Gen Z manja, orang lama kolot? Sampai bila mahu membanding

Stereotaip generasi merenggangkan hubungan, sedangkan sikap saling menghormati, keterbukaan dan adab mampu menyatukan golongan muda serta orang tua.

Feature Image (1)

“BUDAK sekarang manja! Kena tegur sikit pun dah merajuk.”

“Orang tua pula kolot! Semua benda nak ikut cara zaman dulu.”

Dua ungkapan ini semakin biasa kedengaran, sama ada di rumah, tempat kerja mahupun media sosial.

Generasi muda dituduh lemah, tidak tahan tekanan dan terlalu sensitif. Generasi terdahulu pula dilabel keras kepala, ketinggalan zaman serta enggan menerima perubahan.

Namun, pernahkah kita bertanya, sejak bilakah tahun kelahiran seseorang menjadi ukuran kebijaksanaan, kematangan dan nilai dirinya?

Hakikatnya, setiap generasi membesar dalam dunia yang berbeza. Cabaran mereka tidak sama, tetapi itu tidak bermakna satu generasi lebih hebat daripada yang lain.

Apabila label menjadi senjata

Istilah Baby Boomers, Generasi X, Y dan Z pada asalnya digunakan untuk memahami perubahan masyarakat. Malangnya, label ini semakin kerap dijadikan alasan untuk menghukum.

Kajian oleh Costanza dan rakan-rakan pada 2012 dalam Journal of Business and Psychology mendapati perbezaan antara generasi dalam beberapa sikap berkaitan pekerjaan secara keseluruhannya kecil. Ini menunjukkan bahawa tidak wajar kita membuat kesimpulan tentang sikap seseorang hanya berdasarkan generasinya.

Ada anak muda yang sangat matang dan bertanggungjawab. Ada juga individu berusia yang masih sukar menerima teguran. Begitu juga sebaliknya. Kematangan bukan hadiah automatik apabila usia meningkat, manakala usia muda bukan bukti seseorang kurang berpengalaman dalam semua perkara.

“Zaman kami dulu lagi susah. Tak ada pun masalah mental macam budak sekarang!”

Ungkapan sebegini mungkin lahir daripada pengalaman sebenar tetapi tidak sepatutnya digunakan untuk memperkecilkan kesusahan generasi lain. Generasi terdahulu mungkin berdepan kemiskinan, kekurangan kemudahan dan kesukaran mendapatkan pendidikan.

Generasi muda pula membesar dalam dunia digital yang pantas, persaingan pekerjaan, tekanan kos sara hidup dan pengaruh media sosial. Cabaran berbeza tidak bermakna penderitaan seseorang lebih ringan.

Masalah kesihatan mental juga bukan fenomena baharu. Kesedaran masyarakat dan kesediaan mendapatkan bantuan kini semakin berkembang. Anak muda yang berani berkongsi keresahan bukan semestinya lemah. Begitu juga orang lama yang memilih berdiam diri tidak semestinya lebih kuat. Kekuatan sebenar bukan bermaksud tidak pernah menangis, tetapi kemampuan menghadapi cabaran dan mendapatkan pertolongan apabila diperlukan.

Adab tidak mengenal usia

Islam mengajar manusia supaya menghormati orang lain tanpa mengira umur atau kedudukan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, yang melarang sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum lain kerana mungkin mereka yang dihina lebih baik daripada yang menghina.

Pengajaran ini amat relevan dalam hubungan antara generasi. Orang lebih berusia tidak seharusnya menggunakan pengalaman sebagai lesen untuk merendahkan anak muda. Sebaliknya, generasi muda tidak wajar menjadikan kemajuan teknologi atau pendidikan sebagai alasan memperlekehkan orang terdahulu. Ilmu tanpa adab boleh melahirkan keangkuhan, manakala pengalaman tanpa keterbukaan boleh menghalang kemajuan.

Bayangkan seorang ibu yang bersungguh-sungguh belajar menggunakan telefon pintar untuk menghubungi anaknya. Apabila tersalah menekan aplikasi, anak terus mengeluh, “Mak ni benda mudah pun tak tahu!”

Barangkali anak itu terlupa bahawa ibu yang dianggap lambat memahami teknologi itulah insan yang dahulu sabar mengajarnya bercakap dan berjalan. Sebaliknya, ada ibu bapa yang terlalu cepat menolak pandangan anak dengan alasan, “Kamu baru setahun jagung. Jangan nak ajar orang tua!”

Akhirnya, anak memilih berdiam diri kerana merasakan pendapatnya tidak dihargai. Hubungan keluarga boleh menjadi renggang bukan kerana kurang kasih sayang, tetapi kerana masing-masing terlalu sibuk mempertahankan kehebatan generasi sendiri.

Pengalaman dan inovasi perlu berjalan bersama

Dalam kehidupan, generasi terdahulu ibarat akar pokok yang membina asas, manakala generasi muda seperti pucuk baharu yang terus berkembang. Pokok tidak mampu berdiri tanpa akar, tetapi juga tidak akan subur tanpa daun.

Begitu juga masyarakat. Pengalaman orang lama penting sebagai panduan, manakala kreativiti anak muda diperlukan untuk menghadapi perubahan. Di tempat kerja, pekerja muda tidak wajar terus dianggap malas atau tidak setia. Pekerja senior pula tidak sepatutnya dilabel kolot atau menolak pembaharuan.

Apa yang lebih penting ialah kemampuan, sikap saling menghormati dan kesediaan belajar.

Hari ini kita mungkin mentertawakan orang tua yang tidak memahami teknologi. Namun, suatu hari nanti kita juga mungkin terkial-kial menghadapi dunia yang berubah terlalu pantas.

Anak muda akan menjadi tua, manakala orang tua suatu ketika dahulu juga pernah menjadi anak muda yang penuh impian. Jangan tunggu sehingga usia meningkat barulah kita memahami betapa pedihnya dipandang rendah hanya kerana umur.

Jangan terlalu sibuk membuktikan generasi sendiri paling hebat sehingga terlupa menjadi manusia yang beradab. Kerana akhirnya, masyarakat tidak menjadi lebih baik apabila satu generasi mengalahkan generasi lain tetapi apabila setiap generasi belajar untuk saling memahami.