Guru sebagai model teladan, lebih dari sekadar mengajar
Apakah model teladan yang boleh ditunjuki di dalam bilik-bilik darjah di Malaysia?

PARA pendidik tugasnya bukan setakat menyampaikan isi kandungan silibus, malah mereka menunjukkan contoh-contoh tabiat dan nilai yang membentuk bagaimana anak-anak kita berfikir, belajar dan bekerja. Di dalam bilik darjah, pelajar-pelajar meneladani apa yang dilakukan oleh para guru mereka, misalnya, bagaimana mereka mendengar, merasional dengan bukti, menyantuni orang sekeliling dan juga bagaimana mereka membetulkan keadaan daripada kesilapan lepas.
Jelas sekali, kemahiran-kemahiran ini ada dalam silibus. Seperti yang diutarakan dalam teori pembelajaran sosial, para pelajar memahami dan menghayati tindak tanduk melalui pemerhatian dan peniruan. Bagi tokoh terkenal berdarah Amerika-Kanada, Profesor Albert Bandura, ia dikenali sebagai “memodelkan” atau ayat mudahnya dalam ruang lingkup pendidikan, siapa guru itu sama penting dengan apa yang guru itu perkatakan dan tunjuki.
Di negara kita, dasar-dasar yang digubal sememangnya sealiran dengan pendapat di atas. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, salah satu idea yang dibentangkan adalah mengangkat kedudukan guru sebagai pemacu utama bagi hasil pendidikan yang lebih baik.
Teras ini menyokong satu pandangan di peringkat global yang menyatakan ‘kualiti sistem pendidikan tidak boleh melebihi kualiti para pendidiknya’. Kenyataan ini diambil daripada laporan kajian pada tahun 2007 yang dilakukan oleh McKinsey & Company di mana ia menekankan penambahbaikan dalam sistem pendidikan pada ketika itu.
Apabila model teladan dikaitkan dengan sistem pendidikan, skalanya cukup besar, mencakupi pelbagai aspek. Antaranya ialah pelantikan guru-guru baharu. Kohort-kohort baharu sentiasa memasuki profesion ini, misalnya, pada tahun 2023, seramai 18,792 guru baharu dilantik. Ini menunjukkan peluang untuk menginstitusikan model teladan boleh dilakukan di setiap peringkat persekolahan.
Namun demikian, jumlah pelantikan bukan setakat kiraan sahaja, mereka melambangkan beribu-ribu interaksi mikro harian di mana para pelajar menonton pelbagai tabiat guru secara langsung seperti ketepatan masa, integriti, komunikasi dua hala, kewarganegaraan digital dan tidak ketinggalan, rasa empati.
Justeru, apakah model teladan yang boleh ditunjuki di dalam bilik-bilik darjah di Malaysia?
Pertama, ia bermaksud memodelkan pemikiran berasaskan bukti. Apabila guru menunjukkan jalan kerja yang betul, contohnya, memetik satu gambar landasan keretapi dalam nota Sejarah atau memeriksa sumber dalam karangan bukan fiksyen Bahasa Inggeris, mereka belajar menormalisasikan kejujuran intelektual.
Dalam analisis meta yang melibatkan hampir 1200 kajian, Profesor John Hattie dari New Zealand, menyenaraikan kredibiliti guru sebagai salah satu faktor yang memberi kesan besar kepada pencapaian para pelajar. Secara ringkasnya, kredibiliti terbina apabila para pelajar melihat konsistensi antara apa yang guru sampaikan dengan apa yang guru lakukan.
Seterusnya, ia bermakna memodelkan rasa hormat merentasi pelbagai perbezaan yang wujud. Dalam komuniti yang beraneka kepercayaan, bangsa dan bahasa, rutin amalan setiap hari untuk memupuk semangat inklusi seperti memanggil nama seseorang dengan tepat atau mengimbangkan penyertaan supaya semua suara didengari, lebih berkuasa berbanding dengan penyampaian mesej tanpa lisan dalam poster.
Dalam pada itu, penekanan perkembangan holistik dan kemahiran abad ke-21 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan selari dengan konsep penerapan rasa hormat menghormati ini.
Ketiga, ia merujuk kepada memodelkan pembelajaran profesional. Merujuk kepada data daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pada tahun 2023, sebahagian besar guru-guru peringkat menengah atas di Malaysia adalah terlatih iaitu nisbahnya 90% guru wanita dan 82 peratus guru lelaki.
Situasi ini menunjukkan budaya pembelajaran sepanjang hayat merupakan contoh yang wajar ditiru oleh para pelajar. Di dalam bilik darjah, pengetahuan dan pengalaman profesional dapat dikongsi dalam pelbagai aktiviti pentaksiran, contohnya sesi soal jawab, maklum balas dan perbincangan.
Keempat, ia dieratkan dengan memodelkan tanggungjawab digital. Dalam era teknologi algoritma kini, para guru yang memetik sumber asal gambar, berhati-hati dengan plagiat dan menggunakan aplikasi kecerdasan buatan secara beretika, secara tidak langsung memupuk budaya kewarganegaraan digital yang bertanggungjawab.
Tabiat digital sebegini diperlukan untuk mengesan dan menghentikan penyebaran maklumat yang salah dan supaya kehidupan atas talian dapat dijalani dengan bermaruah dan penuh dengan empati. Tidak dinafikan, dunia pendidikan juga ada rintangan yang kadang-kadang membataskan usaha.
Analisis terbaharu ada menyatakan sekolah-sekolah di Malaysia perlu meningkatkan kemajuan dalam pembelajaran dengan segera terutama bagi anak-anak yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dan jurang ini seharusnya diatasi seawal mungkin, pada peringkat sekolah rendah. Justeru, usaha model teladan seperti dibentangkan di atas boleh diaplikasikan bagi penciptaan bilik darjah yang lebih unggul.
Akhir sekali, memodelkan teladan bukanlah tujuannya untuk mencari kesempurnaan tetapi ia sebenarnya lebih kepada kebertanggungjawaban. Apabila guru tersilap tulis pada papan putih di hadapan kelas, perbetulkan kesilapan itu dan berterima kasih kepada pelajar kerana mengesannya, percayalah bahawa satu kelas di belakang beliau belajar bahawa kebenaran itu paling penting untuk diutamakan dalam kehidupan ini.
Selain itu, apabila seorang guru meredakan pergaduhan remaja dalam kelas melalui kelakuan dan komunikasi yang matang dan tenang, anak-anak yang melihat belajar untuk mengawal diri sendiri dan cuba meleraikan konflik semasa dan akan datang dengan lebih baik.
Negara kita mempunyai kekuatan dari segi polisi, sumber manusia dan momentum perancangan dan pembangunan. Oleh itu, di peringkat tinggi, kita boleh melakukan perubahan seperti meningkatkan kualiti para guru, menyokong usaha peningkatan amalan baik yang berterusan dan menormalisasikan budaya pemodelan kelakuan yang betul.
Di peringkat sekolah, kita boleh memasukkan dan menunjukkan teladan yang baik dalam pelbagai ruang seperti rancangan pengajaran harian, mesyuarat dan juga aktiviti kokurikulum. Pelajar-pelajar sentiasa melihat, maka, kita sebagai seorang pendidik, tunjukkan kepada mereka sesuatu yang bernilai dan bermakna untuk ditiru dan diaplikasikan.
Sesungguhnya, guru sebagai model teladan bukanlah satu nilai tambah, tetapi ia sebenarnya adalah inti pati kepada setiap proses pembelajaran bagi anak-anak kita di Malaysia.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
