Merancang keluarga bukan bererti menolak rezeki
Perancangan keluarga bukan sekadar soal mengelakkan kehamilan tetapi merangkumi aspek kehidupan yang lebih luas.

ADAKAH merancang keluarga bermakna menolak rezeki? Inilah salah faham yang masih membelenggu sebahagian masyarakat hingga ke hari ini.
Setiap tahun pada 26 September, dunia menyambut Hari Kontraseptif Sedunia bagi meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan merancang keluarga.
Sempena sambutan ini, Kempen Bulan Perancang Keluarga 2025 dilaksanakan sepanjang September sebagai usaha berterusan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kesihatan reproduktif dan kesejahteraan keluarga.
Perancangan keluarga bukan sekadar soal mengelakkan kehamilan tetapi merangkumi aspek kehidupan yang lebih luas.
Pasangan yang merancang bilangan, jarak dan masa kelahiran anak-anak sebenarnya sedang membina keluarga yang lebih tersusun dan seimbang.
Tindakan ini memberi kesan positif terhadap kesihatan ibu, kestabilan kewangan, keharmonian rumah tangga serta kesejahteraan emosi. Merancang keluarga bukan bermakna menolak rezeki tetapi menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Realitinya, stigma masyarakat sering menjadikan isu perancangan keluarga sebagai sesuatu yang tabu. Ada yang melabel pasangan yang menggunakan kaedah perancang sebagai menolak anak, takut mengandung atau tidak mahu bertanggungjawab.
Hakikatnya, persepsi sebegini sangat tidak adil. Tidak ada pasangan yang merancang keluarga kerana benci kepada anak, sebaliknya mereka memilih jalan ini untuk memastikan setiap kelahiran disambut dengan persediaan yang rapi, kasih sayang yang cukup dan kemampuan untuk memberikan kehidupan yang baik.
Lebih membimbangkan, stigma yang salah ini sering menekan pasangan muda sehingga mereka berasa serba salah membuat keputusan terbaik untuk kehidupan rumah tangga sendiri.
Sedangkan, merancang keluarga adalah hak setiap pasangan. Tidak ada siapa berhak merendahkan, apatah lagi menghukum kerana keputusan tersebut dibuat demi kebahagiaan dan masa depan keluarga yang lebih stabil.
Dalam era moden ini, perancangan keluarga semakin relevan. Tekanan hidup akibat kos sara hidup yang tinggi, beban kerja yang mencabar dan kesukaran menyeimbangkan kerjaya dengan kehidupan berumah tangga menuntut perancangan yang bijak.
Statistik menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan dalam kalangan pasangan muda dan antara puncanya ialah kurang persediaan menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Dengan perancangan yang baik, pasangan lebih bersedia dari segi emosi, mental dan fizikal untuk menyambut cahaya mata sekaligus mengurangkan risiko konflik dan tekanan dalam rumah tangga.
Perancangan keluarga juga tidak seharusnya dipikul oleh wanita sahaja. Lelaki perlu tampil sebagai pasangan yang bertanggungjawab, bersedia berbincang secara terbuka dan memberi sokongan dalam menentukan kaedah perancang yang sesuai.
Sikap saling memahami dan bekerjasama inilah yang akan membina keluarga yang harmoni.
Kesedaran awal tentang perancangan keluarga penting bukan sahaja untuk pasangan berkahwin tetapi juga untuk golongan remaja dan belia.
Pendidikan tentang kesihatan reproduktif dan seksualiti yang menyeluruh dapat mencegah kehamilan tidak dirancang serta masalah sosial. Generasi muda yang berilmu akan lebih matang, menghargai nilai kekeluargaan dan mampu merancang masa depan dengan lebih baik.
Dari sudut hukum, merancang keluarga dibenarkan selagi bertujuan menjaga kesihatan ibu, menjarakkan kelahiran, mengelakkan mudarat atau memastikan kebajikan keluarga terjamin.
Perancangan hanya dilarang apabila niatnya untuk menolak zuriat secara mutlak, menolak rezeki atau menggunakan kaedah yang bercanggah dengan syariat.
Selagi kaedah yang dipilih tidak memudaratkan kesihatan dan dilakukan dengan persetujuan suami isteri, merancang keluarga dianggap sebagai ikhtiar yang diharuskan demi kebaikan semua pihak.
Merancang keluarga bukan soal dosa atau menolak takdir tetapi langkah ikhtiar demi kesejahteraan. Pasangan yang membuat keputusan ini sebenarnya sedang memilih jalan yang lebih bijak membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, mendidik mereka dengan sempurna dan dalam masa yang sama menjaga kestabilan mental serta kewangan keluarga.
Sudah tiba masanya masyarakat berhenti menuding jari dan melemparkan stigma terhadap pasangan yang memilih untuk merancang keluarga.
Setiap keputusan adalah hak dan tanggungjawab bersama suami isteri dan bukan ruang untuk orang luar menghakimi.
Generasi berkualiti lahir daripada keluarga yang bersedia dan keluarga yang bersedia lahir daripada perancangan yang bijak.
Dengan tema ‘Keluarga Sejahtera, Minda Sihat’, Kempen Bulan Perancang Keluarga 2025 mengajak seluruh masyarakat membuka mata dan hati.
Perancangan bukan sekadar angka anak tetapi keseimbangan hidup, ketenangan jiwa dan kebahagiaan rumah tangga. Merancang keluarga bererti merancang masa depan untuk diri, pasangan, anak-anak dan negara.
Perancangan keluarga bukan lagi isu pinggiran tetapi keperluan mendesak yang wajib difahami tanpa prejudis.
Sudah tiba masanya masyarakat berhenti menghakimi dan mula menerima bahawa merancang keluarga tidak pernah menolak rezeki, sebaliknya satu usaha menghargai amanah dengan persediaan terbaik.
Berani merancang bermakna berani bahagia, berani matang dan berani menjamin masa depan generasi kita.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.