Pelajar IPT perlu kreatif berbelanja supaya pendapatan berganda

Suasana kehidupan di IPT memerlukan perancangan dan pengurusan kewangan yang baik.

Feature Image

SEPANJANG minggu yang lepas, saban hari laman muka buku penuh dengan maklumat tentang kemasukan pelajar-pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Hadiah terbaik setelah bertungkus lumus sepanjang mengharungi cabaran SPM, STPM, Asasi, Matrikulasi serta program TVET, mereka berjaya diterima ke IPT.

Rata-rata semua pelajar baharu yang mendaftar, menampakkan perasaan gembira dan teruja. Semoga segala cita-cita mereka akan tercapai dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang untuk bergelar graduan cemerlang.

Realitinya, suasana kehidupan di IPT memerlukan perancangan dan pengurusan kewangan yang baik. Kena bijak kerana saban tahun sering diperkatakan pelajar IPT berdepan cabaran untuk menguruskan wang saku, elaun biasiswa atau dermasiswa serta pinjaman pendidikan agar sentiasa mencukupi.

Terdapat juga hasil kajian yang menyatakan cabaran besar bagi pelajar IPT ialah membuat keputusan berbelanja secara rasional, kerana mereka terpengaruh dengan rakan sebaya, media sosial dan gaya hidup moden yang menekankan trend serta status.

Dalam era kecerdasan buatan, di mana peluang pencarian ilmu semakin mudah, namun masih ada pelajar IPT yang kurang mahir mendapatkan idea dengan menggunakan platform kecerdasan buatan.

Seharusnya mereka lebih mahir mendapatkan maklumat melaluinya kerana ia amat sinonim dengan generasi masa kini yang sedang menuntut di IPT.

Ramai berpendapat bahawa generasi muda zaman ini mempunyai minda yang kreatif berbanding generasi ibu ayah mereka.

Selaras dengan itu, golongan pelajar ini perlulah gunakan sebaik mungkin minda kreatif mereka dalam pelbagai situasi, termasuk memacu corak perbelanjaan seharian.

Setiap bentuk perbelanjaan biarlah pembelian yang bermanfaat dan boleh memberikan pulangan yang mampu menggandakan wang yang ada. Peluang ini harus digunakan dengan bijak dan pelajar perlu berani melakukan sesuatu untuk faedah diri.

Salah satu caranya adalah dengan menggunakan sebahagian wang bantuan pendidikan untuk mempelajari sesuatu kemahiran yang dapat memberikan mereka peluang pendapatan baru.

Cara begini sebenarnya amat berguna dan penting sekiranya konsep pengurusan kewangan itu difahami dengan baik.

Mengurus kewangan peribadi perlu dimulakan dengan kaedah yang bijak iaitu mendapatkan sumber kewangan dahulu. Mereka harus berfikir di luar kotak dan mencari solusi agar mereka sentiasa dapat berbelanja untuk keperluan harian, pada masa sama wang saku tidak putus.

Secara asasnya, kebanyakan pelajar mempunyai baki bersih bantuan kewangan pendidikan sebanyak RM1,500 selepas pembayaran yuran dan sewa kediaman. Sekiranya mereka ada kemahiran melakukan spa kesihatan atau gunting rambut, keluarkan sedikit modal daripada baki wang ini bagi membeli peralatan yang diperlukan.

Perkhidmatan sebegini masih mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan pelajar di IPT serta masyarakat setempat.

Mereka boleh melakukannya dengan mudah dan cepat bagi menjana pendapatan di waktu hujung minggu. Secara tak langsung, kemahiran dipraktikkan di samping wang tambahan boleh dijana.

Dalam kalangan para pelajar IPT sendiri masih ramai yang sukakan kecantikan diri, terutamanya golongan siswi. Maka perkhidmatan spa dan kecantikan yang merangkumi banyak kemudahan, sesuai ditawarkan kepada golongan ini.

Bagi siswa pula, khidmat gunting rambut juga tidak kalah sambutannya. Semua IPT di negara ini menggalakkan para pelajar mereka mempunyai rambut yang kemas dan rapi. Makna kata, boleh bekerjasama dengan pihak hal ehwal pelajar (HEP) untuk penawaran perniagaan seperti ini di dalam kampus.

Bagi yang suka memasak pula, hasilkan masakan yang sedap dan menarik, yang ada sedikit nilai tambah inovasi, kemudian ditawarkan kepada yang rakan-rakan di kampus. Kebiasaannya, ada saja pelajar yang lapar dan mencari makanan yang dijual di sekitar kampus.

Jika khuatirkan kuantiti, bukalah pesanan terlebih dahulu agar mudah urusan menjadi mudahdan kurang kerugian.

Peminat kek dan pastri, sediakan juadah yang menarik dan tawarkan kepada umum. Dengan sedikit inovasi, di samping iklan yang memenuhi kehendak pelanggan, pasti mereka akan membeli.

Tidak lupa kepada penulis yang kreatif, boleh tawarkan perkhidmatan penulisan iklan dalam usaha menarik minat lebih ramai pelanggan untuk membeli. Penulisan ikaln ini sangat popular dan diperlukan oleh usahawan kecil dan sederhana yang mahukan kos pemasaran lebih rendah.

Perlu sentiasa ingat bahawa ramai juga rakan-rakan sebaya yang belajar di luar negara, melaksanakan kerja sambilan sebagai sumber wang tambahan untuk kehidupan harian. Terdapat juga yang giat berniaga makanan kepada rakan-rakan lain sebagai misi menggapai percutian idaman.

Jadinya, tidak salah kalau boleh diaplikasikan di negara sendiri sebagai langkah sama untuk menampung kos sara hidup semasa belajar. Duit tambahan boleh dinikmati sambil menimba pengalaman tambahan dalam konteks penyelesaian masalah semasa krisis berlaku.

Mungkin modal menjadi penghalang, namun modal permulaan bagi kerjaya tambahan ini tidak terlalu besar, ikut kepada bidang yang diceburi, anggaran dari RM150 hingga RM400. Selepas dilakukan beberapa kali, keuntungan yang diperoleh mampu mengembalikan modal awal tadi.

Tambahan pula pihak HEP ada menyediakan khidmat ‘Dapur HEP’ untuk digunakan oleh pelajar mereka. Ada disediakan beberapa peralatan penting yang boleh digunakan secara bersama oleh pelajar dalam memudahkan urusan harian makan dan minum.

Pengalaman serta kemahiran ketika belajar di IPT amat diperlukan untuk menempuh dunia pekerjaan kelak.

Kemahiran pengurusan krisis masih agak lemah dalam kalangan pekerja masa kini. Itulah sebabnya banyak perkara tidak diingini berlaku apabila gagal tangani krisis yang melanda.

Sebagai bakal pemimpin masa hadapan, pelajar IPT perlulah persiapkan diri dengan pemikiran kritis dan pengurusan krisis agar mampu mendepani apa jua cabaran. Ilmu ini mungkin tiada di dalam buku teks, tetapi boleh dipelajari sepanjang belajar di IPT.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.