Lebih 2,000 peserta dijangka sertai larian Pahang Ultra 2025
Lebih 2,000 peserta dijangka sertai larian Pahang Ultra 2025 di Dewan Imam Perang Teh, Sanggang di sini pada 6 dan 7 September ini.

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2025 – Lebih 2,000 peserta dijangka sertai larian Pahang Ultra 2025 di Dewan Imam Perang Teh, Sanggang di sini pada 6 dan 7 September ini.
Sebanyak lima kategori disediakan kepada peserta iaitu 5 kilometer (km) dan 8km bagi yang juga dikenali sebagai Larian Busana Pahang Ultra 2025 selain 30km dan kategori ultra iaitu 50km dan 100km.
Pengurus Pembangunan Jualan Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Amaresh Dev berkata, acara larian yang turut dimasukkan dalam kalender pelancongan Tourism Pahang itu menerima sokongan padu daripada penaja utama, Isuzu Malaysia yang kini memasuki tahun ketiga sebagai rakan strategik utama.
Beliau berkata, jumlah peserta larian itu meningkat sejak diperkenalkan pada 2023 bermula dengan 650 peserta, diikuti edisi kedua (1,680 peserta) dan tahun ini lebih 2,000 peserta.
“Keistimewaan Larian Busana bagi kategori 5km dan 8km, peserta digalakkan memakai pakaian busana tradisional masyarakat Pahang, sekali gus bagi mempromosi warisan budaya Malaysia.
“Bayangkan anda berlari di pesisir Sungai Pahang, melewati desa-desa tradisional dan ladang kelapa sawit, sambil menyarung busana warisan Melayu yang gah, sambil diiringi semangat perjuangan, kecintaan terhadap budaya dan semangat kesukanan yang tinggi.
“Inilah keunikan yang dibawa oleh Larian Busana Pahang Ultra 2025, acara ikonik yang bakal berlangsung pada 6 hingga 7 September 2025,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perlumbaan Pahang Ultra 2025, Zulkafly Ramly berkata, sebanyak tiga kambing disediakan untuk hadiah cabutan bertuah kepada peserta kategori 5km dan 8km.
Beliau berkata, acara Pahang Ultra 2025 anjuran The Bongcit Hub bukan sahaja bertujuan mencabar ketahanan diri dan fizikal tetapi turut memperkasakan semangat kebudayaan, pelancongan tempatan dan komuniti desa.
“Pahang Ultra 2025 adalah lebih daripada sekadar acara sukan. Ia adalah wadah untuk kita meraikan budaya, mempromosikan keindahan Pahang dan memupuk perpaduan dalam kalangan peserta daripada pelbagai latar belakang, sambil mengekalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau juga berkata, penganjur turut memberi diskaun RM20 kepada pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) yang mahu menyertai acara 5km dan 8km.
Katanya, pemberian diskaun ini kepada mereka yang mendaftar secara berkumpulan dengan minimum lima orang dan boleh terus menghubungi pihak penganjur untuk tujuan pendaftaran iaitu Zulkafly Ramly (011-1020 3838), Roshidi Idris (019-4562 949) dan Saidatul Rohaisyah (013-6133 680).
Zulkafly juga berkata, tarikh tutup penyertaan bagi semua kategori adalah 1 Ogos ini.
“Acara tahun ini juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk persembahan kebudayaan, pameran vendor, gerai makanan tempatan serta kit penyertaan eksklusif yang mengandungi jersi khas, pingat dan kejutan istimewa daripada penaja.
“Peserta dan pengunjung boleh menjangkakan suasana karnival komuniti dengan sentuhan tradisional yang menggamit nostalgia serta semangat kekitaan yang luar biasa,” katanya.
Turut bersama memeriahkan dan menyokong acara Pahang Ultra 2025 kali ini adalah barisan penaja lain termasuk Umar Sunglasses, Kopi Bawah Tangga, Kampungstay Desa Murni, N8, VandaTempe, Medgel, Butik Pato, TY Ultra, Ysandaldan Sambal Hitam.