Fenomena narsisisme digital kian membimbangkan
Secara ringkas, narsisisme digital merujuk kepada perilaku dalam talian yang berpaksikan kepada diri sendiri secara berlebihan.

KEHADIRAN media sosial dalam kehidupan moden telah mengubah cara manusia berinteraksi, mengekspresi diri dan membentuk identiti.
Dalam dunia yang semakin berpusatkan teknologi ini, satu fenomena yang semakin ketara ialah narsisisme digital iaitu kecenderungan untuk berlebihan dalam menonjolkan diri secara dalam talian demi perhatian dan pengiktirafan sosial. Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh terma narsisisme digital ini?
Walaupun tidak dikategorikan sebagai gangguan mental secara rasmi, narsisisme digital merupakan refleksi budaya yang menekankan nilai diri berdasarkan jumlah ‘likes’, ‘views’, dan pengikut di media sosial.
Fenomena ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesejahteraan emosi, malah turut mempengaruhi hubungan sosial serta pembentukan harga diri, khususnya dalam kalangan generasi muda yang lebih terdedah kepada penggunaan teknologi dan pengaruh rakan sebaya.
Secara ringkas, narsisisme digital merujuk kepada perilaku dalam talian yang berpaksikan kepada diri sendiri secara berlebihan.
Ini termasuk kecenderungan untuk memuat naik gambar swafoto yang berulang, memperagakan gaya hidup mewah atau kejayaan secara keterlaluan serta bergantung kepada respons daripada pengguna lain untuk menilai nilai diri.
Fenomena ini juga dikaitkan dengan pembentukan identiti maya yang idealistik, di mana pengguna hanya berkongsi aspek positif atau ‘sempurna’ dalam kehidupan mereka, sambil menyorokkan kelemahan dan cabaran sebenar.
Hal ini boleh membawa kepada pemalsuan imej peribadi dan tekanan dalaman untuk sentiasa kelihatan hebat di mata orang lain samada secara fizikal ataupun sekurang-kurangnya di alam maya yang jauh dari realiti sebenar.
Media sosial sebagai cerminan baharu diri
Jika dahulu manusia melihat cermin fizikal untuk menilai penampilan diri, hari ini ‘cermin’ tersebut telah digantikan oleh platform seperti Instagram, TikTok dan BeReal.
Pengguna bukan sahaja berkongsi maklumat, malah turut membentuk dan mengawal naratif diri mereka dalam talian dengan harapan untuk mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada masyarakat dalam talian.
Ciri algoritma media sosial juga menyumbang kepada fenomena ini. Kandungan yang menarik perhatian akan lebih mudah mendapat liputan luas, mendorong pengguna untuk terus mencipta bahan yang sensasi, viral, atau memaparkan kehidupan luar biasa walaupun ianya tidak semestinya mencerminkan realiti kehidupan seseorang.
Ketagihan terhadap respons positif dalam talian boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental. Kajian menunjukkan bahawa individu yang terlalu bergantung kepada maklum balas pengguna media sosial lebih cenderung mengalami tekanan, keresahan dan rendah diri terutamanya apabila kandungan yang dikongsi tidak mendapat sambutan yang diharapkan.
Apabila identiti seseorang terlalu terikat dengan imej dalam talian, kekurangan perhatian atau pengiktirafan boleh menyebabkan mereka berasa tidak dihargai dan terpinggir, lalu memberi kesan kepada kestabilan emosi.
Ini akan mengakibatkan mereka bergelut dengan perasaan sendiri dan juga bagaimana untuk mengawal lonjakan emosi yang disebabtkan oleh tingkahlaku netizen.
Lebih membimbangkan, narsisisme digital juga boleh menghakis empati serta mengganggu hubungan interpersonal yang sebenar. Apabila tumpuan hanya diberikan kepada persembahan diri, komunikasi menjadi cetek dan nilai kemanusiaan semakin terpinggir lantas akan pupus.
Ini adalah satu keadaan yang amat membimbangkan apabila manusia tidak lagi menganggap manusia lain mempunyai nilai dan akan sentiasa berlumba-lumba untuk mendapat perhatian.
Bukan hanya isu golongan belia
Walaupun fenomena ini lebih menonjol dalam kalangan remaja dan belia, ia bukanlah isu yang terbatas kepada satu golongan umur. Golongan dewasa turut terlibat dalam penciptaan imej ideal di media sosial sama ada melalui perkongsian kejayaan profesional, gaya hidup eksklusif atau pencapaian peribadi.
Keinginan untuk mendapat pengesahan sosial ternyata adalah sifat semula jadi manusia, namun apabila ia menjadi kebergantungan, ia boleh mendatangkan risiko jangka panjang yang mengganggu kesejahteraan diri.
Menghapuskan media sosial bukanlah penyelesaian terbaik, namun membina hubungan yang sihat dengan platform digital adalah kunci utama. Berikut antara langkah yang boleh diambil:
1. Nilai semula niat perkongsian
Sebelum memuat naik sesuatu kandungan, tanyakan pada diri sendiri adakah perkongsian ini dibuat untuk berkongsi maklumat dengan ikhlas, atau hanya untuk mendapatkan pengiktirafan?
2. Amalkan kesedaran diri
Ambil masa untuk berehat daripada media sosial. ‘Detoks digital’ boleh membantu memulihkan perspektif diri dan emosi.
3. Bersikap autentik
Berkongsilah dengan jujur dan seimbang termasuk berkongsi cabaran atau kegagalan yang dilalui. Kejujuran membina kepercayaan.
4. Elakkan perbandingan tidak realistik
Ingatlah bahawa media sosial hanya menunjukkan sorotan terbaik kehidupan seseorang, bukan keseluruhan cerita. Bandingkan diri dengan pencapaian peribadi, bukan kehidupan orang lain. Ini lebih bermakna dan realistik.
Gerakan ke arah kesedaran dan keseimbangan digital semakin berkembang. Ramai pencipta kandungan kini memaparkan sisi kehidupan yang lebih realistik dan tidak ditapis. Ini membuktikan bahawa perubahan budaya digital adalah mungkin jika dimulakan dengan kesedaran yang lebih kolektif.
Nilai diri bukan sekadar paparan digital
Dalam dunia yang dipenuhi dengan penapisan, algoritma dan penilaian maya, adalah penting untuk tidak kehilangan jati diri yang sebenar. Nilai diri seseorang tidak ditentukan oleh bilangan pengikut atau reaksi atas talian tetapi oleh nilai murni yang dibawa dalam kehidupan sebenar.
Narsisisme digital mungkin sukar dielakkan sepenuhnya, namun dengan kesedaran dan kawalan diri, kita boleh membentuk hubungan yang lebih sihat dan bermakna dengan dunia digital tanpa mengorbankan integriti diri yang sejati.
Teknologi digital itu sepatutnya memudahkan kehidupan manusia dan bukan merubah nilai seseorang manusia menjadi lebih rapuh. Marilah kita renungkan bersama fenomena ini dan mencari solusi untuk diri dan keluarga ke arah Masyarakat MADANI.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.