Pentas Seni Merdeka meraikan seni dan budaya di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2024 – Pentas Seni Merdeka kembali untuk tahun ketiga, menghidupkan semangat sejarah dan budaya di Kawasan Warisan Dataran Merdeka.

Sebagai sebahagian daripada Festival Kreatif KL, inisiatif ini antara hasil positif daripada Memorandum Persefahaman antara Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selaras dengan Pelan Induk Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur serta Kerangka Ekonomi Madani.

Program ini bertujuan mentransformasi Pusat Bandar Kuala Lumpur dengan mengaktifkan ruang awam dan menyerlahkannya sebagai destinasi kreatif.

Pentas Seni Merdeka menampilkan persembahan tradisional Adiguru atau Tokoh Seni tempatan serta serantau kepada khalayak ramai.

Pada edisi tahun ini, Ronggeng Melayu, seni tarian tradisional yang lahir daripada pertembungan budaya di Selat Melaka menjadi tumpuan utama.

Persembahan ini dipersembahkan oleh Nusantara Performing Arts Research Centre (NusPARC) dan Nyala Dance Theatre, bersama penari berbakat tempatan.

Selain itu, pentas dimeriahkan dengan persembahan Kombo Budaya DBKL, Artis Budaya DBKL dan Artis Tari Kanak-Kanak DBKL, diserikan dengan penampilan istimewa penyanyi Syura serta hos popular DJ Sonic Hussein.

“Pentas Seni Merdeka bukan sekadar acara persembahan seni. Selari dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya.

“Ia adalah platform untuk merapatkan hubungan masyarakat dengan warisan budaya kita, memberi peluang kepada orang ramai untuk menghayati seni budaya tempatan secara mendalam, dan seterusnya memperkukuh identiti Malaysia melalui ibu negara kita,” kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Shariff berkata, “Kuala Lumpur mempunyai potensi besar untuk diiktiraf sebagai Bandar Kreatif UNESCO.

“Program seperti Pentas Seni Merdeka merupakan contoh nyata bagaimana kita boleh memperkukuhkan kedudukan bandar ini di peringkat nasional dan antarabangsa, menjadikannya destinasi kreatif yang diiktiraf.

“Dengan usaha berterusa n ini, kita akan terus mengetengahkan ibu kota Kuala Lumpur, bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.”

Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed pula berkata, “Pentas Seni Merdeka, sebahagian daripada Festival Kreatif KL, bukan sahaja menghidupkan ruang awam dan warisan sejarah tetapi membuka lebih 500 peluang pekerjaan dalam industri kreatif.

“Dengan lebih 100 acara di lima presint utama pusat bandar, termasuk Presint Sivik, Segi Tiga Warisan dan Jalan Peruncitan Tradisional, festival ini terus mengukuhkan Kuala Lumpur sebagai destinasi kreatif.

“Kerjasama antara Think City, DBKL, Kementerian Kewangan dan rakan strategik telah membawa impak positif yang ketara dan kita yakin lebih banyak kejayaan boleh dicapai bersama.”

Pentas Seni Merdeka dibawakan oleh Think City dan DBKL, dengan sokongan Kementerian Kewangan dan Yayasan Hasanah.

Pentas Seni Merdeka akan diteruskan pada 9 November 2024, menampilkan Tarian Branyo & Malio dengan kerjasama PUSAK A. Untuk program penuh dan butiran acara, layari kreatifkl.com.