Meningkatkan minat pelajar belajar STEM

Penurunan minat terhadap STEM berpunca daripada persepsi umum bahawa mata pelajaran berkaitan STEM adalah sukar, tidak menarik dan kurang relevan dengan kehidupan seharian.

Poster Terkini (2)


KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan baru-baru ini membawa berita yang menggembirakan.

Statistik menunjukkan bahawa pencapaian keseluruhan calon berada pada tahap tertinggi sejak tahun 2013 dengan Gred Purata Nasional (GPN) mencatatkan penurunan kepada 4.49 berbanding 4.60 pada tahun sebelumnya.

Tambahan pula, sebanyak 94 peratus daripada 402,956 calon layak menerima sijil SPM dan 3.7 peratus memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil. Ianya satu peningkatan yang signifikan berbanding 3.1 peratus pada tahun 2023 (Malay Mail, 2025).

Peningkatan ini adalah bukti bahawa pelaburan dan usaha dalam sistem pendidikan negara mula menunjukkan hasil.

Namun, di sebalik angka yang membanggakan ini, terdapat kebimbangan yang masih membelenggu masa hadapan pendidikan Malaysia khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Data menunjukkan bahawa meskipun terdapat peningkatan dalam penyertaan pelajar dalam aliran STEM kepada 50.8 peratus pada tahun 2024, kadar ini masih belum mencapai sasaran nasional sebanyak 60 peratus yang telah ditetapkan sejak sekian lama (Khazanah Research Institute, 2024).

Penurunan minat terhadap STEM bukanlah isu baharu. Ia berpunca daripada pelbagai faktor yang kompleks. Antara punca utamanya ialah persepsi umum bahawa mata pelajaran berkaitan STEM adalah sukar, tidak menarik dan kurang relevan dengan kehidupan seharian.

Tambahan pula, pelajar yang kurang pendedahan awal kepada aplikasi sebenar bidang ini dalam dunia pekerjaan sering kali gagal untuk melihat nilai praktikal dan potensi kerjaya yang luas dalam sektor ini.

Kekurangan guru yang terlatih dengan pendekatan pengajaran inovatif turut menyumbang kepada situasi ini di samping cabaran akses kepada kemudahan pembelajaran yang moden, terutamanya di kawasan luar bandar.

Kesan langsung daripada penurunan minat terhadap STEM ini dapat dilihat dalam pencapaian Malaysia dalam Programme for International Student Assessment (PISA) 2022.

Malaysia mencatatkan penurunan skor dalam ketiga-tiga domain utama iaitu matematik, membaca dan sains berbanding keputusan tahun 2018.

Skor matematik merosot sebanyak 32 mata, membaca sebanyak 27 mat, dan sains sebanyak 21 mata. Skor ini bersamaan dengan kehilangan pembelajaran kira-kira satu hingga dua tahun akademik. Malaysia kini berada di kedudukan ke-54 daripada 81 negara yang dinilai, dengan purata skor sebanyak 409 (ISIS Malaysia, 2024).

Statistik ini memberi isyarat jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam pendekatan pendidikan negara terhadap pembangunan keupayaan saintifik dan teknologi dalam kalangan pelajar.

Sebagai respons kepada trend yang membimbangkan ini, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah strategik.

Dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi menaik taraf makmal komputer dan peralatan pembelajaran STEM di sekolah seluruh negara (Utusan Malaysia, 2023).

Langkah ini adalah selari dengan usaha untuk memperkukuh kemahiran digital dan literasi teknologi dalam kalangan pelajar.

Di samping itu, penubuhan Jawatankuasa Khas STEM merentas kementerian diharap dapat mewujudkan penyelarasan dasar yang lebih mantap dan menyeluruh antara sektor pendidikan dan industri.

Pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan kementerian lain melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Antara fokus utama pelan ini adalah memastikan bekalan tenaga kerja mahir dalam bidang sains dan teknologi dapat ditingkatkan seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi hab teknologi serantau (Bernama, 2023).

Namun, intervensi dasar sahaja tidak mencukupi. Perubahan yang lebih drastik perlu berlaku dalam budaya pendidikan sedia ada.

Kurikulum STEM harus dirombak agar lebih berfokus kepada pembelajaran kontekstual, berasaskan projek (project-based learning) dan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah (problem-solving). Hal ini akan membolehkan pelajar melihat saling kaitan antara teori yang dipelajari dengan isu dunia sebenar.

Di samping itu, latihan profesional kepada guru perlu diberi keutamaan agar mereka mampu menyampaikan pengajaran secara kreatif dan relevan dengan keperluan semasa industri.

Selain itu, pendekatan komunikasi awam juga perlu diperkemas. Persepsi negatif terhadap bidang STEM perlu ditangani melalui kempen kesedaran yang agresif dan meluas.

Ibu bapa sebagai pengaruh utama dalam pemilihan aliran anak-anak juga perlu diberi pendedahan tentang potensi kerjaya dalam STEM dan kepentingannya untuk masa hadapan negara.

Sekolah-sekolah boleh bekerjasama dengan industri untuk menganjurkan program lawatan, mentorship serta pertandingan inovasi yang membolehkan pelajar merasai sendiri dunia sebenar kerjaya STEM.

Kejayaan dalam SPM 2024 membuktikan bahawa pelajar Malaysia sebenarnya memiliki keupayaan intelektual yang tinggi.

Bagaimanapun, tanpa hala tuju yang jelas dan pendedahan yang menyeluruh terhadap bidang strategik seperti STEM, potensi ini tidak akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam ekonomi global yang berasaskan teknologi, pelaburan dalam membina minat dan kemahiran STEM perlu dipertingkatkan secara holistik, menyeluruh dan mampan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.