Hidup ini tentang mengawal diri, bukan mengawal dunia
Secara psikologi, keinginan untuk mengawal sesuatu adalah tindak balas semula jadi manusia terhadap ketidakpastian.

KADANGKALA hidup terasa seperti kita sedang berlumba dengan masa, sibuk mengejar kestabilan, cuba mengawal apa saja yang terasa goyah. Kita mahu semuanya seiring dengan kehendak hati tapi di akhirnya, kita belajar bahawa ketenangan bukan datang daripada mengawal dunia luar tapi cara kita menenangkan dunia dalam diri sendiri. Semakin kita dewasa, semakin kita faham bahawa tidak semua hal perlu diatur, tidak semua orang perlu difahami dan tidak semua keadaan perlu berpihak.
Bagi kita, di sinilah letaknya seni sebenar kehidupan iaitu self control yang lahir daripada kesabaran, keikhlasan dan kepercayaan bahawa Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Hidup ini bukan tentang memastikan semuanya berjalan seperti yang kita mahu tetapi tentang bagaimana kita tetap tenang walau tidak semuanya seperti yang dirancang.
Secara psikologi, keinginan untuk mengawal sesuatu adalah tindak balas semula jadi manusia terhadap ketidakpastian. Ia datang daripada naluri untuk melindungi diri daripada rasa takut, kecewa atau kehilangan. Namun dalam jangka panjang, keinginan itu boleh menjadi sumber tekanan yang besar kerana semakin kita cuba memegang semua hal dalam genggaman, semakin kita merasa letih dan hilang arah. Dalam terapi emosi, kemampuan mengawal diri lebih penting daripada mengawal keadaan kerana minda yang tenang akan membawa kepada keputusan yang lebih bijak dan hati yang lebih redha.
Dalam dimensi spiritual, kehidupan mengajar bahawa tugas kita hanyalah berusaha, selebihnya adalah urusan Tuhan. Kita boleh merancang sebaik mungkin tetapi hasil akhirnya tetap berada di luar kawalan kita. Itulah sebabnya sabar menjadi penawar kepada jiwa yang sering gelisah. Sabar bukan sekadar menunggu masa berlalu tetapi kebijaksanaan untuk menerima bahawa tidak semua perkara akan berjalan mengikut waktu kita. Sabar adalah latihan hati untuk percaya bahawa setiap kelewatan ada sebab, setiap ujian ada hikmah dan setiap kesakitan membawa pertumbuhan.
Ada masa kita akan berdepan dengan pilihan yang sukar antara hati dan logik, antara impian dan realiti. Saat itu, kawalan diri menjadi jambatan yang menenangkan antara dua dunia yang saling bertentangan. Dalam psikologi, proses ini disebut emotional regulation iaitu keupayaan untuk tidak dikuasai emosi ketika berdepan tekanan. Dalam spiritual pula, ia disebut tawakal iaitu menyerah dengan yakin bukan dengan putus asa. Kedua-duanya bertemu di satu titik yang sama, percaya bahawa apa yang ditulis untuk kita tidak akan pernah tersilap tempat.
Namun, mengawal diri bukan bermakna kita menafikan perasaan. Kita masih boleh marah, sedih, kecewa atau takut kerana semua itu manusiawi. Yang membezakan hanyalah bagaimana kita bertindak balas terhadap emosi tersebut. Orang yang mampu mengawal diri tidak menolak kesedihan tetapi belajar untuk tidak tenggelam di dalamnya.
Mereka tidak menolak kecewa tetapi memilih untuk tidak membiarkan kecewa itu memusnahkan semangat. Di situlah letaknya kekuatan sebenar manusia. Bukan pada seberapa banyak yang dia miliki tetapi pada seberapa dalam dia mampu menenangkan diri sendiri.
Daripada satu sisi yang lebih lembut, sabar juga adalah bentuk cinta terhadap diri. Ia mengajar kita untuk berhenti menyalahkan diri atas keputusan yang lalu dan belajar memaafkan proses yang belum selesai. Sabar menjadikan kita lembut kepada masa dan lembut kepada perjalanan sendiri. Dunia tidak akan pernah berhenti menuntut tetapi kita boleh memilih untuk berhenti sejenak, menarik nafas dan berkata kepada diri “Aku tidak perlu mengawal semuanya, aku cuma perlu mengawal bagaimana aku melihat semuanya.”
Kehidupan yang damai tidak datang daripada dunia yang mudah tetapi daripada jiwa yang tahu bagaimana untuk menenangkan dirinya di tengah kesukaran. Ketika orang lain sibuk membuktikan siapa yang betul, orang yang mengawal diri sibuk belajar bagaimana untuk tetap tenang. Mereka sedar bahawa kebahagiaan bukan tentang mengubah dunia menjadi seperti yang diinginkan tetapi tentang membentuk hati supaya tetap tenang dalam dunia yang tidak sempurna ini.
Akhirnya, mengawal diri adalah bentuk tertinggi dari kebijaksanaan hidup. Ia memerlukan sabar, reda dan keberanian untuk menerima bahawa tidak semua hal boleh diatur oleh tangan manusia. Dunia ini akan terus berubah, ujian akan datang silih berganti tetapi selagi kita mampu menjaga hati kita tidak akan hilang arah. Hidup ini memang bukan tentang mengawal dunia tetapi tentang mengawal diri dan di situlah letaknya ketenangan yang sebenar.
Ingatlah, apabila kamu tidak dapat mengawal apa yang berlaku di sekelilingmu, kawallah apa yang berlaku di dalam dirimu. Di situlah kekuatan sebenar bermula.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
