Menjaga adab dalam ledakan AI
Apabila kita membenarkan AI menyentuh kehidupan manusia, kita juga perlu memastikan ia tidak melukakan ruh manusia.

BAYANGKAN suatu hari nanti, khutbah Jumaat tidak lagi disampaikan oleh manusia. Sebaliknya, kita berdiri beramai-ramai mendengar suara lunak kecerdasan buatan (AI) yang diprogramkan untuk menyampaikan isi khutbah dengan sempurna—lengkap dengan rujukan hadis, intonasi dan taranum yang menenangkan.
Mungkin nampak futuristik tapi sebenarnya kita sudah pun berada di ambang itu. Dalam dunia pendidikan dan keagamaan, AI sedang meresap masuk, bukan sahaja ke dalam peralatan kita, tetapi juga cara kita berfikir, belajar dan menyampaikan ilmu.
Soalnya sekarang, bila robot mula menyentuh ruh, adakah kita bersedia?
Saya menyaksikan sendiri bagaimana pelajar menggunakan AI seperti ChatGPT untuk menyiapkan tugasan, menyediakan slaid, malah menyiapkan kertas kerja penuh. Bagi sesetengah pensyarah, ini dianggap memudahkan tetapi bagi saya, ini menimbulkan tanda tanya besar, apa yang sedang berlaku terhadap nilai kejujuran dalam menuntut ilmu?
Dalam aliran teknologi ini, ramai pelajar tidak lagi tertarik pada proses pembelajaran tetapi lebih fokus pada hasil akhir. Bukankah ini bercanggah dengan tujuan asal pendidikan dalam Islam yang tidak hanya mementingkan ilmu tetapi juga pembentukan adab?
Maka di sinilah pentingnya kita kembali kepada prinsip maqasid syariah iaitu tujuan utama syariat yang memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Bila kita lihat AI daripada lensa ini, soalan yang perlu ditanya bukan sekadar ‘apa yang teknologi ini boleh buat’ tetapi ‘apa yang teknologi ini akan buat kepada manusia?’
Kerana dalam kegairahan kita mengejar inovasi, kita berisiko mengabaikan adab dan apabila adab ditinggalkan, ruh itu sendiri akan mula hilang.
Saya percaya masjid dan universiti perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam pertembungan antara teknologi dan nilai. Sayangnya, dua institusi ini sering bergerak dalam garis selari yang tidak pernah bertemu. Universiti membangunkan teknologi tanpa sempadan moral, manakala masjid pula menyampaikan agama tanpa menyentuh isu semasa yang kritikal.
Tidakkah kita boleh bayangkan satu usaha bersama, di mana universiti menyediakan kefahaman teknikal, manakala masjid pula menyemai nilai dan etika? Program-program bersama yang memperkenalkan literasi digital berteraskan adab. Bengkel AI yang dimulakan dengan surah Iqra’. Kuliah agama yang membincangkan bukan hanya akhlak Rasulullah tetapi juga bagaimana akhlak itu diterjemah dalam era digital.
Kita tidak kekurangan pakar teknologi dan tidak juga kekurangan alim ulama tetapi kita kurang jambatan yang menyatukan dua dunia ini. Sedangkan dalam sejarah Islam, ulama juga adalah saintis, dan madrasah juga adalah pusat inovasi.
Maka inilah masanya untuk kita fikirkan semula: bukan sekadar siapa yang memegang kuasa AI tetapi nilai apa yang mengarahkannya.
Di peringkat dasar, kita perlu merangka kurikulum pendidikan yang menggabungkan nilai maqasid dalam pengajaran STEM. Di peringkat masyarakat, kita perlu membina budaya celik digital yang tidak buta moral dan di peringkat individu, kita perlu berani bertanya, bukan apa yang mesin ini boleh buat untuk saya tetapi apa yang saya boleh ajar mesin ini tentang kemanusiaan?
Ini adalah kerana pada akhirnya teknologi hanyalah alat. Sama ada ia membawa manfaat atau mudarat, bergantung pada siapa yang mengarahkannya dan nilai apa yang menjadi kompasnya.
Saya menulis ini bukan kerana takut pada teknologi tetapi kerana saya cintakan masa depan yang seimbang di mana robot membantu tetapi ruh tetap memimpin.
Apabila kita membenarkan AI menyentuh kehidupan manusia, kita juga perlu memastikan ia tidak melukakan ruh manusia. Itu hanya boleh dicapai jika kita berani meletakkan nilai sebagai asas—bukan sebagai tambahan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.