Budaya lekafon menjarak, menyisih mereka yang tersayang
Lekafon boleh didefinisikan sebagai menggunakan telefon pintar tanpa mempedulikan kehadiran orang di sekeliling.

ADAKAH telefon pintar anda lebih mendapat perhatian berbanding anak-anak? Ya atau tidak, begitulah ceritera kehidupan kita dalam meniti arus kemodenan ini.
Menggunakan telefon pintar atau lebih tepat lagi, meleret layar pada telefon pintar secara senyap mungkin kelihatan biasa, mungkin tiada bahayanya.
Namun demikian, dewasa ini, budaya ini menjadi serasi dalam kehidupan seharian kita dan anak-anak. Budaya atau tren yang sedang menular pantas ini dikenali sebagai lekafon atau versi bahasa Inggerisnya ialah phubbing.
Pada masa kini, budaya ini secara perlahan-perlahan membentuk cara anak-anak muda berkomunikasi dengan orang sekeliling sama ada keluarga, rakan-rakan mahupun diri mereka sendiri.
Perkataan ‘phubbing’ ini mula diguna pakai di Australia semenjak tahun 2012. Istilah ini merupakan gabungan antara perkataan ‘phone’ dan ‘snubbing’ yang membawa maksud satu kelakuan di mana seseorang itu menggunakan telefon pintar atau alat peranti tanpa menghiraukan kehadiran orang lain.
Kita sering melihat dan mendengar, orang dewasa lebih-lebih lagi ibu bapa dengan mudah menyalahkan anak-anak apabila mereka menggunakan waktu layar dengan banyaknya.
Namun demikian, ada kajian mendedahkan ibu bapa dan penjaga sebenarnya turut bersalah, bukan sahaja anak-anak yang patut disalahkan di mana selalunya anak-anak yang akan menjadi mangsa dalam keadaan ini, menerima kesannya terutama dari segi emosi.
Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Psychology pada tahun 2023, memaparkan budaya lekafon turut berlaku dalam kalangan ibu bapa yang meleret layar telefon pintar ketika berinteraksi dengan anak-anak sama ada di meja makan, semasa waktu ulangkaji di rumah ataupun sebelum tidur.
Lebih meresahkan, kajian ini menunjukkan anak-anak mengalami tekanan, kebimbangan dan ketagihan telefon pintar yang tinggi akibat budaya ini. Begitu juga di Malaysia, kesan ini turut dilihat berlaku dalam kalangan anak-anak kita.
Anak-anak rasa dibuang, rasa terputus
Situasi ini menarik perhatian pelbagai pihak, terutamanya para pakar. Mereka mengingatkan bahawa anak-anak yang sering menghadapi keadaan lekafon akan mula memiliki rasa ditolak, rasa dibuang.
Dr Michelle Felder, pakar terapi kanak-kanak dan jurulatih keibubapaan yang berpusat di New York berkata, ‘When caregivers prioritise their phones over interacting with their child, what can get communicated to that child—and internalised by that child—is that the phone is more valuable, engaging, interesting, and important than them’.
Maksudnya, apabila ibu bapa lebih mengutamakan telefon berbanding anak, mesejnya jelas telefon lebih bernilai dan penting daripada mereka.
Pada tahun 2019, satu kajian tentang obsesi terhadap telefon pintar dijalankan di Malaysia melibatkan 568 peserta berumur 13 hingga 18 tahun.
Dapatan menunjukkan bahawa lekafon, sama ada dalam diri sendiri atau ibu bapa, berkait rapat dengan silaturahim kekeluargaan yang rendah, hubungan sesama rakan yang lemah dan rasa harga diri yang semakin menurun.
Ramai pelajar menyifatkan bahawa mereka berasa hilang atau tidak kelihatan di rumah apabila ahli keluarga tenggelam dalam dunia telefon masing-masing.
Trend ini bukan sahaja berlaku di rumah, bahkan juga melarat ke bilik darjah. Para guru melaporkan bahawa pelajar sering terganggu, kurang fokus dan tidak banyak bercakap. Mereka juga cenderung mengalami letupan emosi.
Jelaslah, ketagihan telefon pintar ini seperti pusingan roda pengelakkan sosial. Apabila interaksi berdepan terasa pelik dan tidak selesa, mereka kembali kepada layar untuk meredakan tekanan — dan roda lekafon terus berputar.
Bilangan yang meresahkan
Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 17 tahun meningkat sebanyak 155% sejak tahun 2016.
Namun hanya 34 peratus ibu bapa menggunakan kawalan ibu bapa secara digital. Tinjauan Kementerian Kesihatan pula mendapati 29 peratus kanak-kanak bawah lima tahun terdedah kepada skrin setiap hari dan 21 peratus daripadanya melebihi 2 jam sehari sedangkan had yang disarankan ialah 1 jam.
Di China, kajian pada tahun 2022 melibatkan 726 remaja mendapati 51 peratus bersetuju bahawa mereka sering melihat ibu bapa mereka leka dengan telefon.
Ini berkait rapat dengan depresi, keagresifan dan perasaan tidak selamat. Walaupun ini dapatan luar negara, ia sejajar dengan perubahan sosial di Malaysia juga.
Budaya lekafon bukan semata-mata tingkah laku anak-anak terhadap telefon tetapi refleksi budaya digital yang semakin meresap ke dalam institusi keluarga.
Yeslam Al Saggaf, penyelidik kelakuan digital dari Charles Sturt University, menyatakan bahawa apabila anak rasa tidak diterima, mereka mudah merasa terputus secara sosial, yang membawa kepada kebimbangan dan depresi.
Dalam dunia keibubapaan, anak-anak belajar melalui pemerhatian. Apabila ibu bapa memeriksa notifikasi semasa makan atau sebelum tidur, tingkah laku itu dinormalisasikan. Ini merosakkan corak komunikasi dan hubungan emosi dalam keluarga.
Guru-guru di Malaysia juga melaporkan kesukaran mendapatkan perhatian pelajar, dengan aduan berkaitan gangguan digital, tempoh tumpuan pendek dan penarikan diri dari aktiviti sosial.
Ada sekolah yang memperkenalkan zon tanpa telefon atau ‘hari detoks digital’. Sesetengah institusi pendidikan juga mengintegrasi topik kesejahteraan digital dan kecerdasan emosi dalam kurikulum.
Kesedaran dan langkah ke hadapan
Menyelesaikan krisis lekafon bukan tentang membuang teknologi tetapi mengembalikan nilai interaksi manusia. Antara strategi yang disyorkan:
1. Cipta ruang tanpa teknologi (meja makan, bilik tidur, bilik darjah)
2. Amalkan waktu ‘digital sunset’ — tanpa skrin satu jam sebelum tidur
3. Gunakan kawalan ibu bapa untuk aplikasi ketagihan
4. Tunjuk teladan penggunaan teknologi yang sihat
Kelakuan digital yang sihat bermula dari orang dewasa. Anak-anak akan belajar bahawa memandang ke mata dan melihat wajah ketika bercakap masih bernilai dan perlu.
Masalah lekafon mungkin belum ketara bagi sesetengah pihak tetapi impaknya mendalam kepada emosi, pencapaian akademik dan sosial anak-anak.
Teknologi akan kekal bersama kita. Soalnya ialah bagaimana ia digunakan. Cabarannya bukan membuang skrin tetapi membimbing penggunaannya.
Ibu bapa, pendidik dan pembuat dasar perlu berganding bahu membentuk generasi muda yang seimbang digital dan manusiawi.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.