Kereta elektrik titik peralihan ke arah mobiliti rendah karbon
EV sering dilihat sebagai jalan keluar ke arah masa depan yang lebih hijau dan Malaysia turut mengikuti arus ini dengan memperkenalkan pelbagai insentif serta perancangan infrastruktur.

DALAM usaha mencapai status ‘Net Carbon Zero’ menjelang 2050, Malaysia telah meletakkan harapan tinggi pada teknologi hijau, termasuk penggunaan kereta elektrik (EV).
EV sering dilihat sebagai jalan keluar ke arah masa depan yang lebih hijau dan Malaysia turut mengikuti arus ini dengan memperkenalkan pelbagai insentif serta perancangan infrastruktur.
Bagi menggalakkan lagi pembelian EV, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai insentif seperti pengecualian cukai import dan eksais bagi EV sehingga tahun 2025.
Sasaran 80 peratus penggunaan EV menjelang 2050 dibawah Pelan Mobiliti Rendah Karbon menunjukkan komitmen terhadap perubahan.
Insentif ini disambut baik oleh rakyat Malaysia apabila ramai pengguna kereta memilih EV ini yang dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi terkini dan rekaan futuristik. Namun persoalannya, sejauh manakah EV benar-benar mesra alam dan praktikal untuk rakyat?
Pada 2021, kerajaan Malaysia mengumumkan komitmen untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050, selaras dengan Perjanjian Paris.
Antara langkah utama dalam pelan ini termasuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau dalam sektor pengangkutan, yang menyumbang hampir 21 peratus daripada jumlah pelepasan negara. Kereta elektrik, secara teori, adalah penyelesaian utama.
Tanpa enjin pembakaran dalaman, EV tidak mengeluarkan asap ekzos dan boleh mengurangkan pencemaran udara di kawasan bandar. Namun, realitinya lebih kompleks.
Majoriti elektrik negara masih dijana melalui bahan api fosil, khususnya arang batu dan gas asli. Justeru, pelepasan karbon hanya beralih dari jalan raya ke loji janakuasa. Pengeluaran bateri ‘hijau’ ini juga melibatkan cabaran besar terhadap kelestarian.
Penambangan bahan mentah seperti litium, kobalt dan nikel memberi kesan serius kepada ekosistem dan komuniti di negara asal bahan tersebut. Tanpa sistem kitar semula bateri yang mapan di Malaysia, sisa elektronik berisiko menjadi pencemar utama pada masa depan.
Salah satu cabaran utama dalam usaha memperluas penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia ialah kekurangan dan ketidakseimbangan infrastruktur pengecasan, terutamanya antara kawasan bandar dan luar bandar.
Walaupun kerajaan telah menetapkan sasaran pembinaan 10,000 stesen pengecas EV menjelang tahun 2025, kadar pelaksanaannya masih dilihat perlahan dan tidak menyeluruh.
Ketika ini, majoriti stesen pengecas tertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, selari dengan realiti bahawa pembeli EV kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi yang tinggal di kawasan urban.
Namun, golongan luar bandar yang turut berminat untuk beralih kepada kenderaan EV berdepan cabaran besar, bukan sahaja dari segi capaian stesen pengecas tetapi juga dari segi keyakinan untuk menggunakan EV dalam jarak perjalanan yang panjang.
Bayangkan anda dalam perjalanan jauh, dan tiba di lokasi pengecasan yang hanya mempunyai dua unit pengecas. Setiap kenderaan memerlukan antara dua hingga tiga jam untuk pengecasan penuh.
Situasi seperti ini boleh menyebabkan barisan panjang kenderaan, dengan pemilik EV terpaksa menunggu berjam-jam sebelum tiba giliran.
Ini bukan sahaja membuang masa, malah mewujudkan kegelisahan pengguna atau ‘range anxiety’, terutamanya dalam kalangan mereka yang tinggal jauh dari pusat bandar.
Kebimbangan ini semakin ketara apabila melibatkan perjalanan jarak jauh, misalnya dari Pantai Timur ke Lembah Klang atau dari Perlis ke Johor Bahru, yang lazimnya memakan masa antara lima hingga enam jam, dan boleh mencecah sehingga dua belas jam semasa musim perayaan.
Tanpa jaminan adanya stesen pengecas berfungsi dalam jarak yang selamat, ramai pengguna memilih untuk terus menggunakan kenderaan enjin pembakaran dalaman yang dianggap lebih praktikal buat masa ini.
Masalah turut timbul di kawasan kediaman berstrata seperti pangsapuri dan kondominium, di mana pemasangan pengecas peribadi sering menghadapi halangan peraturan daripada pengurusan bangunan atau badan pengurusan bersama.
Ramai penduduk tidak diberi kebenaran untuk memasang pengecas walaupun di tempat parkir milik sendiri, menyebabkan pengguna EV tiada pilihan selain bergantung kepada pengecas awam.
Walaupun kesedaran awam terhadap kepentingan alam sekitar semakin meningkat, halangan ekonomi kekal ketara. Kebanyakan model EV di Malaysia berharga RM100,000 ke atas, menjadikan ia jauh daripada capaian golongan berpendapatan sederhana.
Tambahan pula, ramai masih ragu terhadap kos penyelenggaraan, hayat bateri dan nilai jual semula. EV hanyalah sebahagian daripada penyelesaian. Malaysia perlu memastikan penggunaan EV disokong dengan pembaharuan tenaga, pelupusan lestari dan infrastruktur yang inklusif. Jika tidak, kita hanya menukar bentuk pencemaran, bukan mengurangkannya.
Kereta elektrik bukanlah penyelesaian mutlak kepada krisis iklim, tetapi ia adalah salah satu komponen penting dalam peralihan kepada mobiliti rendah karbon.
Keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana dasar, infrastruktur dan penerimaan masyarakat dikembangkan secara lestari dan inklusif.
Sebagai negara yang ingin menjuarai kelestarian, Malaysia perlu memastikan bahawa peralihan kepada EV tidak hanya bersifat luaran, tetapi benar-benar menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar jangka panjang.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.