Kunci kejayaan pendidikan anak-anak bermula dari rumah

PENDIDIKAN bukan hanya berlaku di sekolah atau universiti.

Sebaliknya, ia bermula sejak kanak-kanak melangkah ke dunia dengan langkah pertama di rumah.

Ibu bapa, sebagai pendidik pertama, memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, nilai dan sikap anak-anak.

Apa yang mereka lihat, dengar dan alami di rumah membentuk asas keperibadian yang akan mereka bawa ke alam sekolah, kerjaya dan kehidupan dewasa.

Tambahan pula dalam era digital yang penuh cabaran, pendidikan asas dari rumah menjadi semakin penting. Isu-isu terkini seperti tekanan mental remaja, pengaruh negatif media sosial dan kelunturan nilai-nilai adab semakin membuktikan bahawa peranan keluarga amat diperlukan dalam mendidik generasi muda.

Di tengah-tengah dunia yang semakin kompleks ini, asas pendidikan moral dan etika yang dipupuk dari rumah adalah penting untuk membantu anak-anak membuat pilihan bijak dan bertanggungjawab.

1. Mengajar asas sahsiah dan nilai
Pendidikan moral dan etika asas seperti menghormati orang lain, bercakap dengan sopan dan memahami batasan diripada mula diasah di rumah. Tindakan dan kata-kata ibu bapa memberi contoh yang kuat kepada anak-anak. Sebagai contoh, jika ibu bapa mengamalkan sikap jujur dan hormat terhadap orang lain, anak-anak akan lebih mudah membentuk nilai yang sama.

2. Menyemai kesedaran pendidikan holistik
Pendidikan sebenar juga melibatkan perkembangan emosi dan rohani. Di sinilah ibu bapa memainkan peranan dalam mengenal pasti bakat atau kecenderungan anak-anak serta membantu mereka menguruskan emosi. Anak-anak yang diajar cara mengendalikan perasaan akan lebih bersedia menghadapi cabaran di luar. Contohnya, ibu bapa yang menggalakkan anak-anak untuk berkongsi masalah atau ketidakselesaan mereka sedang mendidik kepercayaan dan keselamatan emosi.

3. Memupuk tanggungjawab terhadap diri dan orang lain
Pengajaran mengenai tanggungjawab perlu bermula di rumah. Ini boleh dilakukan dengan melibatkan anak-anak dalam kerja-kerja rumah yang bersesuaian dengan umur mereka. Dengan cara ini, mereka belajar erti usaha, tanggungjawab dan kepentingan kerja berpasukan. Apabila mereka memahami bahawa setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan, nilai ini akan dibawa hingga ke alam persekolahan dan dunia pekerjaan kelak.

4. Menerapkan disiplin dan berdikari
Disiplin adalah elemen penting dalam pendidikan. Rumah adalah tempat pertama di mana disiplin harus ditanam. Ini bukan sahaja melibatkan disiplin dalam menjaga kebersihan diri atau jadual waktu tetapi juga disiplin dalam menguruskan masa dan tenaga. Anak-anak yang dididik untuk berdikari dan mematuhi disiplin akan lebih mudah menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan yang lebih terstruktur.

5. Membina rasa ingin tahu
Pendidikan dari rumah juga boleh mendorong rasa ingin tahu dan cinta kepada ilmu. Anak-anak yang banyak bertanya patut diberikan ruang untuk mengeksplorasi jawapan kerana inilah asas kepada pembelajaran sepanjang hayat. Ibu bapa boleh menyediakan bahan bacaan yang pelbagai dan berbual tentang topik-topik menarik bersama anak-anak. Ini secara tidak langsung mengasah minda mereka dan mengukuhkan minat untuk belajar.

6. Penglibatan ibu papa dalam pembelajaran anak-anak
Ibu bapa yang aktif dalam perkembangan akademik anak-anak akan membantu meningkatkan keyakinan diri anak-anak. Sama ada memeriksa kerja sekolah atau melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran, perhatian ibu bapa memberi isyarat bahawa pendidikan anak adalah perkara penting. Kajian juga menunjukkan bahawa penglibatan ibu bapa berkait rapat dengan pencapaian akademik yang lebih tinggi.

Pendidikan sebenar bermula di rumah kerana di sinilah asas nilai, sikap dan tabiat dibentuk.

Walaupun peranan guru di sekolah amat penting, ibu bapa tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sekolah untuk mendidik anak-anak.

Kolaborasi antara ibu bapa dan guru diperlukan untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang menyeluruh.

Dengan asas yang kukuh di rumah, anak-anak lebih bersedia menghadapi cabaran akademik, sosial dan peribadi di luar sana.

Sebagai ibu bapa, kita mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berkualiti dari segi sahsiah dan nilai.

Semoga corak yang dilukis oleh ibu bapa pada lembaran putih kehidupan anak-anak menjadi yang terindah buat mereka.

Apa yang kita semai dan tanam hari ini akan menjadi hasil yang kita tuai pada masa depan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.