Hutang baik atau hutang jahat berbeza ikut persepsi individu
Hutang atau pinjaman merupakan tanggungan kewangan terbesar yang sering menimbulkan masalah jika gagal dikawal dengan baik

MUTAKHIR ini keadaan ekonomi kurang baik dengan kos sara hidup tinggi, pastinya ramai tidak dapat lari daripada amalan berhutang untuk menampung perbelanjaan. Sebenarnya berhutang bukanlah satu kesalahan, namun seseorang itu perlulah bijak membezakan antara hutang baik dan hutang jahat.
Hutang atau pinjaman merupakan tanggungan kewangan terbesar yang sering menimbulkan masalah jika gagal dikawal dengan baik. Ramai yang terjebak dalam hutang akibat daripada perbelanjaan yang sering melebihi pendapatan atau pengurusan kewangan yang tidak cekap, akhirnya muflis.
Hutang atau pinjaman, terma yang mungkin terdengar seperti kegiatan yang tidak baik, tetapi jangan biarkan reputasinya menipu para pengguna. Risikonya jelas, tetapi satu bahagian lain pula mungkin mendedahkan alat yang berkuasa untuk merealisasikan matlamat setiap individu.
Jelas, hutang bermakna berhutang wang dengan pihak ketiga dan wajib dibayar semula nilai pokok dengan faedah atau keuntungan. Data kewangan menunjukkan sehingga akhir tahun 2024, hutang isi rumah rakyat Malaysia mencecah RM1.63 trilion atau 84.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Angka yang amat besar dan mungkin membimbangkan banyak pihak.
Senario hutang baik
Hutang baik merujuk kepada hutang dengan kadar faedah yang rendah dan digunakan untuk membeli aset yang meningkat nilainya pada masa depan. Di samping itu, hutang yang di ambil dapat membantu individu menghasilkan pendapatan dan menambah nilai bersih, maka ia boleh dianggap baik.
Demikian juga hutang yang meningkatkan kehidupan individu dan keluarga dalam cara yang signifikan juga dianggap baik. Contoh seperti pinjaman perumahan, pinjaman perniagaan dan pinjaman pendidikan tinggi.
Sebagai tambahan, hutang yang baik biasanya membolehkan seseorang mengurus kewangan mereka dengan lebih cekap, memanfaatkan kekayaan dengan pendapatan tambahan serta dapat mengatasi situasi kecemasan yang tidak dijangka.
Senario hutang jahat
Hutang jahat seperti hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan sebarang pinjaman yang digunakan untuk memperoleh aset yang mudah susut nilai, akan menjauhkan peminjam daripada matlamat mereka. Hutang sebegini di anggap sebagai hutan jahat kerana manfaatnya kurang dan impak yang rendah.
Dalam kata lain, jika apa sahaja yang dibeli dan tidak naik nilainya atau tidak menjana pendapatan, maka seseorang tidak sepatutnya berhutang untuk membelinya. Hutang yang tidak sihat akan menggugat kesejahteraan kewangan individu dan biasanya mempunyai kadar faedah yang tinggi.
Misalnya penggunaan kad kredit hingga had maksimum dan membayar hanya kadar minimum, boleh memberi kesan negatif pada skor kredit. Penggunaan kad kredit secara bebas tanpa had dipengaruhi oleh kehendak yang melebihi kemampuan pendapatan individu sedia ada. Memiliki banyak hutang seperti kad kredit dan pinjaman peribadi bakal merosakkan tahap keselesaan kewangan mereka.
Pengurusan hutang lebih bijak
Salah satu kesan positif kesejahteraan kewangan individu adalah melalui pengurusan hutang yang cekap dan teratur. Bagi mencapai matlamatnya, penting untuk individu terbabit memahami perbezaan antara hutang baik dan jahat.
Pengurusan hutang yang bijak melibatkan pembuatan keputusan yang tepat tentang jenis hutang yang diperlukan dan manfaat jangka panjang yang boleh diperolehi. Sebelum berhutang, perhalusi dahulu faktor-faktor seperti kadar faedah, keupayaan untuk melunaskan hutang, dan potensi pulangan pelaburan.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, ia boleh meningkatkan stres kewangan seseorang peminjam disebabkan terjebak dalam hutang yang kurang manfaatnya. Sebaliknya, hutang yang dipilih dengan bijak dan diurus dengan cekap boleh membantu seseorang mencapai kestabilan dan kejayaan kewangan jangka panjang.
Bagi mencapai objektif mempunyai hutang yang baik, setiap individu perlulah cekap dalam pengurusan kewangan diri serta yakin dengan setiap keputusan. Dengan tahap literasi kewangan yang tinggi, barulah individu tersebut dapat memilih dan mengawal keperluan hutang yang sesuai untuknya. Itu sebab jika stabil tahap kesejahteraan kewangan, maka hidup lebih terjamin.
Secara keseluruhan, hutang dianggap baik jika ia digunakan dengan betul dan boleh membantu anda mencapai matlamat kewangan anda dan membina kekayaan jangka panjang. Hutang jahat, sebaliknya, adalah hutang yang boleh membahayakan kredit anda dan menghabiskan kewangan anda jika anda tidak berhati-hati.
Sudah tentu, apa jua jenis hutang, pertimbangan yang teliti adalah penting untuk memastikan hutang tersebut diurus dengan baik. Seterusnya dapat mengelakkan kewangan peribadi mereka daripada risiko yang berbahaya.
Akhirnya, pastikan nisbah hutang kepada kredit mereka berada pada tahap yang rendah untuk mengelak daripada dilihat sebagai peminjam berisiko oleh pemberi pinjaman.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.