UM bantu perkasa golongan OKU jadi usahawan makanan
Projek Dapur Sambal OKU dilaksanakan hasil kerjasama antara Universiti Malaya dan Akademi Permata Impian (APIM) di Semenyih, Selangor.

Oleh: NURZATIL SHARLEEZA MAT JALALUDDIN DAN MAISARAH HASBULLAH
KUALA LUMPUR, 17 Julai 2025 – Universiti Malaya (UM) menerusi Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) giat melaksanakan projek keusahawanan berasaskan makanan bagi memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya golongan OKU pembelajaran melalui Projek Dapur Sambal OKU.
Projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Akademi Permata Impian (APIM) di Semenyih, Selangor dan telah menerima dana permulaan sebanyak RM10,000 melalui geran komuniti UM.
Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada penghasilan produk sambal belacan dan ibu sambal dalam skala komersial, sekali gus membuka peluang kepada pelatih OKU pembelajaran untuk membina kemahiran keusahawanan dan menjana pendapatan.
Menurut penyelaras projek, Nurzatil Sharleeza Mat Jalaluddin dan Maisarah Hasbullah, pemilihan produk sambal adalah strategi tepat memandangkan sambal merupakan hidangan ikonik rakyat Malaysia yang digemari semua lapisan masyarakat dan mempunyai potensi pasaran yang luas.
“Dengan latihan yang sesuai, pelatih APIM mampu menghasilkan produk berkualiti yang tahan lama, enak dan berdaya saing,” katanya.
Bengkel pembuatan sambal telah diadakan dua kali pada Mac dan Mei lepas, dengan penglibatan aktif para pelatih dan sokongan daripada sukarelawan setempat serta tenaga pengajar berpengalaman dalam melatih golongan OKU pembelajaran.
Seorang peserta bengkel yang hanya mahu dikenali sebagai Balqis berkata, beliau amat gembira dapat menyertai program tersebut kerana dapat mempelajari kemahiran baharu sambil bekerjasama dengan rakan-rakan.
Pengerusi APIM, Ahmad Sa’ridan Kassim pula menyifatkan penyertaan pelatih dalam bengkel itu sebagai pengalaman berharga kerana mereka bukan sahaja mempelajari teknik pembuatan sambal, malah turut didedahkan dengan kaedah memasarkan produk menggunakan hasil tanaman sendiri.
Menurut beliau, projek seperti ini bukan sahaja membantu golongan OKU menjana pendapatan, malah memberi motivasi dan keyakinan diri untuk terus berdikari.
“Projek Dapur Sambal OKU adalah satu contoh usaha yang positif ke arah mewujudkan ekosistem mampan bagi pembangunan kapasiti komuniti OKU di Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyeru lebih banyak pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan untuk tampil menghulurkan sokongan dalam bentuk latihan, bimbingan, pembiayaan serta pembelian produk keluaran OKU.
Projek ini juga sejajar dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat inklusif dan memastikan golongan OKU tidak terus terpinggir daripada peluang pembangunan dan pekerjaan.