dan kelestarian kampus,” jelasnya.

Beliau turut dibantu tiga fasilitator, iaitu Dr. Norazlan Hashim, Profesor Ir. Dr. Mohamad Huzaimy Jusoh dan Ts. Wan Muhamad Hakimi Wan Bunyamin, yang berkongsi panduan praktikal berkaitan pengurusan tenaga serta keselamatan elektrik.
Antara aspek yang diberikan penekanan termasuk risiko penggunaan soket secara berlebihan, kabel rosak, pengecas bermasalah serta tindakan sewajarnya ketika menghadapi insiden renjatan elektrik.

PARA pelajar Kolej Mawar mengikuti sesi perkongsian tentang keselamatan elektrik dan amalan penjimatan tenaga dalam kehidupan harian di kolej kediaman.

Peserta turut diperkenalkan kepada konsep penggunaan elektrik pada waktu puncak dan bukan puncak, selain memahami bagaimana penggunaan beberapa peralatan berkuasa tinggi secara serentak boleh meningkatkan beban elektrik.

Lebih penting, program ini membawa mesej bahawa usaha menjimatkan elektrik bukan sekadar tanggungjawab pengurusan universiti, sebaliknya memerlukan perubahan sikap dan penglibatan aktif setiap mahasiswa sebagai pengguna kemudahan kampus.

Pembudayaan amalan tersebut berpotensi membantu universiti mengurangkan pembaziran tenaga dan mengurus kos utiliti dengan lebih cekap, khususnya di kolej kediaman yang menempatkan sejumlah besar mahasiswa, selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UiTM2030 dalam memperkukuh kelestarian kampus.

Susulan pelaksanaan edisi sulung di Kolej Mawar, HEP UiTM merancang untuk memperluas inisiatif Energy Smart Campus ke kolej kediaman lain dalam sistem UiTM agar lebih ramai mahasiswa berpeluang memperoleh pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan tenaga.

Program ini sekali gus memperlihatkan bahawa transformasi ke arah kampus lestari bukan semata-mata bergantung kepada teknologi dan infrastruktur, tetapi turut bermula dengan perubahan budaya serta tindakan kecil yang diamalkan secara konsisten oleh setiap warga kampus.