Penceramah wajib menjaga tertib kalamullah
Kita pasti sering terlepas pandang bahawa ayat-ayat suci al-Quran yang disebut di dalam ceramah tidak terlepas daripada tuntutan rukun pembacaannya dan pematuhan hukum tajwid.

KITA biasa disajikan dengan ceramah atau kuliah agama yang dijalankan di masjid. Bagi menjadikan intipati dan sokongan hujah ceramah atau kuliah agama tersebut lebih matang dan kukuh, penceramah lazimnya akan menggunakan beberapa ayat al-Quran dan hadis.
Fenomena ini sesuatu yang positif kerana ia menunjukkan bahawa al-Quran terus menjadi rujukan utama dalam dakwah umat Islam. Hal ini secara zahirnya tidak menjadi isu, namun ia menjadi persoalan yang wajar kita perhalusi iaitu berkenaan dengan cara bacaan dan sebutan ayat-ayat suci al-Quran tersebut.
Bagaimanakah cara bacaan dan sebutan bagi ayat al-Quran dalam ceramah? Adakah perlu dibaca dengan sebutan tajwid dan makhraj huruf yang tepat atau boleh sahaja dilafazkan mengikut gaya pertuturan biasa? Adakah tidak menjadi kesalahan jika dibaca seperti membaca teks ceramah tersebut?
Beberapa persoalan ini menimbulkan isu terhadap pematuhan bacaan al-Quran. Kita pasti sering terlepas pandang bahawa ayat-ayat suci al-Quran yang disebut di dalam ceramah tidak terlepas daripada tuntutan rukun pembacaannya dan pematuhan hukum tajwid.
Kita perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kalam Allah bukanlah sekadar petikan biasa, bukan juga teks rujukan atau kata-kata hikmah, sebaliknya ia merupakan wahyu suci dan kata-kata Allah SWT. Setiap hurufnya membawa nilai yang sangat tinggi dan membacanya secara tartil amatlah dititiberatkan sepertimana firman Allah dalam surah al-Muzzammil ayat ke-4 tanpa mengambil kira latar tempat dan masa.
Adab hamlatul quran
Justeru, adab terhadap ayat-ayat suci al-Quran perlu dijaga dengan sebaiknya termasuklah daripada aspek cara sebutan, cara dan gaya bacaan serta pematuhan terhadap hukum tajwid. Malangnya, dalam dunia dakwah moden hari ini, semangat menyampaikan mesej terkadang tidak diiringi dengan kesedaran linguistik dan adab bacaan.
Ketiadaan sensitiviti terhadap bunyi sebutan Arab bahkan bunyi sebutan al-Quran dengan tartil lantas mengakibatkan ayat-ayat suci al-Quran tersebut dilihat seolah-olah teks biasa dalam kehidupan harian. Isu ini tidak asing lagi di mana-mana surau bahkan di masjid-masjid besar di mana penceramah yang terlalu ghairah dalam menyampaikan ceramahnya cenderung membaca ayat-ayat suci al-Quran secara tergesa-gesa dan menjauhi ketertiban bacaan al-Quran yang dituntut dalam Islam.
Lebih parah lagi, ada juga sekelompok penceramah yang membaca tanpa dimulakan dengan lafaz bismillah dan diakhiri dengan sadaqallah al-Azim, memperlihatkan ayat-ayat suci al-Quran tersebut tidak dibezakan dengan teks ceramah dalam bahasa Melayu. Isu ini menandakan bahawa ketiadaan sensitiviti bunyi sebutan dan menggambarkan adab dalam diri penceramah itu sendiri.
Dalam dunia dakwah, keindahan bahasa dan gaya penyampaian adalah elemen yang sangat penting untuk menarik perhatian pendengar. Namun begitu, apabila tiba ayat al-Quran untuk diselitkan, ia bukan lagi sekadar ucapan setaraf teks ceramah bahkan ia telah menjadi bacaan al-Quran walaupun sepotong dua ayat daripadanya.
Maka, penceramah perlu membezakan antara dua keadaan: Ketika bercakap dengan gaya biasa, intonasi boleh bebas tetapi apabila tiba pada lafaz ayat al-Quran, nada dan sebutan mesti berubah kepada nada hormat dan betul, walaupun tidak setaraf tilawah al-Quran.
Antara tajwid dan kefahaman makna
Para ulama sejak dahulu telah menegaskan bahawa membaca al-Quran dengan betul daripada segi makhraj dan baris adalah wajib bagi setiap Muslim. Ini bukan tuntutan bagi bacaan yang indah semata-mata, bahkan untuk menjaga ayat al-Quran daripada berlaku sebarang perubahan makna. Jika ayat dibaca sebagai tilawah (bacaan formal) seperti dalam khutbah Jumaat atau majlis ilmu, maka wajib dijaga hukum tajwid dan sebutan yang sempurna.
Meskipun bacaan ayat suci al-Quran yang digunakan dalam ceramah tidak mendatangkan dosa, namun sebutannya tetap perlu dijaga dengan sebaiknya agar setiap bunyi fonem yang direalisasikan itu menepati daerah, cara artikulasi dan penyuaraannya (voicing).
Dalam kata lain, kelonggaran (rukhsah) seperti ini dibenarkan dari aspek gaya bacaan, namun tidak dari aspek ketepatan sebutan. Seseorang penceramah boleh menyebut ayat dengan lenggok, intonasi dan nada ceramah yang biasa, sebaliknya tidak boleh menukar bunyi huruf atau meninggalkan baris yang boleh mengubah makna.
Antara contoh ungkapan yang biasa digunakan adalah seperti dalil tentang kesabaran yang berbunyi “inna Allāha ma‘a as-sābirīn”. Ketika mana penceramah sedang ghairah membangkitkan semangat para Jemaah dengan menyeru umat Islam untuk terus bersabar dan bersemangat, dalil seperti ini seakan-akan sudah sebati dengan lidah mana-mana penceramah.
Mereka perlu menanam rasa sensitif terhadap bunyi sebutan kerana setiap bait tutur kata mereka menjadi cerminan kepada kualiti bacaan al-Quran mereka sendiri. Lebih dari itu, masyarakat yang mendengar pasti ada yang menganggap bacaan itu tidak menjadi kesalahan. Hakikatnya, kesalahan sebutan tersebut sudah dinormalisasikan oleh para penceramah sendiri.
Langkah penambahbaikan
Bagi menambah baik keadaan ini, beberapa langkah wajar diambil oleh institusi agama dan masyarakat seperti latihan tajwid asas untuk penceramah dan khatib agar bacaan ayat al-Quran dalam khutbah dan ceramah lebih teratur. Seterusnya, kelas sebutan Arab supaya pendakwah bukan Arab dapat melatih sebutan daerah dan cara artikulasi huruf dengan betul. Penekanan adab terhadap kalam Allah dalam silibus dakwah dan komunikasi Islam juga perlu diterapkan.
Dengan langkah-langkah kecil ini, masyarakat akan lebih menghormati lafaz al-Quran dan menjadikan setiap sebutan ayat sebagai ibadah, bukan sekadar gaya bahasa percakapan harian biasa.
Kesimpulannya, menyebut ayat al-Quran dalam ceramah bukan perkara kecil dalam prosedur penyampaian ceramah. Tindakan itu bukan sekadar menyelitkan teks suci dalam ucapan tetapi menghidupkan kalam Allah di hadapan manusia. Justeru, ia mesti dilakukan dengan penuh adab seperti dimulakan dengan isti’azah dan basmalah dengan teliti dan rasa hormat.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
