Kepentingan gajet dan gamifikasi dalam pembelajaran

PADA era globalisasi ini, gajet merupakan satu keperluan dalam kehidupan seharian.

Gajet seperti telefon pintar, komputer tablet dan komputer riba telah mengubah cara kita berkomunikasi, bekerja dan mendapatkan maklumat.

Bukan sahaja dewasa, malah kanak-kanak juga sudah mempunyai gadjet milik mereka sendiri sejak daripada bangku sekolah.

Imej anak-anak bermain dengan gajet sewaktu makan seringkali dilihat di kedai makan mahupun di rumah.

Penggunaan gadjet dengan betul mampu memberikan pelbagai manfaat kepada seseorang individu.

Salah satu manfaat terbesar gajet adalah memberikan akses informasi tanpa batas dengan cepat dan mudah hanya dengan menekan butang ‘Cari’.

Sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijalankan, gajet merupakan watak utama yang memainkan peranan menjadi pengantara bagi meneruskan sesi pembelajaran bersama pengajar.

Gajet juga memberi pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan kreatif.

Terdapat pelbagai aplikasi dan platform pembelajaran digital boleh digunakan untuk menarik minat para pelajar sewaktu aktiviti pembelajaran dan pengajaran dilakukan.

Aplikasi seperti Google Classroom, Kahoot, Genially, dan Quizizz membolehkan tenaga pengajar membuat bahan pengajaran visual dan kuiz berbentuk gamifikasi pendidikan bagi memudahkan proses pembelajaran dilakukan.

Apa itu gamifikasi?

Gamifikasi adalah penggunaan elemen reka bentuk permainan dalam konteks bukan permainan tetapi dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Dengan mengintegrasikan pelbagai elemen permainan seperti sistem mata, lencana pencapaian, tahap kesukaran, cabaran, carta kedudukan tangga utama dan pencarian.

Kebaikkan gamifikasi dalam pendidikan

1. Gamifikasi mampu menggalakkan penglibatan pelajar di dalam proses pembelajaran.

Pembelajaran secara tradisional yang mengunakan papan hitam dan kapur tanpa diselingkan dengan aktiviti boleh membuatkan pelajar hilang fokus di dalam kelas.

Dengan penggunaan gamifikasi pengajar boleh menarik minat para pelajar untuk terus fokus sewaktu pembelajaran dan pengajaran dibuat di dalam kelas.

2. Kajian lepas juga menunjukkan gamifikasi mampu meningkatkan perasan ingin tahu pelajar dalam mengatasi pelbagai cabaran.

Ini akan mendorong pelajar untuk mencari lebih banyak maklumat bagi menambahkan pengalaman dan kepuasan diri apabila mereka berjaya melepasi segala halangan yang diberikan di dalam gamifikasi berbentuk quiz tersebut.

Lantas membuatkan pelajar merasa teruja dan menantikan sesi pembelajaran yang seterusnya.

3. Gamifikasi mampu membantu pelajar untuk menyimpan maklumat dan ilmu yang dipelajari dalam jangka masa yang lebih lama.

Pengunaan quiz dalam pembelajaran memberi isyarat positif dan merangsang minda pelajar untuk mengingati isi penting sewaktu sesi pembelajaran dilakukan.

4. Gamifikasi mempunyai fungsi maklum balas masa nyata (real-time feedback) iaitu pelajar akan diberikan maklumbalas segera berkenaan prestasi mereka.

Justeru, pelajar boleh mengenal pasti kesalahan mereka dan memperbaiki pemahaman mereka berkenaan mata pelajaran yang dipelajari.

5. Gamifikasi menggalakkan perkembangan minda, fokus dan pembelajaran secara berterusan.

Quiz dalam bentuk gamifikasi membolehkan pelajar untuk mencuba, gagal dan mencuba sekali lagi, tanpa perasan takut akan dihakimi oleh rakan-rakan ataupun pengajar sendiri.

Seterusnya membolehkan pelajar belajar secara kendiri tanpa halangan.

Di samping itu, mendorong pelajar untuk meningkatkan prestasi mereka ke tahap penguasaan ilmu yang lebih tinggi.

6. Jika dilihat mental dan emosi pelajar masa kini, mereka amat bimbang akan penilaian orang lain terhadap mereka.

Gamifikasi boleh membantu mengurangkan kebimbangan ini dengan mewujudkan persekitaran berisiko rendah iaitu pelajar boleh berlatih dan mencuba berulang kali untuk memperbaiki pemahaman mereka.

Ini membolehkan pelajar meneroka konsep dan kemahiran baharu tanpa tekanan penilaian formal seperti peperiksaan, sistem pemarkahan dan gred.

Kesimpulannya, implementasi gamifikasi dalam pendidikan mampu membantu tenaga pengajar berevolusi dan berinovasi sejajar dengan perkembangan pendidikan negara.

Justeru, tenaga pengajar perlu berfikiran terbuka, fleksibel dan mempunyai minat untuk memajukan diri bagi meningkatkan teknik mengajar mereka.

Ini kerana teknik ini memerlukan pengajar untuk bekerja lebih dari kebiasaan bagi menyediakan bahan mengajaran yang mampu memberi penilaian dan menguji pelajar dengan pelbagai cabaran sambil berhibur secara sihat.

Seterusnya, mewujudkan suasa pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.