Mata Helang: Bila ahli politik menjual kaum, rakyat jadi pembeli buta

Insiden di Perak hanyalah satu episod kecil tetapi ia cukup membuktikan bagaimana pantas isu kaum boleh disuapkan ke mulut rakyat dan bagaimana cepat pula rakyat menelannya tanpa mengunyah.

Feature Image (1)

ISU perkauman di Malaysia ini bukanlah cerita baharu. Ia bagai drama bersiri tanpa penghujung, ditayang saban tahun dengan skrip berulang. Ada ‘pihak’ mencetuskan naratif perkauman, ada ‘penyokong’ menjerit-jerit mengikut rentak dan akhirnya yang untung hanyalah ahli politik yang menjual isu kaum demi kelangsungan karier politik dan jawatan mereka.

Kalau difikirkan, perkauman ini bukanlah penyakit semula jadi masyarakat kita tetapi virus buatan manusia yNG diadun rapi dalam makmal politik, kemudian disuntik ke dalam minda rakyat sehingga kita lupa siapa sebenarnya yang menyuapkan racun itu.

Baru-baru ini, ketika rakyat Malaysia masih bersemangat menyambut Hari Kebangsaan ke-68, negara dikejutkan dengan satu kejadian di Perak.

Seorang wanita berusia 41 tahun, berpakaian serba hitam, meluru ke arah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sewaktu baginda menghadiri perarakan sambutan di Ipoh.

Mujurlah tindakan pantas pasukan keselamatan berjaya menghalang percubaan itu. Namun, sebelum sempat masyarakat mencerna fakta sebenar, media sosial sudah dibanjiri dengan spekulasi liar.

Ada yang menuduh wanita itu perempuan ‘Cina’, ada yang menokok tambah seolah-olah ia cubaan menyerang baginda. Seperti biasa, kebenaran tidak penting, yang penting ialah siapa paling pantas menunggang emosi kaum untuk meraih ‘like’ dan ‘share’.

Bukit Aman akhirnya tampil menafikan dakwaan itu. Penafian itu datang setelah fitnah bertebaran ke serata platform digital, dibakar oleh mereka yang ghairah mahu menjadikan insiden ini modal politik segera.

Tidak ketinggalan, seorang ahli politik muda, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, yang juga ADUN Manjoi, turut ‘menyebarkan’ berita palsu itu.

Beliau menulis hantaran di Facebook yang mengaitkan kaum, kemudian bila sedar salah, barulah tergesa-gesa memohon maaf.

Katanya maklumat awal diperoleh tidak tepat dan kononnya hantaran itu telah dimanipulasi pihak tertentu. Begitulah lazimnya, bila sudah tersilap, cepat-cepat berselindung di sebalik alasan ‘maklumat awal’ dan ‘dimanipulasi’.

Hakikatnya, permainan kaum ini bukan kecuaian tetapi budaya. Ahli politik tahu, isu perkauman adalah ‘senjata segera’ yang boleh menghidupkan sokongan dalam sekelip mata.

Sekejap sahaja lontarkan naratif, penyokong taksub akan segera bertempik, seolah-olah sedang mempertahankan bangsa daripada ancaman ghaib.

Tidak perlu bukti, tidak perlu fakta, cukup sekadar satu kenyataan kabur tetapi penyokong akan berbaris mengangkat pedang maya, menyerang siapa sahaja yang dianggap musuh.

Inilah wajah sebenar politik perkauman, ia hidup kerana ada penjual yang licik dan pembeli yang buta. Ahli politik menjual isu ini demi survival, manakala penyokong pula membelinya kerana ketaksuban membuta tuli.

Mereka yang taksub ini tidak pernah bertanya soalan asas, apakah benar dakwaan itu? Apakah ada bukti sahih? Atau sekadar fitnah murahan? Yang penting bagi mereka hanyalah menjaga ‘kemurnian’ kaum sendiri walaupun dengan cara mengorbankan keharmonian masyarakat.

Ironinya, semua ini berlaku ketika kita baru sahaja melaungkan ‘Merdeka’ dengan penuh bangga. Apa erti merdeka jika fikiran kita masih dijajah oleh politik kaum? Apa makna Jalur Gemilang berkibar megah jika rakyatnya masih melihat satu sama lain dengan kacamata warna kulit?

Kita melaungkan kesatuan dalam kepelbagaian tetapi pada masa sama, ada pemimpin yang tanpa segan silu mencetuskan sentimen perkauman demi undi dan kuasa.

Lebih menyedihkan, rakyat biasa sering terperangkap dalam perangkap ini. Kita disogok dengan cerita-cerita kononnya kaum lain sedang mengancam hak kita, lalu kita pun marah, benci dan curiga.

Padahal yang ketawa terbahak-bahak di belakang tabir ialah ahli politik yang sudah berjaya menyalakan api. Bila api membesar, mereka tampil sebagai ‘wira’ kononnya mahu menjadi penyelamat bangsa. Lakonan yang sama, musim yang sama tetapi rakyat masih juga menonton tanpa jemu.

Dalam kes wanita berpakaian hitam ini, jelas sekali ia bukan cubaan rampasan kuasa, bukan komplot antarabangsa, bukan pula ancaman perkauman tetapi naratif yang sengaja dibina di media sosial seakan-akan mahu mengheret insiden itu ke arah politik kaum.

Sebab itulah pentingnya kita bertanya, siapa yang untung daripada cerita begini? Rakyat tidak untung apa-apa, institusi diraja pun tidak untung, perpaduan masyarakat makin parah. Yang untung hanyalah ahli politik yang pandai menunggang isu.

Mata Helang memandang isu ini sebagai cerminan penyakit lama yang enggan sembuh. Kita sudah terlalu lama dipukau oleh slogan kaum dan agama sehingga tidak mampu berfikir secara waras.

Kita lupa bahawa ketaksuban ini hanya menguntungkan segelintir elit politik, bukan rakyat jelata. Kita lupa bahawa mereka yang kita anggap ‘wira bangsa’ sebenarnya sedang memperdagangkan perasaan kita demi jawatan dan pangkat.

Sudah sampai masanya rakyat meletakkan titik noktah pada permainan ini. Kita mesti menolak politik perkauman yang menjadikan kita boneka. Kita mesti menyoal pemimpin yang suka mengheret isu kaum setiap kali mereka terdesak dan kita mesti berani menegur penyokong taksub yang sanggup menelan bulat-bulat setiap fitnah tanpa memeriksa kebenaran.

Jika tidak, kita akan terus menjadi bangsa yang merdeka pada nama tetapi dijajah minda oleh propaganda kaum.

Malaysia boleh maju jika kita memilih untuk bersatu tetapi selama politik perkauman terus menjadi bahan jualan, negara ini akan kekal terperangkap dalam lingkaran kebencian ciptaan mereka yang hanya peduli tentang survival politik sendiri.

Insiden di Perak hanyalah satu episod kecil tetapi ia cukup membuktikan bagaimana pantas isu kaum boleh disuapkan ke mulut rakyat dan bagaimana cepat pula rakyat menelannya tanpa mengunyah.

Mungkin inilah hakikat paling pahit, perkauman di Malaysia bukanlah sekadar masalah sosial tetapi strategi politik yang berjaya dan selagi kita terus membeli racun itu, selagi itulah mereka akan menjualnya.