Kuala Lumpur, 9 April 2024 – Umat Islam di Arab Saudi akan merayakan Aidilfitri esok berikutan anak bulan Syawal tidak kelihatan pada petang semalam iaitu pada 29 Ramadan.
Ia diumumkan Mahkamah Agung Arab Saudi, sekali gus menyaksikan hari ini akan menjadi hari terakhir Ramadan.
Solat sunat Aidilfitri atau Idul Fitri akan diadakan di seluruh negara esok sejurus selepas matahari terbit, dengan pengaturan menyeluruh dibuat untuk menampung jemaah untuk solat Hari Raya tahunan.
Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Saudi, Sheikh Abdullatif Al-Asheikh baru-baru ini mengeluarkan arahan untuk mengadakan solat Idul Fitri 15 minit selepas matahari terbit, mengikut kalendar Umm Al-Qura.
Arab News melaporkan dalam pekeliling itu, menteri berkata, solat Aidilfitri perlu dijalankan di kawasan solat terbuka yang ditetapkan, begitu juga di semua masjid kecuali yang bersebelahan dengan kawasan solat.
Beliau menekankan pentingnya persiapan awal untuk mengadakan solat sunat Aidilfitri di pekarangan solat dan masjid yang ditetapkan, memastikan semua perkhidmatan yang diperlukan termasuk penyelenggaraan, pembersihan dan operasi disediakan supaya jemaah dapat melakukan ibadah dengan mudah dan selesa.
Terdahulu, pada Ahad lalu, Mahkamah Agung Arab Saudi menggesa umat Islam di seluruh negara untuk melihat hilal Syawal pada petang Isnin, 29 Ramadan, bersamaan dengan 8 April.
Dalam pengumumannya, mahkamah menggesa mana-mana individu yang melihat hilal Syawal dengan mata kasar atau melalui teleskop supaya melaporkannya ke mahkamah terdekat dan merekodkan keterangan mereka.
Ramadan bermula di Arab Saudi dan di kebanyakan negara Arab dan negara lain pada 11 Mac.
Aidilfitri adalah hari raya yang disambut untuk lima hari pertama Syawal, bulan ke-10 dalam kalendar Hijriah Islam. – Berita Harian