UM angkat karya seni STEM melalui Program InsectART

Program yang kini diterajui sebagai inisiatif peringkat kebangsaan itu bertujuan memupuk minat mendalam terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.

Feature Image (1)

KUALA LUMPUR, 25 Oktober 2025 – Program InsectART: Transformasi Serangga ke dalam Karya Seni STEM anjuran Universiti Malaya (UM) membuktikan bahawa bidang sains bukan sahaja menarik, malah mampu disampaikan secara kreatif dan menyeronokkan kepada pelajar sekolah menengah.

Program yang kini diterajui sebagai inisiatif peringkat kebangsaan itu bertujuan memupuk minat mendalam terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.

Program selama tiga hari yang berlangsung dari 12 hingga 14 September 2025 di Pusat Latihan Kulim, Kota Tinggi itu menghimpunkan seramai 102 pelajar daripada 11 sekolah melibatkan empat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Sepanjang program, peserta menjalani pelbagai aktiviti lapangan seperti persampelan serangga di habitat semula jadi di Suaka Burung Panti, mempraktikkan kaedah pengawetan resin serta menghasilkan karya seni unik berasaskan biodiversiti. Program tersebut turut dibimbing oleh 23 fasilitator terdiri daripada mahasiswa UM khususnya dari Institut Sains Biologi.

Inisiatif berkenaan diterajui Penyelaras Program Ekologi dan Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, UM, Ts. Dr. Noorhidayah Mamat dengan kerjasama Dr. Noor Azrizal dari Universiti Putra Malaysia. Ia merupakan salah satu projek di bawah Geran Pendayaan Komuniti @ UniMADANI selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4, 9 dan 15).

Dr. Noorhidayah berkata, modul yang dibangunkan berasaskan integrasi sains, teknologi, seni dan kreativiti itu bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran STEM secara amali, memupuk kesedaran pemuliharaan biodiversiti serta membina kemahiran inovasi dan keusahawanan.

“Tujuan utama program ini bukan sekadar meningkatkan pengetahuan dalam bidang STEM, namun lebih daripada itu ia adalah usaha untuk menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar, khususnya kepada serangga yang sering dianggap kecil dan kurang penting tetapi sebenarnya memainkan peranan besar dalam ekosistem,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program itu.

Program tersebut turut berjaya mewujudkan jalinan erat antara pelajar daripada pelbagai latar belakang melalui aktiviti kolaboratif dan pertandingan hasil seni yang dinilai oleh juri profesional. Tiga kumpulan terbaik menerima hadiah penghargaan manakala pelajar lelaki dan perempuan terbaik turut diberi pengiktirafan khas.

Majlis penutup program disempurnakan oleh Ahli Majlis Kota Tinggi merangkap Focal Person PIBG PPD Kota Tinggi, Mesran Tukiman. Turut hadir Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat (UMCares) UM, Prof. Madya ChM. Dr. Noraini Ahmad; Pegawai Hutan Daerah Johor Selatan, Ahmad Meisery Abd. Hakim Amir serta Wakil Pengarah Pejabat Penyelidikan Daerah Kota Tinggi, Ishak Ismail selain guru pengiring dan para peserta.

Dalam ucapannya, Prof. Madya Dr. Noraini menekankan bahawa selain aspek pembelajaran, program berkenaan turut berjaya membina jaringan sosial antara pelajar dan sekolah dari negeri berbeza.

“Pendidikan bukan hanya tentang ilmu tetapi juga membina jambatan persahabatan dan semangat kebersamaan yang akan kekal menjadi aset berharga dalam kehidupan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Mesran menyarankan agar kesinambungan program seumpama itu diperkukuh dan diperluas pada masa hadapan.

“Saya menyokong penuh agar program seperti ini diteruskan dan diperluas. Sebagai inisiatif kebangsaan, InsectART membuka ruang pembelajaran STEM secara kreatif dan berjaya merapatkan hubungan antara sekolah dari seluruh negara,” katanya.

Kejayaan penganjuran program itu mengukuhkan kedudukan InsectART sebagai program berimpak tinggi yang berpotensi menjadi model pendidikan STEM masa depan. Dengan pendekatan unik menggabungkan elemen sains, teknologi dan seni, ia menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, kreatif dan relevan dengan keperluan generasi muda.

Melalui aktiviti berteraskan biodiversiti serangga dan pemeliharaan alam sekitar, InsectART bukan sahaja memupuk minat terhadap sains dan teknologi malah turut membina kesedaran terhadap kelestarian alam. Gabungan ini melahirkan pelajar yang celik teknologi serta cakna alam sekitar — dua elemen penting dalam membentuk masyarakat masa depan.

Dengan potensi besar yang ditunjukkan, InsectART wajar diberi perhatian sebagai model pendidikan alternatif yang holistik dan berdaya saing.