Memperkasakan literasi digital menerusi “From Pages to Possibilities”
Program From Pages to Possibilities melibatkan 120 murid Rembau melalui bengkel membaca pantas, literasi maklumat dan aktiviti STEM interaktif.
KUALA LUMPUR, 25 November 2026 – Bayangkan dunia di mana maklumat mengalir lebih pantas daripada kelipan mata. Setiap hari, kita dibanjiri dengan ribuan data, berita dan bahan bacaan di hujung jari.
Persoalannya, adakah kita benar-benar menyerap ilmu tersebut atau sekadar tenggelam dalam lautan maklumat yang tidak bertepi? Kemahiran mencedok maklumat yang tepat dengan pantas kini bukan lagi satu kelebihan, tetapi satu keperluan mendesak dalam membina masyarakat yang celik minda.
Dalam era ledakan teknologi hari ini, isu keciciran literasi maklumat dan kelompangan literasi digital menjadi semakin kritikal. Masyarakat, terutamanya generasi muda, terdedah kepada ancaman berita palsu dan lambakan maklumat (information overload) di ruang maya.
Fenomena ini menuntut penguasaan kemahiran baharu keupayaan untuk menilai secara kritikal, menapis fakta daripada fiksyen, serta memproses data digital dengan efisien. Tanpa asas celik maklumat yang kukuh, kebanjiran sumber internet ini hanya akan mengundang kekeliruan berbanding percambahan ilmu yang bermanfaat.
Menyedari hakikat dan cabaran ini, satu inisiatif proaktif telah dirangka menerusi “Program From Pages to Possibilities” yang dianjurkan pada 24 November 2026. Program ini merupakan cetusan idea Pelajar Semester Akhir Ijazah Sarjana Muda Fakulti Sains Maklumat (FSM), di bawah seliaan Pensyarah Kanan FSM, Sufy Rabea Adawiya Idris, dengan kerjasama erat pihak Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau.
Diterajui oleh Pengarah Program, Muhammad Ishaq Mohamad Husaini, inisiatif ini membawa satu hujah utama, iaitu institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting sebagai agen pembentuk kelestarian maklumat dan pemangkin literasi digital dalam kalangan komuniti.

Majlis perasmian program yang berimpak tinggi ini telah disempurnakan oleh Penolong Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, Prof. Madya Dr. Masitah Ahmad.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa penguasaan literasi maklumat dan kemahiran digital bukan sekadar keperluan akademik, malah merupakan benteng utama bagi generasi muda mendepani cabaran revolusi teknologi masa kini.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen mahasiswa dan warga PTAR yang berjaya menterjemahkan ilmu di bilik kuliah kepada khidmat bakti komuniti, sambil berharap agar sinergi antara universiti dan sekolah setempat ini terus subur demi melahirkan generasi pelapis yang berfikiran kritis dan berdaya saing.
Analisis mendalam terhadap pengisian program ini membuktikan pendekatan holistik dan praktikal yang dibawa oleh penganjur. Kolaborasi ini telah berjaya menarik penyertaan sekitar 120 orang murid dari sekolah-sekolah di sekitar daerah Rembau.
Antara aktiviti utama yang menjadi tunjang program ialah Bengkel Speed Reading (Membaca Pantas) yang dikendalikan oleh penceramah jemputan Pustakawan Kanan PTAR UiTM Kampus Rembau, Mohd Hafiz Kasirun.
Bengkel ini bukan sekadar mengajar murid membaca dengan laju, tetapi melatih kognitif mereka untuk membuat imbasan pantas (scanning dan skimming) bagi menapis kesahihan dan mengekstrak isi penting daripada lambakan teks dan data digital.
Lebih menarik, program ini turut diperkaya dengan aktiviti Explorace berkonsepkan ‘think, create, build’ yang menyuntik elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik). Melalui aktiviti ini, murid-murid diuji untuk mengaplikasikan literasi maklumat secara amali, menyelesaikan masalah, dan menterjemahkan idea kepada satu pembinaan ilmu yang kreatif.
Bagi menjamin kelestarian agenda literasi ini, beberapa cadangan penambahbaikan boleh dilaksanakan pada masa hadapan. Pertama, modul kemahiran membaca pantas bercirikan saringan maklumat digital dan elemen berfikir secara kritis (STEM) ini wajar diintegrasikan ke dalam aktiviti kokurikulum di sekolah secara berterusan, bukan sekadar program ad-hoc.

Kedua, inisiatif libat urus seumpama ini perlu diperluas dengan melibatkan lebih banyak sekolah di kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang literasi digital antara komuniti bandar dan desa. Sekolah dan perpustakaan awam juga disarankan untuk mempraktikkan model usahasama bersama pusat sumber akademik seperti PTAR UiTM bagi tujuan pemindahan silang kepakaran.
Tuntasnya, “Program From Pages to Possibilities” telah membuka dimensi baharu dalam menterjemah konsep kelestarian ilmu, bertepatan dengan aspirasi Evolusi Dekad UiTM. Peralihan era daripada penerokaan halaman buku fizikal kepada keupayaan potensi dunia digital tanpa batas menuntut satu anjakan paradigma yang komprehensif.
Melalui pemerkasaan literasi maklumat, aplikasi STEM, dan penguasaan kemahiran membaca pantas, kita sebenarnya sedang membentuk sebuah masyarakat madani yang bukan sahaja dahagakan ilmu, malah bijak mengemudi arus maklumat demi kemajuan masa depan.
* Mohd Hafiz Kasirun merupakan Pustakawan Kanan, UiTM Kampus Rembau; Hani Naqibah Nasir ialah Pelajar Semester Akhir Ijazah Sarjana Muda Fakulti Sains Maklumat (FSM) dan Ain Ezzatul Aishah Rusila ialah Pembantu Pustakawan, UiTM Kampus Rembau.
